Khamis, 28 Februari 2019 | 8:38am
Usaha meningkatkan pengeluaran beras perlu dilakukan sekiranya negara tidak mahu bergantung kepada bekalan beras diimport dari Thailand atau Vietnam. - Foto hiasan

Anak muda perlu selamatkan Jelapang Padi

KEDAH Darul Aman, negeri yang istimewa kerana dalam hiruk pikuk ‘panas’ politik negara, penduduknya masih tenang mengharungi kehidupan. Di sini, selain isu rakyat dan ekonomi, perkara paling menarik diperkatakan orang Kedah adalah perkara berkaitan beras, ketum dan aktiviti sempadan yang sentiasa dekat di hati masyarakat.

Saban hari di kedai kopi atau warung, penduduknya akan duduk membincangkan tiga isu berkenaan yang bagi mereka sentiasa relevan dibincang, selain cerita pasukan bola sepak Hijau Kuning.

Bagaimanapun, penulis tidak merancang memperkatakan mengenai isu ketum yang baru-baru ini diharamkan kerajaan negeri atau isu sempadan, terutama tarikan pekan Danok yang terletak bersebelahan Bukit Kayu Hitam.

Baru-baru ini, timbul isu mengenai bekalan beras negara, di mana Kedah selaku negeri Jelapang Padi menjadi penyumbang utama kepada bekalan negara, berisiko hilang status itu pada masa hadapan. Impak pembangunan, termasuk keperluan pembinaan kawasan perumahan dan pusat komersial di bandar utama menyebabkan kawasan tanaman padi terpaksa dikorbankan.

Pada masa sama, pengeluaran beras Kedah yang berjumlah sekitar sejuta tan setahun, tidak mampu menampung keperluan rakyat Malaysia yang dianggarkan memerlukan tiga juta tan beras setahun.

Hasil sekadar cukup makan

Sesi luahan perasaan penulis bersama pesawah mendedahkan pendapatan mereka hasil tanaman padi hanya sekadar cukup makan, namun tetap diteruskan kerana kegiatan itu sudah sebati dilakukan sejak sekian lama.

Hakikatnya, golongan pesawah di Kedah kini terdiri daripada pesawah warga emas yang kebanyakannya berusia hujung 50-an hingga 70-an dengan tidak ramai generasi muda berminat dalam aktiviti ini lagi.

Bayangkan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi, adakah pesawah berusia ini masih mampu menanam padi dan sekiranya mereka tidak berdaya lagi, siapa pula yang akan mengusahakan sawah?

Cabaran pesawah ketika ini bukan berlegar kepada masalah siput godang sahaja, tetapi berdepan masalah lebih besar bermula daripada kos membajak tanah sehingga isu padi angin.

Mungkin ramai yang tidak faham isu padi angin, tetapi secara ringkas padi angin adalah situasi sawah ditumbuhi padi dari benih yang tidak sesuai menyebabkan pesawah menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

Pertemuan bersama bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MUDA), Datuk Othman Aziz juga membuka mata penulis betapa nilai sepinggan nasi yang dinikmati di kedai tidak sepadan dengan jerih pesawah.

Kita mungkin dapat membeli nasi pada harga RM1 atau RM2, tetapi tanpa mengetahui kesukaran mengeluarkan beras, tiada siapa yang akan menghargai nilai sepinggan nasi itu. Bagi membolehkan nasi itu dihidangkan, pesawah tradisi sebenarnya menghadapi pelbagai cabaran sehingga ada yang secara terbuka tidak mahu melihat anak cucu mereka meneruskan penanaman padi.

Othman sendiri menegaskan, usaha meningkatkan pengeluaran beras perlu dilakukan sekiranya negara tidak mahu bergantung kepada bekalan beras diimport dari Thailand atau Vietnam. Dari aspek keselamatan makanan, kebergantungan ini boleh membahayakan negara sekiranya negara pengeksport beras terbabit tiba-tiba mahu memberhentikan penjualannya atau dilanda bencana.

Semangat tak luntur

Disebabkan itu, timbul desakan agar kerajaan membantu pesawah meningkatkan pengeluaran beras kepada lebih enam tan sehektar berbanding hanya antara empat ke enam tan setahun ketika ini. Pengeluaran lebih enam tan itu sebenarnya bukan sesuatu mustahil kerana ada pesawah yang mampu mencapai sehingga 10 tan setahun seperti dilakukan Jaafar Zakaria yang mengusahakan sawah di Sanglang.

Menerusi pengalaman dan kaedah saintifik, Jaafar berupaya menentukan tahap keasidan (pH) tanah sebelum memulakan proses tanaman sehingga berjaya meraih pengeluaran maksimum padi. Apa terjadi sekalipun, penulis percaya semangat pesawah di Kedah tidak akan luntur, sekali gus terus berusaha memastikan kegiatan penanaman padi diteruskan selagi bakti mereka diperlukan.

Berita Harian X