Khamis, 2 Mei 2019 | 12:22pm
Bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Bazar Ramadan menjadi tumpuan orang ramai. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Boikot peniaga eksploitasi Ramadan

UMAT Islam bakal menyambut bulan mulia, Ramadan kira-kira dua atau tiga hari sahaja lagi. Bulan penuh keberkatan yang sentiasa dinantikan ini bukan sahaja menawarkan pahala berlipat kali ganda, malah membuka peluang perniagaan yang melahirkan ramai usahawan segera bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Berniaga pada bulan puasa mampu meraih pendapatan lumayan, walaupun peniaga mungkin tiada pengalaman dalam bidang itu. Sama ada berniaga di rumah, secara dalam talian atau di bazar Ramadan dan gerai kecil di tepi jalan, usahawan ini berani mengambil risiko dan bijak mempromosikan produk jualan masing-masing untuk menarik perhatian pembeli, bagi menjana pendapatan lumayan.

Malah, hasil perniagaan selama sebulan pada Ramadan ada kalanya melebihi gaji yang diperoleh, menyebabkan ada yang sanggup bercuti panjang hanya untuk berniaga dan merebut lubuk rezeki itu.

Paling ketara, perniagaan makanan, pakaian dan barang hiasan sering mendapat perhatian pada bulan puasa ini. Di bazar Ramadan misalnya, aneka jenis makanan dijual dan pastinya menarik perhatian pembeli yang sedang berpuasa, selain bangsa lain yang mengambil kesempatan menikmati jualan pelbagai juadah yang ada kalanya tidak pernah ditemui sebelum ini.

Dalam usaha melariskan jualan dan mengejar keuntungan, peniaga juga sebenarnya turut memikul tanggungjawab supaya tidak menipu atau menganiaya orang ramai yang nafsu beli mereka sangat tinggi ketika itu.

Jualan produk makanan di bazar Ramadan misalnya, sering mencetuskan isu apabila kualiti barang dijual tidak seperti ditetapkan, malah ada makanan sudah basi terus dijual yang akhirnya menyebabkan pembeli mengalami masalah kesihatan.

Adakah tindakan tidak bertanggungjawab peniaga ini disebabkan mereka enggan menanggung kerugian akibat makanan tidak habis dijual dan terpaksa dijual semula walaupun mengetahui ia sudah rosak.

Dalam hal ini, pihak berkuasa wajar melakukan pemantauan berkala bagi memastikan peniaga seperti ini tidak mengeksploitasi keghairahan pembeli pada bulan Ramadan dengan menjual produk yang sepatutnya sudah dibakulsampahkan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengeluarkan lesen perniagaan dengan kerjasama agensi berkaitan disaran kerap mengambil sampel makanan dan minuman yang dijual secara rambang, bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan terjamin.

Langkah ini dapat mendidik peniaga lebih bertanggungjawab dalam soal penyediaan makanan dan minuman dijual sepanjang Ramadan, sekali gus dapat mengurangkan aduan pengguna mengalami masalah kesihatan seperti keracunan makanan.

Selain itu, tindakan peniaga menjual produk pada harga tidak ‘masuk akal’ juga turut berlaku. Dalam kemeriahan berpuasa dan bakal menyambut Aidilfitri, jualan aneka biskut raya semestinya menjadi buruan ramai.

Usahawan segera yang melihat peluang itu sebagai limpahan rezeki yang perlu dikaut, pasti menjadikan biskut raya sebagai jualan utama berikutan permintaannya yang sentiasa meningkat setiap kali musim perayaan.

Agak mengejutkan apabila harga biskut raya kini ada yang mencecah RM1 bagi setiap keping atau RM50 bagi setiap 50 keping dalam balang kecil, tetapi agak menyedihkan apabila rasa biskut raya yang dikategorikan sebagai premium ini hanya ‘biasa-biasa’ saja, menggunakan bahan tidak seperti didakwa.

Tidak mustahil apabila peniaga biskut raya mampu menjana pendapatan lebih RM50,000 sebulan dan terpaksa menggaji pembantu bagi menyiapkan tempahan.

Tidak dinafikan, pengguna boleh menggunakan kuasa beli mereka untuk memboikot peniaga yang melakukan penipuan, penyelewengan dan penganiayaan, namun peniaga itu sendiri wajar memiliki rasa tanggungjawab untuk turut sama menjaga kepentingan orang ramai dengan menjual produk berkualiti.

Ramadan perlu dijadikan bulan mendidik dan mengajar peniaga erti keikhlasan dan kejujuran dengan memastikan hak pelanggan dijaga.

Bulan ini juga perlu dilihat sebagai batu loncatan kepada kita memartabatkan Islam dalam bidang penguasaan ekonomi, dengan menggiatkan diri secara aktif dalam perniagaan yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Walaupun usahawan bulan Ramadan dianggap sebagai peniaga bermusim, ia menjadi asas penting kepada mereka mendapat pengalaman mendalami bidang itu.

Sepatutnya semangat usahawan yang cekal berniaga pada Ramadan ini diteruskan pada bulan biasa kerana asas berniaga selama sebulan sudah diperoleh dan hanya perlu memperbaiki kelemahan yang ada.

Paling penting, jadilah peniaga bertanggungjawab yang bukan hanya mengejar keuntungan untuk jadi kaya, sebaliknya bagi mencari nafkah dan berbakti memberi manfaat kepada manusia.

Berita Harian X