Ahad, 29 November 2020 | 10:30am
Tadabbur al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri dalam proses berinteraksi dengan al-Quran. - Foto hiasan
Tadabbur al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri dalam proses berinteraksi dengan al-Quran. - Foto hiasan

Tadabbur lahirkan generasi huffaz al-Quran cemerlang

Tadabbur al-Quran ialah proses interaksi terhadap al-Quran merujuk kepada proses membaca, menghafaz, meneliti pemahaman fiqh ayat menerusi tafsir berserta kehadiran hati, mengkaji dan menghayati seterusnya beramal serta berdakwah dengannya dalam konteks kehidupan seharian.

Kalimah tadabbur dalam al-Quran merujuk kepada penelitian dan memahami setiap makna ayat al-Quran dibaca dan dihafaz.

Allah SWT berfirman: "Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati banyak perselisihan di dalamnya." (An-Nisa: 82)

Ayat ini menjelaskan keutamaan tadabbur menerusi kefahaman setiap ayat dan peringatan daripada al-Quran.

Terdapat pelbagai kelebihan dan kebaikan sekiranya tadabbur disertakan ketika membaca al-Quran lebih-lebih penghafaz atau hafiz al-Quran.

Namun, realiti tahap tadabbur al-Quran dalam kalangan pelajar tahfiz belum mencapai tahap memuaskan meskipun ia mampu memberikan impak positif daripada sudut pemahaman, penghayatan dan pengamalan terhadap ayat al-Quran.

Terdapat lima perkara menjadi kewajipan terhadap al-Quran, iaitu mendengar, tilawah, menghafaz, tadabbur dan beramal serta berhukum dengannya.

Beramal dengan al-Quran ialah natijah daripada tadabbur, manakala mendengar, tilawah dan menghafaz al-Quran menjadi jalan kepada tadabbur al-Quran.

Tadabbur ialah elemen penting dalam pembelajaran al-Quran lebih-lebih lagi dalam konteks menghafaznya. Banyak faktor menyumbang keperluan tadabbur terhadap pelajar tahfiz.

Pertama, mendengar ayat al-Quran dengan fokus. Aktiviti menghafaz al-Quran memerlukan daya fokus tinggi. Proses mendengar dengan teliti dan penuh perhatian, membantunya melalui pancaindera. Ini bertepatan pendekatan hafazan menurut teori pengajaran al-Qabisi yang menekankan konsep pembelajaran hafazan menggunakan pancaindera.

Konsep ini diringkaskan dengan Model VAK, iaitu visual yang merangkumi melihat dan membaca mashaf sambil talaqi); auditori (mendengar melalui cakera padat dan bacaan guru) serta kinestetik (hafaz sambil bergerak).

Kedua, menjaga setiap sebutan huruf al-Quran dengan tartil. Firman Allah SWT: "Bacalah al-Quran dengan tartil." (Al-Muzammi: 4)

Sekiranya sebutan dalam bacaan al-Quran tidak dilafazkan sempurna, proses tadabbur tidak berlaku kerana kesalahan sebutan menyebabkan kesalahan pada makna ayat.

Ketiga, memahami dan menghayati ayat dibaca serta dihafaz. Hakikat tadabbur berlaku semasa proses pemahaman al-Quran. Kaedah kefahaman membantu dalam menghafaz dan mengukuhkan hafazan kerana dengan memahami maksud ayat dan makna kalimat, pelajar akan dapat menumpukan perhatian terhadap ayat dihafaz.

Secara umumnya, tadabbur al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri dalam proses berinteraksi dengan al-Quran. Pertama, kualiti hafazan pelajar dapat ditingkatkan. Proses ini memerlukan perhatian pelbagai pihak khususnya institusi tahfiz. Amalan tadabbur ialah inisiatif kendiri yang boleh dipraktikkan pelajar ketika menghafaz al-Quran dan ia mampu membantu dalam meningkatkan kualiti hafazan.

Kedua, memberikan daya fokus lebih tinggi. Apabila seseorang membaca al-Quran secara bertadabbur, hatinya lebih tenang dan perasaan khusyuk akan timbul. Hati lapang dan khusyuk melambangkan penumpuan hati dan fikiran terhadap sesuatu perkara.

Dalam proses pembelajaran tahfiz, talaqqi, iadah (mengulang), pengujian mingguan, penulisan dan pemahaman ayat ialah kaedah kurang dipraktikkan.

Ketiga, meningkatkan kefahaman terhadap makna ayat. Pembelajaran al-Quran yang tidak disertai kefahaman makna sebenarnya satu kerugian. Apatah lagi, hafazan disertai kefahaman ayat mampu mengekalkan ingatan ayat terbabit dalam tempoh lama. Oleh itu, proses tadabbur penting untuk diamalkan sekali bersama proses menghafaz ayat al-Quran.

Keempat, ia dapat menerapkan emosi dalaman dengan nilai aksiologi islam positif hasil tadabbur al-Quran. Pemahaman jelas akan membantu seseorang dalam proses penaakulan dan pertimbangan akhlak baik.

Setiap individu mempunyai kualiti taakulan akhlak berbeza bergantung sejauh manakah kefahaman dan penghayatan ajaran aksiologi dalam al-Quran. Contohnya, setiap huffaz hendaklah menjadi contoh terbaik dalam masyarakat.

Kelima, persediaan menghadapi realiti kehidupan. Perkara utama perlu diketengahkan dalam isu tahfiz ialah kualiti huffaz yang perlu berdepan dengan persepsi masyarakat memandang tinggi mereka.

Huffaz yang mempunyai tadabbur tinggi terhadap al-Quran perlu menzahirkan peranan sebagai teladan terbaik dalam mengamalkan akhlak terpuji . Inilah realiti perlu ditempuh huffaz al-Quran.

Golongan penghafaz al-Quran ialah aset negara perlu diberi perhatian serius terutama dalam aspek kefahaman dan penguasaan terhadap al-Quran yang dihafaz. Penerapan elemen tadabbur al-Quran dalam proses pembelajaran tahfiz perlu dititikberatkan dalam institusi tahfiz dalam usaha melahirkan huffaz cemerlang.

Penulis adalah Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Tahfiz Model Ulul Albab

Berita Harian X