Khamis, 15 November 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Melahirkan insan mahir, penuhi keperluan negara

TIDAK ada yang tetap kecuali perubahan, kata ahli falsafah Yunani, Heraclitus yang mengingatkan kita bahawa pembaharuan akan berlaku. Dalam konteks sekarang, cara hidup masyarakat sentiasa berubah, teknologi baharu sentiasa tercipta dan tenaga kerja perlu mempunyai kemahiran yang seiring dengan keperluan semasa. Semua pergerakan ini membentuk tindak balas yang memerlukan penyesuaian kepada perubahan berkenaan. Seiring keperluan ini, Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa mengambil inisiatif untuk mengenal pasti ciri-ciri terkini sumber manusia dalam memenuhi piawaian antarabangsa.

Ciri-ciri atau kriteria ini penting bagi menghasilkan lulusan sekolah dan universiti yang memenuhi kehendak industri dan pada masa yang sama melahirkan cendekiawan. Justeru, kurikulum sekolah dikemas kini secara berkala supaya kemahiran yang diterapkan kepada pelajar sesuai dengan perubahan dan keperluan semasa. Kelmarin, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan kurikulum baharu bagi beberapa subjek akan digubal dan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2021.

Perubahan ini perlu dilakukan bagi menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar agar setara dengan standard di negara lain. Pada masa yang sama, perubahan kurikulum itu akan mengurangkan tekanan ke atas guru dan juga pelajar. Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara dan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan akan memberi cadangan perubahan yang perlu dilakukan.

Banyak negara ketika ini menjadikan Finland sebagai tanda aras kerana sistem pendidikan negara itu berjaya melahirkan pelajar yang seimbang di antara kemahiran akademik dan sahsiah.

DR Maszlee Malik bersalam dengan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), baru-baru ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
DR Maszlee Malik bersalam dengan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16 (1), baru-baru ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Malaysia sudah mengambil langkah awal ke arah itu dengan memansuhkan peperiksaan untuk murid-murid dari Tahun Satu hingga Tiga, bermula tahun depan. Setiap dasar baharu yang hendak dilaksanakan di negara ini sebenarnya agak rumit, berbanding negara lain seperti Jepun atau Korea Selatan yang rakyatnya hanya satu kaum dan bertutur bahasa yang sama serta memiliki latar sosioekonomi yang tidak jauh berbeza.

Malaysia pula mempunyai pelbagai kaum dengan bahasa ibunda masing-masing.

Sekadar mengambil contoh bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, bahasa berkenaan bukannya bahasa pertama bagi murid keturunan Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun, Orang Asli atau Bumiputera lain.

Kefasihan dalam bahasa kebangsaan memainkan peranan penting membantu kefahaman murid dalam menjayakan apa jua perancangan Kementerian Pendidikan. Ini belum mengambil kira perbezaan kurikulum di sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta atau pendekatan berbeza pusat tahfiz.

Kedudukan geografi juga menjadi cabaran kepada pelaksanaan kurikulum baharu seperti lokasi sekolah jauh di pedalaman, selain bilangan murid yang sedikit di Sekolah Kurang Murid, kekurangan guru atau ketiadaan guru subjek tertentu di sekolah.

Kita percaya guru yang sedia terlatih mempunyai kaedah untuk mengatasi setiap cabaran ini. Paling penting ialah proses pendidikan akan memupuk nilai murni kerana matlamat pendidikan ialah mengembangkan potensi murid dan melahirkan insan yang lebih baik dan berketerampilan.

Berita Harian X