Rabu, 30 Januari 2019 | 11:09am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Usaha pastikan padi negara berdaya saing

Tanaman padi tidak asing dalam pembangunan negara bukan hanya sebagai sumber bekalan makanan utama, tetapi turut menyediakan pekerjaan kepada rakyat khususnya di luar bandar.

Sebagai makanan ruji, padi mendapat perlindungan dan keutamaan pelbagai pihak terutama kerajaan, agar bekalan makanan ini sentiasa mencukupi.

Baru-baru ini, laporan menyatakan industri padi dalam situasi kritikal, susulan pengeluaran beras tidak mencapai sasaran.

Ia disebabkan peningkatan kos penanaman serta ancaman penyakit yang serius, yang memberi impak besar dalam pencapaian kadar sara diri komoditi ini dan stok penimbal beras negara.

Dalam memastikan kelangsungan, pelaburan besar dibuat untuk menyokong pengeluaran makanan ruji ini melalui pelbagai program dan bantuan dirangka kerajaan.

Antaranya Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Skim Subsidi Harga Padi, Insentif Pengeluaran Padi, Insentif Peningkatan Hasil, Baja Tambahan NPK, Bantuan Kawalan Makhluk Perosak.

Namun masih ada ruang lompong perlu dikenal pasti, bagi memastikan industri padi negara tidak terus suram.

Kebanyakan petani yang mengerjakan sawah sebagai sumber pendapatan utama adalah golongan warga emas. Kekurangan generasi muda yang berminat mengakibatkan industri ini semakin sepi.

Kudrat terbatas menyebabkan tugas mengerjakan sawah diambil alih pihak ketiga yang diupah. Kesannya pulangan petani semakin mengecil.

Pada masa sama, hambatan pembangunan mengakibatkan tanah sawah diserahkan kepada pemaju atau pihak lain untuk tujuan pembangunan perindustrian, perumahan dan sebagainya.

Berpuluh atau ratusan hektar tanah sawah dikorbankan menyebabkan kawasan tanaman padi semakin mengecil dan pengeluaran beras negara terus susut.

Gagal patuhi garis panduan

Ada melihat kegagalan petani mematuhi garis panduan penanaman padi ditetapkan sebagai penyebab kemerosotan pengeluaran padi. Namun kurang wajar meletakkan kesalahan kepada petani semata-mata, sebaliknya pemantauan agensi pelaksana dalam membantu petani menguruskan sawah mengikut standard ditetapkan perlu ditekankan.

Usaha mendidik petani melakukan transformasi memerlukan iltizam tinggi, terutama untuk menarik mereka ke arah perubahan.

Rata-rata petani lama berpegang kepada pengaruh dan amalan petani berkaitan pandangan alam dalam aktiviti penanaman. Ia memerlukan masa dan kesabaran tinggi untuk mengubah pegangan itu.

Kecelaruan cuaca turut memberi kesan kepada corak pengeluaran padi negara. Serangan tikus, bena perang, siput gondang, padi angin antara faktor menyumbang kepada kemerosotan industri beras negara.

Kenaikan kos sara hidup menyumbang kepada kesuraman industri padi. Ini kerana rata-rata petani lebih mengutamakan perbelanjaan dan keperluan isi rumah berbanding keperluan untuk tanaman padi.

Kesannya tanaman padi kurang diberi keutamaan dalam perbelanjaan pendapatan isi rumah. Ia mengakibatkan golongan ini terus bergantung kepada orang tengah bagi mendapatkan modal pusingan untuk mengerjakan sawah.

Kekurangan pemilikan aset kewangan mengakibatkan petani mudah jatuh dalam situasi terancam apabila berlaku serangan penyakit dan perosak, bencana alam.

Sudah tiba masanya semua pihak perlu turut serta mencari penyelesaian holistik dan sistematik bagi melindungi industri padi negara.

Pelan jangka masa masa panjang dan pendek perlu dilakukan segera bagi memastikan industri padi terus bertahan .

Tindakan kerajaan negeri Kedah contohnya melindungi tanah negeri seluas 270,000 hektar yang dikhaskan bagi pengeluaran padi, kawasan pertanian, tasik empangan dan tadahan air antara tindakan tepat dan harus diberi pujian. Ia melindungi dan memastikan pengeluaran makanan ini terjamin.

Di atas hujah keselamatan makanan, intervensi kerajaan masih diperlukan dan diteruskan bagi memastikan pengeluaran makanan ruji ini terjamin.

Penyelidikan dan pembangunan secara tersusun di sepanjang rantaian tumbesaran tanaman ini perlu dilaksanakan dengan lebih sistematik dan holistik.

Prosedur berkaitan perundangan bagi tujuan penukaran tanah sawah kepada pembangunan perlu dikaji semula bagi mengelak penukaran status tanah sawah kepada pembangunan berterusan, sehingga memberi implikasi besar kepada pengeluaran padi negara.

Ini penting bagi memelihara kepentingan tanah sebagai aset utama yang menyumbang kepada pengeluaran makanan negara.

Penulis adalah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X