Khamis, 18 Januari 2018 | 6:08am

Undi Melayu penentu BN kuasai Perak

PERCATURAN kuasa dan kestabilan politik Perak amat menarik untuk dikaji khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), pada Mac 2008. Pada PRU-12, Perak antara negeri dikuasai pembangkang selain Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Apa yang menarik dan unik di Perak ialah parti politik yang menang majoriti, iaitu DAP tidak menerajui pimpinan negeri secara langsung.

DAP menang 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU 2008, tetapi kuasa Menteri Besar diserahkan kepada ahli daripada PAS, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin. Pelantikan Menteri Besar daripada PAS disebabkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak menetapkan, iaitu seorang Menteri Besar mesti daripada seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

PAS hanya berjaya memenangi enam kerusi, manakala PKR pula tujuh kerusi DUN. DAP menang 18 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhan anggota pakatan pembangkang 31 orang, iaitu melebihi tiga anggota berbanding BN yang hanya mendapat 28 kerusi DUN.

Kerajaan pakatan pembangkang tidak kekal lama di Perak apabila tiga ahlinya, iaitu dua daripada PKR (ADUN Changkat Jering dan Behrang) dan seorang daripada DAP (Jelapang) keluar parti dan mengisytiharkan menjadi anggota Bebas pada Februari 2009. Pakatan pembangkang hilang majoriti dan akhirnya diambil alih oleh BN menguasai Perak sehingga sekarang.

BN kekal di Perak

Pilihan raya Mei 2013 berjaya mengekalkan Kerajaan BN di Perak dengan memenangi 31 kerusi DUN daripada jumlah 59. Daripada jumlah 31 ahli DUN BN ini, semuanya dimenangi dari kawasan majoriti Melayu, iaitu 30 orang dan hanya seorang ahli BN bukan Melayu, iaitu Datuk Mah Hang Soon dari kawasan campuran Chenderiang.

Berasaskan analisis dalam dua pilihan raya lalu (2008 dan 2013) semua kawasan DUN majoriti pengundi kaum Cina gagal dimenangi calon BN, sama ada daripada MCA, GERAKAN atau MIC. Calon DAP menang selesa dengan majoriti besar di kawasan DUN majoriti pengundi kaum Cina.

Kawasan DUN yang besar peratus pengundi kaum Cina seperti Pokok Asam, Jalong, Canning, Tebing Tinggi, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Jelapang, Menglembu, Tronoh, Pantai Remis, Malim Nawar, Keranji, Sitiawan dan Sungkai, semuanya dimenangi calon DAP dengan jumlah sokongan besar. Majoriti diperoleh calon DAP sangat besar, manakala calon BN mendapat jumlah undi kecil.

Aliran ini hampir sama pada PRU 2008 dan 2013. Penulis melihat adalah sukar untuk berlaku perubahan besar-besaran pola pengundian ditunjukkan pada dua pilihan raya umum lalu. Ini bermakna pengukuhan BN dengan menguasai kawasan DUN majoriti pengundi kaum Cina di Perak bukan suatu yang mudah.

Walaupun berlaku perubahan dalam kalangan pengundi kaum Cina, untuk memenangi kawasan DUN majoriti pengundi kaum Cina di Perak adalah sukar. Kemungkinan BN memenangi kawasan pengundi campuran yang besar peratus pengundi Melayu dan India adalah suatu yang mungkin tidak mustahil. Sentimen kaum masih sukar untuk dipisahkan sepenuhnya dalam politik dan pilihan raya di negara ini.

Dengan senario yang demikian, bagaimana kestabilan politik Perak boleh dibentuk? Aliran yang berlaku pada dua pilihan raya umum bahawa kawasan majoriti pengundi Melayu lebih memihak kepada UMNO/ BN. Calon UMNO menang besar di kawasan majoriti Melayu.

Kawasan seperti Pengkalan Hulu, Kenering, Kota Tampan, Selama, Kubu Gajah, Batu Kurau, Alor Pongsu, Trong, Chenderoh dan Bota adalah antara DUN yang mendapat sokongan kuat terhadap calon UMNO/BN. Senario pengundi Melayu ini dijangka akan berterusan dan dijangka akan menjadi teras utama kekuatan politik BN di Perak. Sekiranya berlaku perubahan sokongan pengundi Melayu ini, maka senario politik Perak akan berubah dan beralih tangan.

Bagi mengukuhkan BN di Perak, ada 37 kawasan DUN majoriti Melayu perlu dijaga dengan lebih teliti. Berdasarkan keputusan PRU Ke-13, UMNO/BN memenangi 30 kawasan DUN majoriti Melayu ini. Hanya lima kerusi dimenangi calon PAS, iaitu Titi Serong, Gunung Semanggol, Selinsing, Changkat Jering dan Sungai Rapat, manakala calon PKR berjaya memenangi dua kawasan DUN, iaitu Kuala Kurau dan Kuala Sepetang.

Kerjasama UMNO, PAS

Adakah dengan memenangi 31 daripada 59 kawasan DUN, satu kedudukan yang kuat bagi BN? Jawapan yang mudah, sudah pasti tidak kuat dengan hanya kelebihan tiga anggota DUN berbanding pakatan pembangkang seramai 28 anggota.

Penulis melihat dalam kes politik Perak, kerjasama UMNO dan PAS sangat penting bagi kestabilan politik. Kestabilan politik ini bukan sahaja bagi kepentingan Melayu-Islam semata-mata, tetapi bagi kepentingan dan kebaikan keseluruhan penduduk Perak amnya. Katakan anggota PAS yang lima itu bergabung dengan BN, ia berjaya membentuk 36 anggota, iaitu jumlah yang lebih kuat. Perpaduan Melayu yang kuat juga akan memungkinkan berlakunya perubahan sokongan kaum bukan Melayu terhadap parti komponen BN bukan Melayu nanti.

Kerjasama ini harus difikirkan dari sekarang, walaupun PRU Ke-14 belum diumumkan tarikhnya. Pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara dan DAP tidak boleh dianggap lemah dalam kedudukan, struktur pengundi dan politik Perak. Berasaskan kepada pengalaman dua pilihan raya lalu, DAP mempunyai pengaruh cukup kuat. Hanya dengan sedikit sokongan daripada anggota pakatan pembangkang bangsa Melayu sahaja, kerajaan Perak amat senang dibentuk pihak pembangkang.

Yang akan menentukan pihak manakah yang akan menguasai Perak pada PRU Ke-14 nanti adalah sokongan pengundi Melayu (dengan andaian pengundi Cina tetap menyokong DAP). Perpecahan undi orang Melayu akan melemahkan BN dan sebaliknya mengukuhkan pakatan pembangkang.

Kerajaan BN Perak yang ada sekarang akan terus kekal menguasai Perak jika berlaku kerjasama dan sokongan meluas pengundi Melayu. Pengekalan 30 anggota DUN seperti yang ada sekarang bukanlah satu kedudukan yang betul-betul kuat.

Penulis melihat kerjasama dengan PAS sebelum pilihan raya adalah perlu. Kerjasama dan bentuk perkongsian yang memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak perlu dimulakan segera. Pertandingan tiga penjuru antara UMNO/BN-PAS-Pakatan Harapan perlu dielakkan kerana ini akan merugikan politik yang mengharapkan kestabilan.

Tidak banyak kebaikan bagi PAS dan UMNO bagi meletakkan calon di sesebuah kawasan DUN, kerana yang mungkin menang adalah pihak ketiga. UMNO dan PAS perlu melihat kepentingan politik yang lebih besar dan dalam jangka masa yang lebih panjang.

Berita Harian X