Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Kerajaan kekal kuat kuasa larangan merokok 1 Januari

MASYARAKAT yang mementingkan kesihatan lega dan menyambut baik jaminan kerajaan untuk tidak berganjak daripada menguatkuasakan larangan merokok di restoran seperti ditetapkan mulai 1 Januari ini. Mengikut peraturan itu, pemilik kedai makan dan restoran diwajibkan meletak papan tanda larangan merokok, tidak menyediakan bilik khas untuk merokok atau tempat membuang habuk atau puntung rokok di dalam premis masing-masing.

Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 itu menetapkan individu yang merokok di tempat diwartakan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang ingkar berdepan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Kita mengalu-alukan pendirian tegas kerajaan dalam soal membabitkan kesihatan, terutama tempat dan suasana yang kondusif kepada orang awam.

Sebelum ini, pengusaha restoran meminta Kementerian Kesihatan menangguhkan larangan berkenaan kerana menganggap merokok sambil berbual-bual di dalam kedai makan sebagai perbuatan yang sudah sebati dengan perokok. Malah, pemilik kedai menggunakan alasan kononnya mereka tiada kuasa dari segi undang-undang untuk menguatkuasakan larangan berkenaan.

Permintaan pengusaha restoran ini mungkin disebabkan mereka takut kehilangan pelanggan, namun mereka sewajarnya melihat dari sudut positif. Larangan merokok itu secara langsung akan menarik kedatangan lebih ramai lagi pelanggan yang tidak merokok selepas ia dikuatkuasakan mulai minggu depan.

Sebenarnya peraturan itu sudah mengambil kira keperluan perokok, iaitu mereka dibenarkan merokok dengan syarat berada tiga meter dari restoran dan warung terbuka. Malah, pada peringkat awal ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, kelmarin memberi jaminan pemilik kedai makan tidak akan didenda atas kesalahan pelanggan berdegil untuk terus merokok. Sebaliknya, mereka boleh membuat aduan ke talian khas 03-388942530 yang beroperasi 24 jam, selain menyediakan 5,008 pegawai dan penolong pegawai kesihatan bagi tujuan pemantauan.

Ada yang berpandangan sinis mengenai keupayaan lebih 5,000 pegawai penguat kuasa ini, sedangkan jumlah perokok di negara ini membabitkan jutaan orang. Namun, kita percaya selain denda,tindakan paling berkesan ialah melaksanakan self regulation atau pengaturan diri membabitkan disiplin perokok itu sendiri. Justeru, inisiatif Kementerian Kesihatan amat jelas kerana dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan ialah tempoh mendidik, iaitu penguat kuasa akan memberi amaran kepada perokok dan pengusaha premis kedai makan yang ingkar.

Saman dikeluarkan selepas mereka mengulangi perbuatan sama. Ini selari dengan matlamat Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam dan bangunan kerajaan, iaitu melindungi bukan perokok dan mencegah remaja daripada memulakan tabiat merokok.

Kajian menunjukkan mereka yang terhidu asap rokok mempunyai kesan negatif yang sama seperti perokok seperti menghadapi risiko sakit jantung dan kanser paru-paru.

Kita juga amat khuatir apabila data menunjukkan berlaku peningkatan ketara jumlah remaja merokok dan aliran itu perlu dibendung.

Ringkasnya, merokok bukan sahaja merosakkan diri sendiri dan orang lain, tetapi peningkatan jumlah perokok dalam negara juga akhirnya membebankan kerajaan dari segi kos menyediakan perubatan bagi penyakit berkaitan asap rokok. Malaysia sudah menandatangani inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau yang menyasarkan negara bebas rokok menjelang 2045. Walaupun masih ada tempoh 26 tahun lagi untuk mencapai sasaran berkenaan, usaha kita untuk mewujudkan masyarakat sihat tidak seharusnya terhenti.

Berita Harian X