Sabtu, 5 Januari 2019 | 11:00am
ISU larangan merokok di premis makanan berkuat kuasa Selasa lalu menjadi antara polemik yang dilihat sebagai pembuka tirai menyambut tahun baharu 2019.

Jangan nafi hak bukan perokok

ISU larangan merokok di premis makanan berkuat kuasa Selasa lalu menjadi antara polemik yang dilihat sebagai pembuka tirai menyambut tahun baharu 2019.

Pelbagai pihak mempunyai pandangan masing-masing dalam menerima peraturan baharu yang ditetapkan kerajaan ke arah memastikan premis makanan di negara ini bebas asap rokok.

Dalam tempoh dua hari pertama larangan itu dikuatkuasakan, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan 1,453 amaran bertulis selain 3,879 nasihat diberikan kepada individu terbabit.

Mungkin bagi sesetengah pihak masih terlalu awal untuk membuat andaian sejauh mana keberkesanan terhadap undang-undang ini memandangkan enam bulan pertama pelaksanaannya lebih bertujuan memberi amaran dan pendidikan, manakala elemen penguatkuasaan hanya akan bermula secara berperingkat selepas itu.

Namun, bagi pihak peniaga pula sudah mula kedengaran rungutan kononnya perniagaan mereka terjejas sedikit dengan peraturan itu apabila mendakwa semakin kurang pelanggan memasuki kedai makan, terutama pada waktu makan tengah hari yang biasanya sesak.

Itu belum termasuk tindakan undang-undang oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai PRO-TEM Pertahankan Hak Perokok (PHP) yang mahu mencabar keputusan larangan merokok berkenaan yang kononnya melanggar hak sama rata seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Usah pertikai peraturan

Melihatkan kepada bilangan bukan perokok di negara ini yang lebih ramai berbanding mereka yang merokok, Ahli Jawatankuasa Pusat Perubatan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad menjelaskan tidak seharusnya peraturan baharu ini dipertikaikan oleh golongan mewakili minoriti terbabit.

Selama ini mereka yang merokok tidak pernah menghiraukan kepentingan hak bukan perokok, terutama golongan wanita hamil dan kanak-kanak untuk menikmati hidangan dalam suasana dan persekitaran bersih serta bebas daripada asap rokok.

“Jika diikutkan mereka yang tidak merokok ialah majoriti di negara ini, berbanding bilangan perokok, tetapi hak mereka dinafikan sejak sekian lama disebabkan sikap kebanyakan perokok yang tidak pernah mengendahkan golongan terbabit bersikap bebas merokok di kedai makan.

“Larangan ini diharapkan mampu mendidik mereka untuk lebih menghormati hak orang lain dengan tidak merokok secara terbuka,” katanya.

Beliau melihat rungutan disuarakan golongan peniaga sebagai bersifat sementara kerana larangan terbabit sebenarnya bakal menarik lebih ramai pelanggan daripada kalangan bukan perokok yang selama ini cuba mengelak ke premis atau kedai makan disebabkan terpaksa menghirup asap rokok.

Malah, sudah dibuktikan di kebanyakan negara seperti Australia, Singapura, United Kingdom dan Korea Selatan bahawa tempat makan bebas rokok akan menjadi pilihan ramai, terutama mereka yang berkeluarga dan mempunyai bayi atau kanak-kanak.

Pada masa sama, peraturan baharu ini bukan sahaja mampu meningkatkan tahap kesihatan penduduk di negara ini apabila hampir semua tempat tumpuan utama pengunjung menjadi bebas asap rokok, tetapi sedikit sebanyak dapat mengurangkan tabiat merokok di tempat terbuka.

Mungkin juga ini masa terbaik bagi mereka yang berhasrat untuk berhenti merokok dengan mengambil peluang yang ada, selain mengurangkan tabiat merokok apabila berada di tempat awam. Ini sekali gus membawa mesej kepada mereka bahawa perbuatan merokok di tempat terbuka dan di tempat awam semakin tidak diterima di sisi masyarakat.

Sukar bendung tabiat merokok

Rata-rata perokok tegar mengakui bukan mudah untuk membendung tabiat merokok, terutama di restoran atau kedai makan terbuka, biarpun menyedari ramai pelanggan tidak selesa apabila terpaksa menjamu selera dalam kepulan asap rokok.

Namun, mereka berpandangan, ketagihan mereka terhadap rokok mempunyai kaitan dengan kandungan nikotin, tar dan karbon monoksida yang dikilangkan di negara ini, berbeza dengan kadar nikotin pada rokok di negara lain.

Sehubungan itu, mereka berpendapat pengurangan kandungan bahan yang menyumbang kepada ketagihan berkenaan dapat mengurangkan keinginan untuk merokok, terutama di premis atau kedai makan yang menjadi tempat untuk mereka melepaskan ketagihan rokok.

Seorang perokok yang mahu dikenali Fandi mendakwa menghisap rokok dijual di negara ini ada ‘ummph’ berbanding rokok dijual di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Eropah, Australia atau Singapura.

“Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mampu membendung tabiat merokok di restoran. Ini sama dengan tabiat penagihan dadah. Walaupun hukuman mati mandatori dikenakan, penagihan dadah tidak berakhir,” katanya.

Jejas kesihatan

Justeru, apabila kerajaan mengisytiharkan larangan merokok di restoran atau mana-mana premis, ini menimbulkan kegembiraan kepada keluarga yang mahu makan di luar rumah yang bebas asap rokok.

Walaupun ramai marah dengan penguatkuasaan undang-undang itu, perokok tegar perlu sedar tindakan mereka menjejaskan kesihatan orang awam.

Bukan tidak menghormati hak peribadi perokok, sebaliknya mereka perlu berfikir secara matang tindakan kerajaan juga memanfaatkan perokok dari aspek penjagaan kesihatan.

Perokok tegar mungkin akan sedar jika anak atau isteri mereka menerima kesan asap rokok di restoran dan fikir-fikirkanlah nasib mereka yang mahu bebas asap rokok.

Paling penting peraturan ini memberi mesej paling besar kepada perokok bahawa perbuatan merokok bukan sahaja bahaya dari sudut kesihatan, tetapi tidak dapat diterima masyarakat secara keseluruhannya.

Berita Harian X