Isnin, 28 Januari 2019 | 11:03am
PUPUK amalan pengasingan sisa pepejal di rumah. - Foto Hiasan

Pupuk amalan pengasingan sisa pepejal di rumah

SISA pepejal boleh ditafsir sebagai semua bahan yang tidak diperlukan terdiri daripada pepejal atau separa pepejal seperti kertas, kaca, tin, plastik, mendakan lombong, sisa makanan, sisa pertanian, bahan radioaktif dan sebagainya.

Penghasilan sisa pepejal semakin bertambah ekoran pertambahan bilangan penduduk di negara kita. Arus urbanisasi turut meningkatkan kadar pencemaran alam sekitar seperti pemanasan global dengan peningkatan kadar penghasilan sisa pepejal dari kawasan perumahan, industri, pusat komersial, kawasan pembinaan, institusi, perladangan dan sebagainya.

Hal ini terjadi disebabkan kaedah pelupusan sisa yang kebiasaannya dibakar di kawasan terbuka dan ada yang dibuang terus ke dalam sungai atau laut.

Kawal krisis global

Justeru, langkah penting boleh diamalkan masyarakat kita dalam mengawal krisis global ini yang berpunca dari pertambahan sisa pepejal, adalah dengan mengasingkan sisa pepejal sebelum membuangnya ke dalam tong.

Bermula 1 September 2015 merujuk peraturan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kerajaan mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah bagi beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Cegah pencemaran alam

Pengasingan ini boleh dikelaskan kepada beberapa bahagian sisa yang biasanya dihasilkan atau dibuang dari rumah iaitu kertas, plastik, tin logam, kaca, sisa fabrik, sisa elektrik, sisa kebun dan sisa berbahaya.

Pengasingan dibuat awal di rumah, sedikit sebanyak membantu mencegah pencemaran alam sekitar.

Sisa pepejal bercampur berkemungkinan mempunyai bahan membahayakan kesihatan persekitaran sekiranya terus dibuang ke tapak pelupusan sampah.

Bukan itu sahaja, pengasingan awal turut memudahkan masyarakat memupuk budaya kitar semula kerana mengasingkan sisa pepejal rumah mengikut kategori bahan yang biasanya boleh dikitar semula seperti kertas, tin dan juga kaca.

Amalan sebegini bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah sisa yang boleh dikitar semula berkemungkinan besar boleh dijual dan menguntungkan pengguna sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang

Berita Harian X