Ahad, 5 Mei 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Pengurusan tanah bersepadu kekang isu kos sara hidup

ABDUL Rahman Ibn Khaldun atau Ibn Khaldun (1332 hingga 1406) adalah ilmuwan dan pemikir dalam pelbagai bidang terutama fikah, tauhid, perundangan, ekonomi Islam dan sebagainya.

Melalui karya agungnya Mukad-dimah, beliau mengupas dengan begitu berhemah mengenai sistem ekonomi Islam.

Pemikiran Ibn Khaldun dikatakan pencetus kepada ekonomi Islam. Pandangan bernas beliau diiktiraf dan ditambah baik oleh pemikir Barat seperti Adam Smith, David Ricardo, Thomas Malthus, Karl Marx, John Maynard Keynes, Thomas Kuhn dan sebagainya.

Ibn Khaldun mempelopori kaitan antara perubahan dalam masyarakat dengan kegiatan ekonomi mereka. Pendeknya, budaya mempengaruhi pola aktiviti ekonomi mereka.

Apabila sistem sosial berubah semakin baik, ekonomi tumbuh subur apabila hubungan organisasi dan interaksi sesama anggota masyarakat menjadi lebih mantap. Gaya hidup yang berubah adalah nilai hidup atau budaya yang akhirnya membentuk tamadun.

Perkara ini dikemukakan beliau sejak lebih 600 tahun dahulu. Ibn Khaldun mengatakan apabila masyarakat bersatu, mereka memupuk semangat kerjasama dan membentuk kekuatan untuk berganding bahu memajukan ekonomi.

Lantaran pandangan di atas, pada 1990 seorang pakar ekonomi, Prof Douglass Cecil North, memenangi Hadiah Nobel dalam bidang sains ekonomi.

Beliau mempelopori asas ekonomi institusi yang mengatakan perubahan dalam masyarakat berlaku apabila cara hidup mereka berubah secara berkumpulan.

Ulangi kegemilangan ekonomi

Apabila budaya masyarakat digembleng secara kerjasama, pengeluaran akan meningkat. Antara cara yang boleh dilakukan adalah menggubal undang-undang supaya wujud wawasan bersepadu dan cara hidup lebih terarah dengan budaya, untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangan ekonomi negara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan, bahawa kita akan mengembalikan kegemilangan ekonomi seperti pada era 1990-an. Harimau Malaya akan mengaum semula.

Perkara ini tidak mustahil berulang. Asalkan kena pada cara dan rentaknya. Pembersihan agensi dan organisasi perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dirombak dan disusun semula. Rasuah perlu dikekang dan dibasmi hingga ke akar umbi. Peraturan dan akta perlu dipinda, dimansuh atau diharmonikan. Usaha ini menjadi prasarana yang mustahak bagi memupuk sifat kerjasama dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, budaya serta agama, demi memacu pertumbuhan ekonomi.

Kumpul pandangan, pendapat pelbagai pihak

Baru-baru ini saya dijemput memberi pandangan bagi menurunkan kos sara hidup di negara kita melalui majlis dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Tahniah kepada menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang berjaya mengumpul banyak pandangan daripada pelbagai pihak dan agensi berkaitan.

Rata-rata harga barang makanan dan perkhidmatan melonjak sehingga 60 peratus sejak akhir-akhir ini. Pada majlis berkenaan, pelbagai agensi mengemukakan pandangan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Ada pandangan mengenai usaha menjalankan pertanian hidroponik bagi menghasilkan makanan supaya harga barang makanan dapat dikurangkan.

Ada pula pandangan supaya kerajaan negeri menurunkan premium tanah agar harga rumah boleh dikurangkan. Begitu juga dengan mengkaji semula budaya dan amalan makan di luar dan pembaziran makanan yang boleh mengurangkan kos sara hidup.

Saya sendiri merujuk cara tanah diuruskan, supaya pengeluaran makanan menjadi lebih cekap dan akhirnya dapat menyumbang merendahkan kos sara hidup.

Dalam konteks ini, pengurusan tanah bersepadu mampu meningkatkan produktiviti makanan dan mengurangkan kos sara hidup. Apabila tanah diusahakan sebaiknya, tanah terbiar dapat dimajukan dan pengeluaran makanan dapat ditingkatkan.

Buat masa ini, kira-kira 300,000 hektar tanah bekas lombong di seluruh negara belum diusahakan sepenuhnya. Tanah bekas lombong boleh dijadikan ala-FELDA kedua dengan tanaman herba, sayur-sayuran dan tanaman kontan. Negara mengimport berjuta-juta ringgit hasil pertanian dari luar negara.

Kita perlu contohi Belanda sebuah negara di bawah paras laut, tetapi menjadi negara pengeluar sayur-sayuran utama di Eropah.

Ada kira-juga kira 200,000 hektar tanah pertanian terbiar di negara kita. Kajian dijalankan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan mendapati beberapa punca tanah pertanian terbiar.

Antaranya undang-undang pemilikan tanah yang lapuk, sikap pemilik tanah yang sukar mengerjakan tanah mereka, faktor kewangan dan tarikan pekerjaan di luar yang lebih menarik. Semua punca ini mesti dikaji dan penyelesaiannya dicari.

Ada juga kira-kira 1.7 juta hektar tanah rizab Melayu di Semenanjung dan hampir 75 peratus tidak dimajukan sepenuhnya.

Kebanyakan kita prihatin dengan pengurangan saiz tanah rizab Melayu, tetapi kurang melihat pada penggunaan tanah berkenaan yang tidak mencapai tahap tertinggi dan terbaik.

Cara mengurangkan masalah kemunduran tanah rizab Melayu perlu dicari. Prasarana perlu dimasukkan supaya nilai tanah rizab Melayu dapat ditingkatkan.

Barangkali juga perundangan tanah rizab Melayu perlu diharmonikan dalam bentuk penggubalan akta tanah rizab Melayu, bagi memperkasakannya. Semua usaha memerlukan pembabitan pelbagai agensi, sektor dan segenap lapisan rakyat.

Begitu juga ada kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf di seluruh Negara. Malangnya, hanya 12 peratus yang sudah dimajukan.

Wakaf perlu dilihat dalam konteks cara hidup dan bukan keagamaan semata-mata. Kita sudah ada hotel, ladang, sekolah, klinik yang dibina di atas tanah wakaf.

Laporan yang mengatakan tanah wakaf akan dimajukan untuk membina rumah mampu milik amat mengujakan. Begitu juga pembinaan hospital dan universiti wakaf.

Sekiranya tanah wakaf dapat dimajukan dengan cara tertinggi dan terbaik, kita akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat disebabkan secara prinsipnya, wakaf mensejahterakan rakyat.

Begitulah cara kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan melalui institusi wakaf yang bukan sahaja membawa keberkatan hidup, malah kesejahteraan seluruh alam.

Manfaat wakaf bukan sahaja boleh diagih kepada umat Islam, malah bukan Islam dan makhluk lain seperti haiwan.

Justeru, satu Pelan Induk Tindakan Kerjasama Kos Sara Hidup Negara perlu diwujudkan dengan menggembleng tenaga pelbagai agensi dan membabitkan pelbagai sektor dari segenap lapisan rakyat.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan Pensyarah Kanan (bidang pengurusan hartanah) Universiti Tun Hussein Onn

Berita Harian X