Selasa, 31 Julai 2018 | 11:00am
- Foto hiasan

Kibaran Jalur Gemilang roh sambutan Hari Kebangsaan

HARI Kebangsaan ke-62 tahun ini akan menjadi sambutan bersejarah kerana pertama kali diraikan di bawah kepemimpinan kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Tema sambutan telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo baru-baru ini. Temanya 'Sayangi Malaysiaku' dan lagu temanya pula bertajuk 'Kita Punya Malaysia'.

Putrajaya dipilih lokasi sambutan pada 31 Ogos nanti, majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada 4 Ogos di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

Pada pelancaran nanti, kempen jelajah kibar Jalur Gemilang ke seluruh negara akan bermula dan kemuncaknya di Putrajaya pada 31 Ogos. Kempen kibar Jalur Gemilang akan berakhir di Sabah untuk sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Logo rasmi Hari Kebangsaan - 'Sayangi Malaysiaku' simbol rakyat berbilang bangsa melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk hati yang menyatukan mereka.

Lagu Hari Kebangsaan 2018 - Kita Punya Malaysia menggambarkan Malaysia kita punya, kita bersatu dalam kepelbagaian serta mempunyai jati diri tinggi, berganding bahu membangunkan negara tercinta.

Amalan kibar Jalur Gemilang penting bagi menunjukkan semangat patriotisme, sekali gus menyemarakkan sambutan. Kesediaan rakyat menyambut seruan ini penting kerana ia bukti rakyat menyambut baik kempen dianjurkan.

Semangat patriotisme

Saranan Gobind supaya rakyat sama-sama menunjukkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini harus disambut dan dizahirkan dengan penuh penghayatan.

Apa maknanya sambutan Hari Kebangsaan tanpa kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Ia adalah 'roh' yang menghidup suasana sambutan dan lambang kecintaan kita kepada negara.

Tema sambutan harus dijadikan landasan kesedaran bahawa setiap rakyat hidup bersama penuh harmoni dan sejahtera dalam satu wilayah kenegaraan yang mempunyai kedaulatan dan kemerdekaan tidak boleh diganggu gugat sesiapa pun.

Negara kita juga memiliki visi dan misi membangunkan kehidupan bangsa Malaysia yang progresif, maju dan memiliki peradaban maju.

Malaysia sebagai negara berdaulat mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ditunjangi Raja Berperlembagaan, memiliki ideologi yang menjadi asas pegangan dan pedoman bermasyarakat dan bernegara, iaitu Rukun Negara.

Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara turut menjadi landasan penting mengemudi kehidupan bernegara. Bangsa Malaysia disatukan di bawah satu bahasa yang mesti dihormati dan dibanggakan rakyatnya.

Semua elemen itu melambangkan bahawa negara kita adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka. Untuk mempertahan kedaulatan dan kelangsungan negara, ia menuntut kita mencintai dan menyayangi negara.

Cinta dan kasih kita kepada negara inilah yang diistilahkan sebagai 'patriotisme'. Oleh sebab Jalur Gemilang lambang kedaulatan negara dan lambang patriotisme rakyat, amat wajar kibarannya disemarakkan di seluruh tanah air.

Pemimpin dan rakyat mesti 'sehati sejiwa' dalam persoalan berkaitan semangat patriotisme ini. Perasaan menyayangi dan mencintai Malaysia akan menjadikan kita lebih kuat dan berdaya tahan dalam mengharungi segala cabaran.

Ia wajar dijadikan prinsip kehidupan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya tema sambutan hari kebangsaan kali ini melambangkan semangat kesepaduan, solidariti rakyat tidak kira di mana juga mereka berada.

'Sayangi Malaysiaku' boleh juga diertikan sebagai satu ikatan hubungan warganegara dengan negaranya dan ia mencerminkan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat di negara ini.

Penulis adalah Penganalisis sosiopolitik bebas

Berita Harian X