Sabtu, 29 September 2018 | 10:37am
Calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (kopiah kelabu) bersama penyokong parti menunaikan solat hajat sebelum berarak ke Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bagi menghantar borang pencalonan. - Foto ihsan NSTP
Calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar (kopiah kelabu) bersama penyokong parti menunaikan solat hajat sebelum berarak ke Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bagi menghantar borang pencalonan. - Foto ihsan NSTP

Keputusan berani PAS untuk bertanding

Keputusan PAS menamakan Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson mengejutkan ramai pihak sama ada ahli PAS, mahupun masyarakat yang menyokong PAS.

Sekiranya merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan beberapa PRU sebelum PRU Ke-14, Port Dickson bukan tempat mudah menang bagi PAS.

Malah komposisi kaum pengundinya pun lebih memihak kepada pengundi bukan Melayu dan Islam, iaitu kira-kira 57 peratus, berbanding dengan pengundi Melayu, iaitu sebanyak 43 peratus.

Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (tengah) diumumkan sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Majlis Pengisytiharaan Calon PAS PRK Port Dickson di Markas PAS Bukit Tembok, Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri), malam tadi. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (tengah) diumumkan sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Majlis Pengisytiharaan Calon PAS PRK Port Dickson di Markas PAS Bukit Tembok, Port Dickson, Negeri Sembilan. Turut bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri), malam tadi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Hal ini disebabkan trend pengundi bukan Melayu setakat ini jelas tidak memihak kepada PAS.

Malah daripada PRU Ke-14 yang lalu, ada peti undi yang keseluruhan pengundi bukan Islam menyokong PKR atau Pakatan Harapan (PH) kerana PAS dianggap parti radikalisme Islam dan parti menongkat Barisan Nasional (BN) yang hampir lemas.

Calon PH boleh menang

Tambahan pula, calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah calon boleh menang apabila melihat kepada peratusan menyokong Anwar tidak kira di PRK Permatang Pauh atau di tempat lain.

Anwar mempunyai karismatiknya tersendiri. Pidatonya mampu mempengaruhi ramai orang. Untuk mencari calon yang layak bertanding sesuai dengan karisma Anwar sangat sukar. PAS dianggap parti ‘underdog’ dalam PRK Port Dickson kali ini.

Ini langkah yang agak mengejut kerana pada awalnya PAS membuat keputusan tidak masuk bertanding melalui mesyuarat yang diumum oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sebelum ini memberi gambaran bahawa PAS akan masuk bertanding jika UMNO tidak meletak calon. Hal ini dilihat berasaskan semangat demokrasi iaitu tidak membiarkan kerusi tanpa pertandingan.

PAS berpegang kepada tiga asas pergerakan parti iaitu damai, demokratik dan berperundangan seperti yang disebut ketika ucapan Takiyudin dalam Muktamar ke-64.

Faktor lain PAS meletakkan calon ialah kerana ingin menegaskan PAS sebuah parti yang boleh membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Jika UMNO memboikot PRK, ini tidak bermakna PAS juga akan mengambil tindakan sama. Jelas tiada sebarang kerjasama dengan UMNO dalam PRK ini.

Dari sudut lain, PAS memandang dengan adanya pertandingan, ini membolehkan penduduk Port Dickson mendapat peluang untuk dianugerahkan pelbagai peruntukan daripada Kerajaan Pusat seperti memperbaiki infrastruktur. Manfaatnya akan diperoleh oleh pengundi.

Bagi saya, apapun keputusan PAS, sebenarnya yang paling utama ialah PAS sebagai sebuah parti politik dakwah sepatutnya tidak berlepas tangan daripada kebergantungan kepada Allah SWT.

Politik dakwah

Jika benar prinsip dipegang ini, secara betul PAS masuk bertanding bukan kerana memenuhi tuntutan demokrasi (tidak mahu rakyat tiada peluang memilih).

Ataupun kerana untuk melihat kelicikan dan kesetiaan UMNO kepada PAS atau ingin melihat ahli melakukan kerja, tetapi yang sebenarnya ialah semua gerak kerja PRK ini untuk memenuhi tuntutan dakwah Islam.

Yang penting ialah memanfaatkan PRK membuatkan dakwah Islam makin tersebar.

Dalam setiap ruang penjuru dan pelosok Port Dickson boleh diterokai oleh PAS untuk menyebarkan Islam. Dengan ini, masyarakat makin faham dan lebih jelas kehendak PAS untuk memperjuangkan Islam. Apabila jelas prinsip ini, makin jelas kemenangan buat PAS.

Berita Harian X