Khamis, 25 Oktober 2018 | 11:00am

Akta Halal perkukuh produk eksport tempatan

MENGIKUT laporan State of The Global Islamic Economy Report 2017/2018, menjelang 2022, kecenderungan pengguna Islam dan bukan Islam ke atas produk Islam atau halal akan terus meningkat dan diunjurkan nilainya sehingga AS$5.9 trilion.

Sebagai peneraju produk halal dan mahu muncul antara hab halal global pada 2020, Malaysia sudah berusaha ke arah merealisasikan matlamat itu.

Serentak itu, kerajaan akan menggubal Akta Majlis Halal Malaysia selewat-lewatnya awal tahun hadapan bagi menyelaras semua agensi halal yang berada di bawahnya untuk memastikan standard pensijilan halal berada pada tahap terbaik.

Ketika ini ada 342 agensi berkaitan halal, termasuk di bahagian kajian dan penyelidikan, pemasaran dan teknologi yang perlu diselaraskan di bawah satu bumbung.

Ini penting bagi memastikan setiap arahan dan fungsi setiap agensi lebih jelas, sekali gus memperkukuhkan pelaksanaan pensijilan halal negara kita yang kini diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya Majlis Halal Malaysia dijadikan sebuah entiti khas yang akan menyelaras semua agensi yang terbabit dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju halal global.

Pada masa yang sama, JAKIM menerusi Bahagian Hab Halal akan berfungsi dalam tadbir urus halal, pensijilan dan hal ehwal syariah, manakala Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) akan menumpukan kepada dua perkara iaitu memperkasakan industri halal negara dan memperkembangkan industri halal ke peringkat antarabangsa.

Majlis Halal Malaysia juga dicadangkan melaksanakan beberapa fungsi, antaranya menetapkan dasar, peraturan serta garis panduan bagi pengurusan halal Malaysia, mengawal selia agenda pembangunan industri halal negara dan menentukan dasar halal negara berada pada landasan yang betul sejajar dengan pembangunan ekonomi negara.

Berdasarkan unjuran Malaysia untuk mencapai sasaran pelaburan halal bernilai RM15 bilion pada 2020, kita percaya penggubalan Akta Majlis Halal Malaysia sememangnya langkah yang tepat dalam membantu negara mengembangkan pasaran produk halalnya.

Malaysia antara pengeluar produk halal untuk makanan dan minuman yang sudah mendapat pengiktirafan dunia ketika ini.

Pada masa sama, Malaysia sudah menempa nama dalam sektor kewangan Islam, farmaseutikal, logistik dan pelancongan,selain pengeluar pensijilan halal yang diakui pada peringkat global.

Negara kita sudah membuktikan proses pengeluaran produk halalnya mematuhi Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Amalan Kebersihan Baik (GHP) yang amat dititikberatkan oleh negara luar.

Dengan adanya akta khusus yang dijangka berkuat kuasa mulai tahun depan, pastinya standard perakuan halal negara akan lebih dihormati, sekali gus lebih banyak syarikat Malaysia dapat menembusi pasaran antarabangsa dengan bantuan HDC dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Dengan unjuran pasaran halal global bernilai AS$2.3 trilion ketika ini dengan produk makanan menjadi terasnya, khususnya untuk pasaran China, Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun, inilah peluang terbaik untuk syarikat tempatan, khususnya milik Bumiputera meneroka pasaran baharu produk halal yang semakin mendapat sambutan di seluruh dunia, terutama dari negara bukan Islam.

Berita Harian X