Rabu, 1 September 2021 | 10:00am
- Gambar hiasan/Muhd Asyraf Sawal
- Gambar hiasan/Muhd Asyraf Sawal

Pusat tahfiz perlu kreatif jana pendapatan sampingan

Baru-baru ini, tular mengenai keadaan pusat tahfiz swasta yang berdepan tunggakan pembayaran gaji guru sehingga RM8 juta.

Puncanya, tunggakan pembayaran yuran bulanan oleh ibu bapa sehingga menjejaskan gaji yang sepatutnya dibayar kepada guru tahfiz di Selangor. Walaupun diberi potongan sehingga 60 peratus, ia masih tidak mampu menyelesaikan isu terbabit.

Itu di Selangor. Di Perak pula, hasil kaji selidik Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (PEMANTAP) mendapati 60 pusat tahfiz swasta di negeri berkenaan hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula Mei lalu, diikuti risiko bakal gulung tikar dalam waktu terdekat.

Di Kelantan, menyaksikan Pusat Tahfiz Quran Al-Bukhari tidak mampu membayar tunggakan bil elektrik dan air masing-masing yang berjumlah RM2,537 dan RM1,087 menyebabkan bekalan utiliti terbabit akan dipotong bila-bila masa.

Lebih parah jika bekalan makanan berkurangan, mereka mampu bertahan dengan berpuasa dan amalan berjimat cermat. Sungguh menyedihkan situasi melanda pusat tahfiz swasta di negara kita hari ini.

Realitinya, kebergantungan sumber kewangan daripada yuran pelajar, bantuan dana kerajaan dan swasta, sedekah serta wakaf selama ini tidak mencukupi bukan sahaja ketika krisis pandemik melanda, malah membelenggu pusat tahfiz sejak dulu lagi.

Kerap juga dilihat di stesen minyak dan bank, anak tahfiz berkeliaran mengutip derma siang dan malam demi kelangsungan pusat tahfiz masing-masing.

Situasi ini memberi persepsi negatif kepada pusat tahfiz swasta yang membawa obor al-Quran dan panji Islam.

Maka, alternatif dan kaedah berkesan perlu difikirkan supaya martabat pendidikan berteraskan al-Quran ini dapat ditingkatkan selari keagungan kalam Allah SWT yang menjadi pedoman umat Islam sejagat.

Tahfizpreneur adalah terminologi gabungan tahfiz dan entrepreneurship yang bermaksud keusahawanan tahfiz. Ia satu alternatif boleh diterapkan bagi menjana pendapatan sampingan untuk menampung kos operasi pusat tahfiz swasta.

Kajian dilakukan kumpulan penyelidik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendapati, tahfizpreneur diamalkan pusat tahfiz swasta mampu menampung sehingga 60 peratus kos operasi keseluruhannya, selain sumber pendapatan disebutkan sebelum ini.

Kepelbagaian produk ditawarkan pusat tahfiz swasta seperti daging lembu, kambing, ayam dan itik, akuakultur, sayur-sayuran, minyak masak, kopi dan sebagainya yang menjadi keperluan asas masyarakat, diikuti perkhidmatan vokasional, rawatan Islam, insurans takaful serta perkhidmatan haji dan umrah.

Pusat tahfiz swasta bukan lagi institusi pendidikan agama yang mundur, sebaliknya bersaing dengan institusi pendidikan swasta lain dengan mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam tadbir urus tahfizpreneur.

Namun, kaedah pemasaran pusat tahfiz swasta ini tidak bersepadu. Dengan erti kata lain, platform digunakan berasingan mengikuti pusat tahfiz masing-masing.

Ia menyukarkan pengguna untuk mengakses platform dan memberi kesan terhadap jualan produk dan perkhidmatan tahfizpreneur.

Oleh yang demikian, disarankan supaya diwujudkan satu platform pemasaran bersepadu sebagai 'pusat sehenti' tahfizpreneur bagi memudahkan pelanggan mencapai barangan atau perkhidmatan lebih cepat dan berkesan. Ia tentunya memberi saingan kepada produk sedia ada di pasaran.

Ayuh bersama kita menyokong usaha ini supaya kelangsungan pusat tahfiz swasta dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) untuk melahirkan 125,000 huffaz menjelang 2050.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tapah

Berita Harian X