Jumaat, 5 Oktober 2018 | 11:50am
SELAIN daripada isu ranking dan penilaian, terdapat komponen lain dalam pemupukan prestasi ilmiah universiti yang mesti diberikan perhatian. - Foto hiasan
SELAIN daripada isu ranking dan penilaian, terdapat komponen lain dalam pemupukan prestasi ilmiah universiti yang mesti diberikan perhatian. - Foto hiasan

Penilaian universiti sebagai jaminan kualiti

SISTEM penilaian suatu jaminan kualiti yang tersedia ada bagi sesuatu kegiatan yang secara umumnya telah diterima baik. Institusi pendidikan tinggi yang menawarkan ilmu juga melalui proses penilaian pada setiap tahun. Perkara ini disebabkan penilaian sesebuah kampus memberikan diagnostik untuk membuat keputusan strategik.

Penilaian universiti juga memberikan peringatan kepada pihak pentadbiran universiti supaya merancang hala tuju kampus dengan matlamat jangka pendek yang berkesinambungan dengan wawasan jangka panjang.

Kaedah penilaian yang sering disebarluaskan dalam kalangan negara Komanwel ialah sistem penilaian The Times Higher Education of World Ranking. Sistem penilaian ke atas 400 universiti pada 2014 berkembang ke 800 universiti pada 2015 ini bekerjasama dengan broker maklumat, Thomson Reuters yang mempunyai pangkalan sistem dengan perisian data biometrik yang meluas.

Strategi tarik pelajar

Tidak keterlaluan untuk menyatakan laporan akademik universiti dianggap sebagai suatu jaminan kualiti pendidikan bagi sesebuah universiti. Perkara ini telah diperjelaskan oleh Presiden National University of Singapore (NUS), Prof Tan Chorh Chuan.

Selain itu, firma Quacquarellic Symonds (QS) turut menguruskan penilaian ke atas 800 universiti di seluruh dunia pada 2015 dikenali QS World University Ranking.

Firma ini mengundang anggota universiti melalui e-mel agar menjawab soal selidik atas talian sebagai maklum balas dan data penilaian. Proses penilaian yang membabitkan kakitangan dalam universiti akan menimbulkan syak wasangka ke atas kesahihan hasil penilaiannya.

Apabila seseorang penilai seperti penulis dipelawa membuat penilaian bagi universiti di Asia, serantau dan benua Amerika, kecenderungan seseorang memberikan perhatian dan nilai lebih tinggi pada universiti di rantau asalnya sukar dinafikan. Tambahan pula, penilaian hanya berdasarkan pandangan peribadi kakitangan di universiti tanpa lampiran sebagai sokongan ilmiah.

Penulis melihat bahawa peminat kedudukan universiti sedunia yang bersifat saintifik mungkin lebih akur dengan penilaian Shanghai Jiao Tong University yang diusahakan oleh pihak penilai dari China.

Kewibawaan penilaian dari China ini terbukti apabila banyak universiti menerima baik keputusannya.

Menurut laman web La Trobe University di Melbourne, Australia, penilaian ARWU ke atas 500 universiti ialah penilaian terawal yang paling dihormati di seluruh dunia.

Keputusan cemerlang dalam penilaian ARWU boleh dikatakan suatu kebanggaan yang mendapat perhatian universiti terkemuka. University of California, Los Angeles, sebagai contoh menyebarkan berita kedudukannya ke-12 dalam penilaian ARWU di laman web berita universiti.

ARWU turut menggunakan penerima Anugerah Nobel dan keahlian dalam golongan ilmuwan bertauliah sebagai piawai penilaiannya.

Selain daripada isu ranking dan penilaian, terdapat komponen lain dalam pemupukan prestasi ilmiah universiti yang mesti diberikan perhatian. Penulis merasakan bahawa semak dan imbang perlu dilakukan dalam kalangan pucuk pimpinan dalam pusat pengajian atau fakulti, di samping sahsiah dan karisma setiap dekan dan ketua jabatan.

Kepemimpinan yang berwawasan akan membawa universiti yang masih muda dari sejarah penubuhan terus menghampiri kriteria universiti sempurna.

Sebaik mana sesebuah universiti sekalipun, tanpa disiplin, nilai murni dan gaya hidup yang sederhana sebagai kejatian diri, kejayaan dan pencapaian hanyalah bayangan maya.

Penulis adalah Timbalan Pengerusi, Majlis Ketua Penyelaras E-Pembelajaran Institusi Pendidikan Tinggi Awam Malaysia

Berita Harian X