Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:02am

Bajet 2019 disifatkan belanjawan sukar

JUMAAT ini, Bajet 2019 akan dibentangkan di Parlimen dan pasti pelbagai lapisan masyarakat di negara ini berdebar-debar menanti strategi kerajaan baharu untuk meningkatkan ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat.

Bajet 2019 yang pertama dibentangkan kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Malaysia perlu mempunyai pelan tindakan ekonomi ke arah pertumbuhan mampan dengan disiplin fiskal, belanjawan berhemah, kestabilan kewangan dan inflasi rendah.

Pelbagai pihak menaruh keyakinan kerajaan masih meneruskan pembangunan infrastruktur, inisiatif rakyat, galakan perbelanjaan pengguna atau pelan rangsangan, namun ramai meramalkan tidak banyak bantuan kepada rakyat disalurkan seperti kerajaan terdahulu.

Kerajaan berdepan kekangan kewangan bagi mencapai misi mengurangkan hutang negara, bajet defisit dan meningkatkan pendapatan negara.

Tiada buah tangan

Tidak hairan agensi penarafan antarabangsa sudah mula menyatakan kebimbangan berlaku risiko penurunan penarafan, kelemahan ringgit dan aliran keluar pelaburan asing.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilapor menyifatkan Bajet 2019 sebagai belanjawan yang sukar bagi Kerajaan Persekutuan kerana perlu membetulkan kedudukan fiskal dan pada masa sama perlu juga meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan sememangnya mengharapkan perkembangan positif dalam usaha mengurangkan bebanan hutang negara dalam masa tiga tahun, walaupun meraih hasil kutipan cukai lebih rendah.

Di bawah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan dijangka mengutip RM21 bilion tahun depan, berbanding RM44 bilion menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kerajaan juga dijangka memperkenalkan beberapa langkah baharu sistem percukaian, namun lebih berhati-hati untuk tidak memperkenalkan bajet penjimatan.

Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor menjangka Bajet 2019 tidak seperti belanjawan sebelum ini yang banyak ‘buah tangan’ diberikan kepada rakyat.

Sebaliknya, belanjawan lebih fokus kepada penggunaan sumber kewangan yang lebih produktif untuk keperluan rakyat, khususnya pendidikan dan kesihatan untuk meningkatkan produktiviti jangka panjang.

Mungkin tidak banyak peruntukan akan dibelanjakan dalam projek baharu, sebaliknya ia menjurus kepada perbelanjaan berhemah dan berjimat cermat bergantung kepada kewangan negara.

“Kerajaan sekarang memerlukan perbelanjaan bijak dan sudah tentu ia dirangka secara terperinci dan bergantung kepada sumber kewangan negara,” katanya.

Bajet 2019 dijangka bermula dengan ‘zero base’ dan selepas itu peruntukan akan tambah satu persatu mengikut apa yang dipohon mana-mana bahagian atau kementerian.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasnul Haniff Harun, mahu kerajaan mempertimbangkan penyaluran semula dana pinjaman menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang dihentikan.

Ramai pelajar aliran kemahiran di institusi pendidikan swasta dan pusat kemahiran mengalami masalah kewangan berikutan penarikan dana berkenaan.

Ini dengan sendirinya akan mengakibatkan dasar kerajaan untuk melatih dan menambah tenaga mahir bagi mengelak pergantungan kepada buruh asing gagal dicapai.

Pembangunan kemahiran

“Seperti kita sedia maklum Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dasar penting di negara ini dan usaha untuk memperkasakan bidang itu berhadapan masalah jika PTPK dihentikan. Kami merayu supaya dana ini dimasukkan dalam Bajet 2019,” katanya.

Seramai 813 bekas Pembantu Tadbir Sambilan lantikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Sabah turut merayu supaya kerajaan mempertimbangkan peruntukan untuk jawatan berkenaan bagi membolehkan mereka kembali bekerja.

Jurucakap kumpulan itu, Noor Ismawaty Ismail menjelaskan kebanyakan mereka sukar menyara keluarga kerana ramai dalam kalangan mereka kini tiada kerja.

“Kalau boleh lantik kami ke jawatan tetap atau jika tidak dapat berbuat demikian, penyaluran peruntukan perlu dilaksanakan dalam Bajet 2019 bagi membolehkan kami bekerja,” katanya.

Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC) menjangka perhatian diberikan kepada golongan lebih memerlukan bantuan, khususnya isi rumah berpendapatan rendah.

Tumpuan itu bersandarkan penemuan terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mendapati jurang antara pendapatan isi rumah 20 peratus tertinggi dengan isi rumah 40 peratus pertengahan dan terbawah semakin melebar.

Justeru, Bajet 2019 amat dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan harapan kerajaan terus membela nasib mereka dengan tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan mengurangkan peruntukan.

Berita Harian X