Jumaat, 14 Disember 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Tangani masalah membelenggui generasi muda

Kualiti sumber manusia, terutama generasi muda antara faktor penting membangunkan negara dan mencapai status negara berpendapatan tinggi. Di negara kita, pelbagai agensi kerajaan komited untuk memberi pendidikan dan latihan terbaik kepada remaja dan belia, namun masih ada isu besar lain yang membelenggu apabila kumpulan berkenaan gagal pula mendapat pekerjaan.

Mereka dikatakan menerima pendidikan dan latihan yang terbaik, tetapi Laporan Kajian Peralihan Sekolah ke Pekerjaan menunjukkan pada tahun lalu, sebanyak 77 peratus daripada kira-kira 502,600 penganggur ialah mereka yang berusia 15-29 tahun. Antara dapatan penting kajian yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu menunjukkan hanya 13 peratus pelajar sekolah menengah atas, mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), manakala kumpulan terbesar, iaitu 68 peratus dalam aliran akademik. Pada peringkat pendidikan tinggi pula, 9 peratus saja pelajar berada di politeknik dengan kumpulan terbanyak, iaitu kira-kira 67 peratus meneruskan pengajian di universiti awam dan swasta.

Antara faktor menyumbang kepada kekurangan pelajar dalam TVET ialah bidang berkenaan dianggap lebih rendah statusnya berbanding aliran akademik. Kajian berkenaan mendapati gaji lulusan TVET kira-kira RM3,000 lebih rendah berbanding graduan universiti. Sejak sekian lama, TVET dikawal selia oleh tujuh kementerian berbeza, menjadikan penyelarasan sangat bercelaru.


IBU bapa membeli barangan kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Asyraf Hamzah

Selain isu persepsi masyarakat, program yang dikendalikan oleh hampir 1,000 institusi TVET menghadapi isu pengiktirafan dan peruntukan pinjaman, manakala sekolah harian yang menjalankan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pula gagal ditauliahkan.

Untuk menstruktur semula bidang itu, Jawatankuasa Pemerkasaan Bidang TVET yang dipengerusikan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan penubuhan Suruhanjaya TVET dan Industri. Kita percaya, kerajaan akan mencari penyelesaian kukuh kepada isu ini demi kebaikan remaja dan belia untuk mendapat imbuhan yang lebih baik dan menyediakan sumber manusia mahir bagi membantu pertumbuhan ekonomi.

Satu lagi dapatan kajian oleh KRI ialah kira-kira 95 peratus graduan muda yang sedang bekerja sebenarnya ‘terlebih layak’, iaitu mereka mengisi pekerjaan yang memerlukan kelayakan akademik lebih rendah, contohnya pemegang ijazah sarjana muda mengambil jawatan untuk pekerjaan yang sekadar memerlukan lulusan diploma.

Kira-kira separuh lagi graduan sanggup bekerja sebagai buruh berkemahiran rendah. Ini menunjukkan keadaan ekonomi semasa dan persaingan yang tinggi sesama graduan memaksa mereka menerima pekerjaan yang lebih rendah daripada kelayakan akademik masing-masing.

Kenyataan ini bukan saja menolak tanggapan graduan memilih pekerjaan, tetapi ia juga satu pembaziran kepada bakat dan kemahiran mereka yang sudah dilatih selama beberapa tahun oleh institusi pendidikan tinggi. Ini juga satu kerugian kepada ekonomi tempatan kerana potensi produktiviti mereka terhalang, manakala imbuhan yang rendah akan mengurangkan kuasa beli graduan ini.

Beberapa isu lain juga disarankan dalam laporan kajian KRI seperti melaksanakan gaji sara hidup, berbanding gaji minimum kerana imbuhan kepada pekerja perlu mengambil kira kos tempat mereka tinggal dan bekerja. Ini bermakna gaji sara hidup di bandar dalam Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru tidak sama dengan keperluan imbuhan minimum bagi pekerja di wilayah lain yang kosnya lebih rendah.

Kita percaya agensi kerajaan berkaitan akan mengambil kira dapatan kajian berkenaan dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya untuk mengatasi isu berbangkit. Penyelesaian secara menyeluruh ini sangat penting untuk membawa kesejahteraan kepada golongan muda.

Berita Harian X