Jumaat, 13 Julai 2018 | 6:45am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Suburkan pendidikan Islam, bukan pertikai

PERKEMBANGAN terkini di negara kita sejak kebelakangan ini, khususnya ada desakan supaya sekolah tahfiz ditutup dan yang sedang beroperasi menghadapi masalah kewangan seharusnya membangkitkan kebimbangan dalam masyarakat Islam.

Jika ini berlaku, apa yang berlaku di depan mata penulis ketika menjengah sebuah negara tidak lama dulu tidak mustahil akan berlaku jika isu ini tidak diberikan perhatian, dan dibiarkan berlarutan sehingga dapat mengubah pemikiran masyarakat mengenai kebobrokan sekolah tahfiz dan pengurusannya.

Beberapa minggu sebelum Ramadan, penulis berpeluang melawat ke sekolah menengah berasrama penuh nombor 66 di Urumqi, bandar Wilayah Xinjiang, China.

Etnik Muslim minoriti

Kehadiran petugas media dari beberapa negara Islam di sekolah yang dilengkapi kemudahan canggih itu disambut mesra pelajar lelaki dan perempuan berusia dalam lingkungan 13 sehingga 17 tahun serta guru mereka.

Pengetuanya, Qu Mingcai menjelaskan hampir semua pelajar di situ datang daripada keluarga miskin yang tinggal di kawasan pedalaman sekitar Kashgar, selatan Xinjiang.

Mereka yang kebanyakannya daripada etnik minoriti seperti Uighur dan Kashgar dibawa tinggal di asrama berkenaan, untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna.

Di situ, menerusi sistem pendidikan China, mereka diajar untuk fasih berbahasa Mandarin dan Inggeris, selain subjek seperti Sains dan Matematik.

"Mengikut perlembagaan, setiap rakyat mempunyai kebebasan untuk beragama tetapi kegiatan keagamaan dilarang di sekolah," kata Mingcai apabila ditanya mengapa pelajar tidak didedahkan pendidikan agama, malah tidak dibenarkan solat atau memakai tudung.

"Apabila mereka membesar, mereka boleh memilih apa yang perlu dipatuhi mengikut agama berkenaan," katanya.

Jawapan itu membuatkan penulis gusar dan terus berfikir sejenak, sama ada kanak-kanak ini tahu bersolat. Dan, bagi si gadis yang sudah akil baligh, adakah mereka mengetahui cara membersihkan diri atau mandi hadas kerana ia perkara asas dan penting untuk beribadah?

Geleng kepala tidak tahu

Penulis sempat bertanya kepada seorang pelajar perempuan, Karima, 14, sama ada dia menyedari kedatangan bulan Ramadan dan diikuti Aidifitri. Karima yang berasal dari Kashgar hanya mengerutkan dahi sambil menggelengkan kepala.

Jawapan spontan diberikan, iaitu tidak pernah tahu mengenai Ramadan cukup membuatkan hati penulis sayu dan kesal kerana gadis ini tidak tahu mengenai kewujudan bulan penuh rahmat itu.

Karima dan rakan sebayanya, Guliziba mengakui gembira tinggal dan belajar di sekolah berkenaan, sibuk membawa penulis meninjau perpustakaan dan asrama yang dilengkapi klinik serta doktor.

Penulis hanya mampu berdoa supaya akidah dua gadis itu terus terpelihara dan tidak hanyut dengan sistem pendidikan sekular negara itu yang lebih banyak menerapkan rasa kecintaan serta taat kepada negara.

Bentuk pendidikan China yang sekular dan nasionalis dipercayai antara usaha pemerintah untuk menukar demografi penduduk di wilayah itu yang kebanyakannya mengikuti ajaran Islam, sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan pendukung hak asasi manusia.

Jauh di situ hati penulis merasakan beruntungnya pelajar di bumi Malaysia yang sejak dari kecil menerima pendidikan agama, malah ada yang sudah menghafaz al-Quran pada usia sekecil dua tahun.

Usah pertikai cara berpakaian

Untuk itu, penulis sedih melihat apabila ada pihak di negara ini cuba menggugat pengwujudan sekolah yang berasaskan pendidikan Islam seperti sekolah tahfiz, selain mempertikaikan cara berpakaian seperti jubah dan kopiah yang kononnya bukan budaya masyarakat negara ini, sebaliknya hanya budaya 'pak Arab'.

Daripada terus memperlekeh sekolah dan cara berpakaian sunah, ada baiknya pihak berkenaan memberi cadangan untuk menambah baik sistem pendidikan Islam yang ada, demi melahirkan insan berkualiti untuk menyeimbangan tuntutan dunia dan akhir, malah mempunyai akidah yang mantap.

Di sebalik cabaran yang ada, sepatutnya menjadi tanggungjawab ibu bapa mencorakkan akidah anak masing-masing selaras dengan hadis diriwayatkan Imam Bukhari yang bermaksud: "Setiap bayi itu dilahirkan seperti kain putih. Terserah kepada ibu bapa untuk menjadikan dia Yahudi atau Nasrani mahupun Majusi".

Berita Harian X