Sabtu, 9 Februari 2019 | 11:01am
AIDI Mokhtar

Isu anak negeri jangan sampai gugat perpaduan

SEMUA etnik peribumi di Sabah ialah Bumiputera tetapi tidak semua Bumiputera itu peribumi. Bunyinya mungkin pelik di Semenanjung tetapi biasa di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung istilah yang seerti ialah semua Orang Asli itu Bumiputera tetapi tidak semua Bumiputera itu Orang Asli.

Isu Bumiputera dan anak negeri (peribumi) atau ‘native’ timbul apabila Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Mokhtar, dilaporkan mengemukakan cadangan untuk menyemak sama ada masyarakat Bugis dan Jawa di Sabah yang berasal dari Jawa dan Sulawesi, Indonesia harus dianggap sebagai anak negeri Sabah.

Aidi dilaporkan berkata, Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) di Sabah ketika ini tidak mengklasifikasikan kedua-dua kaum itu sebagai anak negeri dan itu tidak adil kepada masyarakat berkenaan.

Kenyataan berkenaan lantas menimbulkan kemarahan peribumi Sabah yang menganggap ia sebagai ‘pencabulan’ kepada pengiktirafan terhadap peribumi yang mencakupi etnik penduduk asal Borneo Utara.

Etnik diiktiraf sebagai anak negeri antaranya Kadazandusun, Bajau, Rungus, Murut dan Kimaragang yang sememangnya termaktub dalam Ordinan Interpretasi.

Peribumi berasal dari Borneo Utara

Anak Negeri atau ‘native’ (peribumi) ialah mereka yang berasal dari Borneo Utara. Dalam konteks nasional mereka juga Bumiputera mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sebab itulah, bekas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor pantas bersuara untuk meredakan keadaan dengan nada tegas bahawa Bumiputera tidak semestinya layak diiktiraf sebagai penduduk asal peribumi Sabah.

Begitu juga orang Melayu dari Semenanjung dan Sarawak juga tidak diiktiraf sebagai orang asal Sabah, kecuali seorang daripada ibu bapa mereka berasal dari Sabah.

“Begitu juga dalam konteks kaum Bugis menetap di Sabah. Mereka ialah orang asal Sulawesi, manakala Jawa orang asal Jawa. Mereka bukan orang asal Sabah atau Borneo Utara. Mereka tidak layak menjadi orang asal dalam definisi Ordinan Anak Negeri,” kata Hajiji.

​​​​​​Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri amat tegas apabila mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu perlu diteliti supaya tidak menjadi pertikaian tanpa mengetepikan semua suku kaum yang ada di Sabah.

Ada kewajarannya kenyataan berkenaan kerana institusi ketua kampung juga wujud di perkampungan masyarakat Bugis dan Jawa, begitu juga ‘Kapitan’ di kawasan Tionghua.

Walaupun bukan berstatus anak negeri, mereka tertakluk kepada pelantikan yang sama dengan Ketua Kampung dalam kalangan peribumi.

Sistem anak negeri unik

Keunikan sistem anak negeri ialah ia mempunyai mahkamah dikenali Mahkamah Anak Negeri yang diketuai seorang Ketua Daerah bertanggungjawab dalam semua urusan berkaitan komuniti peribumi.

Bidang kuasa mahkamah itu ialah tuntutan waris, perkahwinan (bukan Islam), perceraian (bukan Islam) pemberian Sijil Anak Negeri, pentadbiran Ordinan Mahkamah Anak Negeri, perbicaraan kes berkaitan adat resam dan permohonan angkat anak.

Ketua Anak Negeri atau digelar Orang Kaya Kaya (OKK) ialah jawatan yang diperkenalkan ketika era awal pentadbiran kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British di Sabah. Jawatan ini dikhususkan dalam pentadbiran kerajaan di setiap daerah di seluruh negeri Borneo Utara (Sabah) ketika itu dan kekal sehingga kini.

Pemimpin masyarakat peribumi yang dilantik diiktiraf kerajaan pada era penjajah, namun sehingga kini jawatan itu masih kekal walaupun bidang kuasanya lebih terbatas.

Justeru, walaupun wajar mempertahankan institusi anak negeri, tetapi jangan sampai menggugat perpaduan yang sekian lama berakar umbi di Sabah. Negeri di Bawah Bayu amat sinonim dengan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’.

Berita Harian X