Jumaat, 16 November 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Skim susu sekolah bantu lahirkan generasi sihat

Pasti ibu bapa menyambut baik jaminan Kementerian Pendidikan untuk meneruskan program pembekalan susu untuk murid sekolah rendah melalui dana khas yang disediakan menerusi Belanjawan 2019. Program Susu Sekolah (PSS) yang dijalankan sejak 1983 berjaya menggalakkan tabiat minum susu dalam kalangan kanak-kanak.

Mereka memerlukan pelbagai zat menerusi makanan yang seimbang dan susu bagi membantu proses tumbesaran. Kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai program berkenaan mendapati jumlah susu yang diminum memberi kesan kepada pertumbuhan fizikal murid-murid, seperti peningkatan ketinggian, berat badan dan kepadatan tulang.

Pengkaji UPM juga mengesyorkan pemberian susu percuma itu tidak terputus dari hari pertama hingga hari terakhir persekolahan, memperluas bekalan untuk semua murid sekolah rendah dan memperkenal program susu untuk pelajar menengah rendah.

Ketika ini, bekalan susu diberikan kepada semua murid di sekolah rendah luar bandar dan murid sekolah rendah kawasan bandar yang menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT). PSS dijenamakan semula sebagai Program Susu 1Malaysia (PS1M) pada 2010 dengan seorang murid akan menerima dua kotak susu 200 mililiter secara percuma, dua kali seminggu.

IBU bapa membeli barangan kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Asyraf Hamzah
IBU bapa membeli barangan kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Asyraf Hamzah

Hasrat murni ini bagaimanapun mempunyai ketirisan ketika pelaksanaannya seperti yang didedahkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Masz- lee Malik, baru-baru ini, khususnya berlaku kehilangan bekalan dalam PS1M sebelum ini.

Dalam melahirkan generasi muda yang sihat, kerajaan disarankan mendengar pelbagai cadangan bagi menambah baik PSS, termasuk tidak mengklasifikasikan status murid bagi melayakkan mereka menerima bantuan susu di sekolah. Ini disebabkan semua murid sekolah bermula daripada tadika hingga Tahun 6, seharusnya berhak menerima bantuan susu itu tanpa sebarang prejudis, tidak mengira anak miskin atau kaya.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyemak semula dasar penentuan jenis susu untuk pelajar kerana ia mesti susu segar yang bebas gula dan kaya dengan kalsium serta protein yang sangat diperlukan dalam tumbesaran kanak-kanak dan bukan susu berperisa. Mengikut pakar pemakanan, kebiasaannya susu berperisa dirumus dengan adunan susu tepung, gula dan perisa dan ini boleh mengakibatkan kegemukan, tidak berkhasiat dan tidak sesuai untuk otak serta kecergasan kanak-kanak yang sedang membesar.

Kita yakin pentadbiran sekarang yang berpegang kepada prinsip integriti yang tinggi tidak akan membiarkan ketirisan ini terus berlaku pada masa depan, bermula dari peringkat tertinggi di kementerian sehinggalah ke peringkat sekolah.

Semua pihak mesti memastikan PSS mencapai matlamat pengwujudannya untuk melahirkan generasi muda yang sihat dalam tempoh jangka panjang, sekali gus membawa kemakmuran kepada rakyat dan negara.

Berita Harian X