Rabu, 19 Disember 2018 | 11:00am

Tabik Adib wira padam 'api kebencian'

Pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, di Institut Jantung Negara (IJN) kelmarin sebenarnya kematian untuk mempertahan keamanan negara. Allahyarham bertarung nyawa lebih tiga minggu selepas parah dipukul pada malam kedua insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.

Muhammad Adib dan pasukannya dengan berani memasuki kawasan berkenaan untuk memadamkan kebakaran kenderaan, tindakan yang boleh diibaratkan untuk ‘memadam api kebencian’ yang menjadi punca pergaduhan kumpulan penjenayah dengan penganut agama Hindu. Seluruh negara ini, tanpa mengira kaum dan peringkat umur, daripada rakyat biasa kepada pemimpin dan pihak istana, bersedih serta bersimpati dengan apa yang menimpa Muhammad Adib dan pasukannya. Namun, jangan pula ada pihak yang cuba menyalakan bara kebencian agama dan mengapi-apikan kemarahan orang ramai.

Sejak pagi semalam, ada kenyataan ahli politik yang nampaknya agak keras dan cuba menangguk di air keruh bagi mendapatkan semula sokongan terhadap parti mereka dengan memanipulasi rusuhan di kuil berkenaan dan kematian Muhammad Adib. Beberapa individu pula menularkan ‘posting’ berkaitan isu berkenaan di media sosial hingga mendorong ulasan berbaur perkauman.

Perbuatan provokasi begini mestilah dihentikan sama sekali kerana semua pihak patut mengambil iktibar daripada apa yang sudah berlaku. Kita tidak mahu timbulkan lagi kejadian jenayah yang boleh dikaitkan dengan perkauman.


Kelengkapan operasi Allahyarham Anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim ‘17476’ menjadi kenangan di Balai Bomba Subang Jaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Cukuplah satu nyawa yang terkorban. Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan rapi, mengambil tindakan susulan dan mengeluarkan kenyataan rasmi yang sudah tentu daripada maklumat yang sahih. Polis sudah pun menukar klasifikasi siasatan kes ini daripada cubaan membunuh kepada membunuh. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan kematian Muhammad Adib kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kita percaya pihak berkuasa akan menjalankan siasatan dengan cara terbaik dan mengheret mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Mahkamah akan menentukan nasib tertuduh. Jangan ada lagi kumpulan atau individu yang cuba membangkitkan sensitiviti kaum atau agama.

Mungkin ada juga kewajaran kepada cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat unsur jenayah yang membawa kepada kematian Muhammad Adib dan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman. Kita percaya kerajaan akan meneliti semua cadangan dan membuat keputusan yang bijak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam Kenyataan Khas di Dewan Rakyat tiga hari selepas rusuhan menjelaskan, kejadian itu ialah perbuatan jenayah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bukan membabitkan isu perkauman mahupun pertelingkahan agama.

Perdana Menteri menegaskan mereka yang menjadi dalang atau cuba mengambil kesempatan akan berdepan dengan tindakan undang-undang kerana insiden seperti itu boleh membawa kepada masalah yang lebih besar membabitkan ketenteraman kaum. Keselamatan dan kestabilan negara ialah tanggungjawab bersama. Negara kita tanggungjawab kita. Ucapan takziah buat keluarga Muhammad Adib. Al-Fatihah. Adib, tenanglah di sana!

Berita Harian X