Khamis, 21 March 2019 | 11:04am
BUNGA dan gambar mangsa di tapak peringatan berhampiran masjid Al Noor di Christchurch. - Foto Hiasan

Suburkan belas kasihan merentas agama, bangsa

SUSULAN insiden keganasan terhadap jemaah dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu, penduduk New Zealand tanpa mengira agama, mengambil tindakan mengawal masjid ketika umat Islam beribadat. Tindakan sama dilaporkan berlaku di negara lain khususnya yang mengalami masalah golongan pelampau kanan kulit putih seperti di Amerika Syarikat (AS).

Mutakhir ini, dunia menyaksikan dua kutub pelampauan antara pelampau kanan kulit putih diwakili Donald Trump di AS dan parti nasionalis di Eropah dengan salafi-jihadi yang mengulangi tindakan Khawarij, kini dikepalai al-Qaeda dan Daesh.

Ia memburukkan lagi keganasan rejim Zionis di Palestin yang terus menzalimi umat Islam mahupun Arab Kristian, selain kumpulan sami radikal dan pemimpin tentera bersekongkol menindas etnik Rohingya beragama Islam di Myanmar.

Sudah tentu tindakan penduduk New Zealand, termasuk beragama Kristian mengawal masjid, menimbulkan kesyahduan, terutama ketika nilai kemanusiaan dicabar golongan pelampau yang keganasannya merentas sempadan agama, bangsa dan negara.

Dedah tindakan keras

Sebenarnya sikap belas kasihan bukan asing dalam agama dan sejarah Islam, tetapi kita lebih banyak didedahkan kisah serta berita yang hanya menunjukkan sisi umat Islam ditindas atau membalasnya dengan tindakan keras tanpa sorotan kepada prinsip rahmah dan akhlak.

Dalam tradisi Islam, sisi belas kasihan umat Islam mudah dilihat berdasarkan pandangan alam golongan sufi. Malah, keunggulan itu bukan hanya menjelma dalam suasana aman, bahkan keadaan genting.

Sejarah dunia Islam moden membuktikan sifat rahmah dan belas kasihan dimiliki Rasulullah SAW, bukan mustahil disalin kembali.

Pemimpin Algeria yang menentang penjajahan Perancis pada abad ke-19, Emir Abdul Qadir contoh unggul seperti disorot Reza Shah-Kazemi dalam tulisannya, From the Spirituality of Jihad to the Ideology of Jihadism.

Emir menentang Perancis ketika itu dicatatkan melakukan jenayah perang paling mengerikan hingga tahap tenteranya membawa pulang tong dipenuhi telinga tawanan perang, manakala orang awam disembelih kerana mempertahankan rakan senegara.

Dalam perjuangan dipimpin Emir itu, sikapnya sangat luar biasa hingga kita pasti mengatakan ia salinan akhlak ditunjukkan Rasulullah SAW. Setiap tentera Perancis ditawan, bukan sahaja dijamin keselamatan, bahkan aspek kerohanian dijaga, manakala wanita Perancis ditempatkan bersama ibu kepada Emir hingga terpelihara daripada gangguan.

Malah keunggulan belas kasihan terus dipelihara Emir meskipun beliau tewas dan dibawa ke Perancis untuk dibicarakan, sebelum dijatuhkan hukuman buang negara ke Damsyik, Syria. Di Damsyik pada 1860, Emir mempertahankan penganut Kristian daripada diserang perusuh Islam yang terpengaruh dengan berita perang saudara di negara jiran antara etnik Druze dengan Kristian.

Selamatkan penganut Kristian

Emir bersama pengikutnya menyelamatkan penganut Kristian hingga dianggarkan kira-kira 15,000 orang ‘terhutang nyawa’ dengannya.

Pada satu tahap, amarah perusuh meningkat, Emir terpaksa menyeru pengikutnya: “Wahai rakan senegaraku, semoga kalian bergembira kerana aku menjadikan Tuhan sebagai saksi: kita akan bertarung dengan sebab suci yang sebelum ini kita perjuangkan.”

Kata-kata itu menunjukkan kesucian tindakan mempertahankan penganut Kristian sama dengan perang membebaskan tanah air dan keluarga dari Perancis di Algeria. Sifat itu turut ditunjukkan ahli sufi yang menentang penceroboh seperti Imam Shamil di Dagestan yang juga Sheikh Tariqat Naqshabandiah dan Umar Mukhtar di Libya (Tariqat Sanusiyah).

Dalam tradisi sufi Islam, sifat itu terbit daripada sifat al-Jamal, iaitu Yang Maha Indah, sekali gus ciri penting ketika aman dan perang. Bagaimanapun kita lebih tertumpu kepada pertembungan ketamadunan antara Barat dengan Islam, hingga terlepas pandang sifat belas kasihan dan kemanusiaan.

Belas kasihan merentas agama, bangsa dan negara perlu terus disuburkan, malah konsep kasih sayang dalam agama khususnya Islam perlu diberikan penekanan. Ummah tidak boleh membiarkan naratif besar berasaskan belas kasihan dan perasaan cinta dibakar api keganasan tanpa mengira kelompok ekstremis dan pengganas mana sekalipun.

Penulis adalah Pengarang Sastera & Agama BH

Berita Harian X