Sabtu, 17 November 2018 | 11:01am
Ibu bapa perlu mengetahui panduan kawalan serta penggunaan gajet secara positif terhadap anak. - Foto hiasan

Usah biar gajet jejas hubungan keluarga

Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-5 pada 2014 mendapati penggunaan telefon bimbit dan telefon pintar ialah medium komunikasi tertinggi dalam kalangan remaja dengan ibu bapa, meliputi kira-kira 73 peratus.

Ia diikuti khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak 54.6 peratus sebelum berubah kepada aplikasi WhatsApp dan seterusnya, media sosial iaitu 15.6 peratus. Itu penemuan empat tahun lalu dan kini statistik berkenaan pasti berubah.

Kemajuan teknologi juga menyebabkan ramai kanak-kanak seawal usia tujuh tahun sudah memiliki telefon pintar sendiri yang pada awalnya untuk perhubungan dengan keluarga, namun akhirnya berubah kepada ketagih permainan video.

Jika dahulu atau ringkasnya sebelum abad ke-21, kanak-kanak dipujuk dengan nyanyian, pantun atau cerita rakyat, kini ia berubah. Hanya dengan memberikan gajet, kanak-kanak terbabit akan diam dan leka melayari permainan video.

Bermula pada peringkat kanak-kanak lagi sudah terdedah kepada telefon pintar, jadi tidak hairanlah apabila usia meningkat, ketagihan terhadap gajet tidak dapat dibendung lagi.

Gajet ganggu perkembangan

Pada November setiap tahun, berlangsung Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan dan tahun ini, pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Seremban, Negeri Sembilan.

Tahun ini, sambutan anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertema ‘Keluargaku Sayang’ dan fokus utama program itu ialah keluarga bijak siber. Fokus sambutan kepada keluarga bijak siber amat tepat untuk mendidik keluarga menggunakan gajet mengikut keperluan secara bestari.

Ketika riadah, sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam misalnya, alangkah baiknya setiap keluarga menyimpan gajet sementara waktu untuk menikmati masa terbaik dan berkualiti bersama keluarga.

Ada keluarga yang bagaikan kehilangan kasih sayang kerana masa yang sepatutnya dinikmati bersama, ‘dilencongkan’ ke dunia luar, leka bermain gajet. Hanya jasad bersama, tetapi minda mereka sebenarnya berada di luar bersama kawan, selain menikmati permainan video atau mendengar muzik dan menonton video. Tidak hairanlah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mungkin bakal mengklasifikasi ketagihan permainan video sebagai masalah kesihatan mental pada tahun ini.

Dalam data terkini WHO menerusi Klasifikasi Penyakit Kebangsaan melalui draf ke-11, ketagihan permainan video termasuk dalam kategori mental, tingkah laku atau ‘neurodevelopmental’ (dikenali sebagai gangguan perkembangan).

Menurut laporan agensi berita China, Xinhua, ciri-ciri untuk mengenal pasti dan mendiagnosis penyakit ini ialah apabila seseorang itu sukar atau gagal mengawal sifatnya ke atas permainan video, sekali gus memberikan keutamaan kepada aktiviti itu.

Keluarga bijak siber

Sebab itulah, Revolusi Perindustrian 4.0 meletakkan sembilan tonggak yang mengambil kira kepentingan teknologi kepada kehidupan manusia.

Tonggak berkenaan ialah robot automasi, simulasi, integrasi sistem, penggunaan peranti internet kebendaan (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar serta integrasi sistem menegak dan melintang.

Dr Wan Azizah mahu setiap ahli keluarga bijak menggunakan gajet untuk kebahagiaan, keharmonian dan kesejahteraan keluarga. Setiap keluarga perlu memanfaatkan masa terluang bersama untuk menikmati kebahagiaan selagi ada kesempatan.

“Setiap kita pernah menghadapi cabaran sendiri untuk membentuk keluarga bahagia, harmoni dan sejahtera. Manfaatkan sebaik-baiknya masa bersama keluarga, termasuk mengawal penggunaan gajet,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018.

Pada sambutan berkenaan, beliau turut melancarkan aplikasi maya ‘mykafeTEEN’ untuk mendidik dan memberi khidmat sokongan kepada remaja khususnya berkaitan isu kesihatan reproduktif secara maya.

Perkhidmatan disediakan mencakupi maklumat kesihatan reproduktif, permainan hiburan pendidikan, ‘e-games’ selain kegiatan interaktif ‘Teen Talk’ dan ‘Teen Chat’ bersama kaunselor remaja serta doktor.

Antara rakan strategik sambutan berkenaan ialah Kerajaan Negeri Sembilan, CyberSecurity Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjelaskan sambutan itu bermatlamat menerapkan nilai kasih sayang dalam keluarga dengan membudayakan etika dan peraturan mengawal penggunaan gajet serta melayari internet secara sihat.

Keluarga Bijak Siber diketengahkan melalui pendekatan keibubapaan di alam siber bertujuan memberi pendidikan dan pengetahuan kepada ibu bapa mengenai panduan kawalan serta penggunaan gajet secara positif dan amalan keselamatan siber.

Berita Harian X