Rabu, 17 Oktober 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Minda Pengarang: Menggilap atlet profesional dan berkerjaya

ATLET yang ditempatkan di sekolah sukan sama ada kelolaan negeri atau Kerajaan Persekutuan sudah menunjukkan keupayaan mereka ketika mewakili daerah dan negeri masing-masing.

Bakat mereka dalam sukan berprestasi tinggi digilap ke tahap terbaik sepanjang berada di sekolah sukan yang mirip Sekolah Berasrama Penuh, namun bukan semuanya berjaya mewakili negara.

Laporan BH sejak dua hari lalu mendedahkan bagaimana kebanyakan lepasan Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang tidak berjaya menempatkan diri dalam pasukan kebangsaan akhirnya ‘terbiar’ dari segi pembangunan kerjaya mereka. Kita sebenarnya tidak mahu dalam sistem pendidikan kita wujud kelompangan atau dalam erti kata mudah ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran’.

Dilema seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka sudah berkorban dengan latihan yang panjang, bermain bermati-matian mewakili negeri dan negara, namun akhirnya tidak berkerjaya.

Jika tidak terpilih dalam pasukan kebangsaan sekalipun dan beralih menjadi atlet profesional, lulusan sekolah sukan sepatutnya dibantu oleh kerajaan negeri atau Pusat dari segi mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih kukuh.

- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Lebih baik, setiap kali ada kekosongan pekerjaan di jabatan Kerajaan Persekutuan atau agensi negeri, mereka sepatutnya diberi keutamaan. Isu yang timbul ialah prestasi akademik lulusan sekolah sukan mungkin tidak sebaik pelajar biasa tetapi jika mereka sekadar lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kelayakan itu sudah cukup kerana mereka ada nilai tambah dari segi prestasi dalam acara sukan masing-masing.

Dalam sistem hari ini, kita menyedari lulusan SPM dari sekolah sukan berdepan kesukaran untuk bersaing dengan pelajar lain dalam meneruskan pengajian ke Program Matrikulasi dan seterusnya ke universiti awam.

Ini disebabkan persaingan ke Program Matrikulasi memang sengit sehingga ada pelajar yang mencatat keputusan sederhana juga tidak mendapat tempat.

Lebih menyedihkan, setakat ini hanya lapan universiti awam menawarkan program sains sukan dengan tawaran tempat terhad, sedangkan lulusan SPM dari sekolah sukan mencecah lebih 1,000 pelajar setahun.

Cadangan kedua ialah diwujudkan laluan khas untuk lulusan sekolah sukan mengikuti kursus kejurulatihan untuk sukan tertentu. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan perlu berganding bahu dalam membantu mereka bermula dari peringkat rendah hingga ke peringkat profesional.

Sekurang-kurangnya jurulatih yang dilahirkan dari bakat sekolah sukan dapat memberi tunjuk ajar kepada pasukan peringkat sekolah di daerah masing-masing dan seterusnya ke peringkat negara. Ini sekali gus dapat mengembangkan lagi sumber pekerjaan dan pendapatan mereka.

Bagi lepasan sekolah sukan yang tidak lulus SPM pula, Kementerian Sumber Manusia patut menyerapkan mereka mengikuti latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mengikut bidang pilihan masing-masing.

Kita yakin langkah penambaikan dan pemerkasaan akademik seiring dengan potensi serta bakat pelajar mampu mengangkat kelangsungan pencapaian sukan negara pada masa akan datang.

Berita Harian X