Selasa, 30 Oktober 2018 | 11:02am

Minda Pengarang: Tabiat makan luar 'racun' kesihatan

TABIAT makan di luar sudah menjadi amalan biasa dalam kalangan masyarakat di negara ini. Kewujudan kafe, restoran dan warung bagai cendawan selepas hujan termasuk yang beroperasi 24 jam, mencetuskan satu gaya hidup baharu yang tidak begitu sesuai dari segi amalan pemakanan sihat dan penjagaan kesihatan.

Sudah banyak ingatan dan amaran, terutama daripada pakar kesihatan supaya kita jangan terlalu mengejar gaya hidup moden sehingga memudaratkan soal kesihatan. Terbaru, ingatan Pakar Bedah Am dan Upper GI Hospital KPJ Seremban, Dr A Vijaya Shankar yang mahu orang ramai mengelak daripada makan di restoran 24 jam kerana makanan yang disediakan menyumbang obesiti dan diabetes.

Beliau mengambil contoh pengambilan roti canai dan teh tarik sebagai hidangan mudah atau sarapan popular, tetapi sebenarnya mengandungi kadar kalori, lemak, sukatan gula, garam, serbuk perisa serta minyak berlebihan sehingga boleh memudaratkan kesihatan.

Roti canai, nasi lemak atau teh tarik sememangnya antara makanan paling sinonim dan popular yang diterima semua peringkat usia serta latar belakang keturunan rakyat di negara ini.


- Foto Hiasan

Tidak cukup dengan menu itu, ada kalangan kita menambah makanan lain yang kononnya ‘ala Barat’ atau makanan segera seperti sosej, nuget dan burger. Tanpa mereka menyedari semua makanan ini kalau tidak dikawal bertukar menjadi ‘racun’ kepada kesihatan. Ledakan era digital pula menjadikan masyarakat semakin malas untuk melakukan aktiviti fizikal seperti beriadah, bersenam, berkebun dan bertukang seperti amalan datuk dan nenek kita dahulu, sebaliknya anak hari ini lebih gemar melayani internet serta bergayut dengan telefon bimbit.

Lantaran itu tidak hairanlah rekod menunjukkan Malaysia mencatatkan jumlah penghidap pesakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia dan antara yang tertinggi di dunia selepas Arab Saudi. Malah, statistik obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di negara ini juga mencatatkan peratusan paling tinggi di rantau Asia, iaitu 23.7 peratus daripada mereka mengalami masalah kegemukan.

Kita harus ingat bahawa kanak-kanak adalah pewaris masa depan dan elemen penting untuk menggerakkan kemajuan negara. Jika ibu bapa sendiri tidak berdisiplin dalam soal mengawal pemakanan seimbang, budaya ini bakal diwarisi anak-anak pula.

Isu pemakanan ini sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati juga boleh menjejaskan produktiviti dan tahap kecergasan serta kecerdasan, sama ada kalangan kanak-kanak atau orang dewasa.

Oleh itu, cogan kata cegah sebelum parah wajar menjadi pegangan dalam usaha membina modal insan serta generasi yang sihat. Kita tidak mahu melihat hospital kerajaan dan swasta yang sentiasa sesak dengan orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan penyakit kronik dan biasa, selain mengambil ubat dan membuat pemeriksaan berkala.

Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan menanggung kos yang tinggi setiap tahun semata-mata untuk menyalur dan menyediakan perkhidmatan, penjagaan dan pencegahan kesihatan berkualiti kepada rakyat, sedangkan sebahagian wang itu boleh dijimat untuk menampung perbelanjaan pembangunan lain.

Berita Harian X