Jumaat, 13 November 2020 | 10:12am
Menjadi tanggungjawab hafiz untuk mengulang bacaan setiap hari. Tanpa pengulangan, hafazan akan lupa secara beransur-ansur. - Foto hiasan
Menjadi tanggungjawab hafiz untuk mengulang bacaan setiap hari. Tanpa pengulangan, hafazan akan lupa secara beransur-ansur. - Foto hiasan

Metodologi penting bantu huffaz kekalkan hafazan

BANYAK hadis Nabi Muhammad SAW merakamkan kelebihan penghafaz al-Quran, antaranya: Kelak, akan dipakaikan di kepala ibu bapa dengan mahkota indah dan pakaian yang tidak boleh dinilai penduduk dunia, lalu mereka bertanya: "Mengapakah kami diberi pakaian seperti ini?" Allah menjawab "Disebabkan anak kamu mempelajari al-Quran." Kemudian dikatakan kepada mereka: "Bacalah dan naiklah ke tingkat syurga dan bilik-biliknya." Mereka akan terus naik selama dia (anak) membaca (ayat al-Quran). (Hadis riwayat Ahmad)

Atas kesedaran itu, institusi tahfiz menawarkan aliran tahfiz dan akademik seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Ulul Albab dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab.

Namun, timbul persoalan sejauh manakah hafazan seseorang hafiz dapat dikekalkan. Nabi Muhammad SAW bersabda: Celakalah bagi sesiapa yang berkata: "Aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian," sebaliknya hendaklah dia berkata "Aku dilupakan daripadanya.". Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas talinya (HR Bukhari dan Muslim)

Demi menjamin pengekalan hafazan, beberapa metodologi penting perlu dititikberatkan hafiz al-Quran. Menjadi tanggungjawab hafiz untuk mengulang bacaan setiap hari. Tanpa pengulangan, hafazan akan lupa secara beransur-ansur.

Dalam mengulang-ulang hafazan itu, beberapa peringatan penting perlu diberikan perhatian penghafaz al-Quran.

Pertama, supaya lebih mendisiplinkan diri dalam pengulangan hafazan, hafiz hendaklah menanamkan keyakinan memelihara dan menjaga hafazan al-Quran sebagai kewajipan istimewa yang ada hubungan secara langsung dengan Allah SWT.

Kedua, menjadi kesalahan bagi hafiz sekiranya mempunyai semangat 'bermusim' dalam mengulang kaji hafazan. Janganlah sekali-kali mengulang sekali khatam dalam sehari ketika rajin tetapi mengambil masa lama seperti tiga hingga empat minggu tanpa sebarang pengulangan kerana malas.

Ketiga, kebiasaan menunda dan menangguhkan pengulangan (murajaah) hanya akan menambah perasaan malas pada hari berikutnya.

Tiga perkara itu sangat penting diambil berat golongan huffaz yang ingin berjaya dengan cemerlang dan mendapatkan syafaatnya ketika kiamat.

Oleh itu, ada beberapa kaedah atau metodologi asas yang boleh diamalkan bagi mengekalkan hafazan yang boleh dijadikan panduan kepada golongan huffaz.

Pertama, bergaul dengan mereka yang sudah menjadi hafiz dan kuat ingatannya. Biasanya pada suatu tahap tertentu, rasa jemu dan malas akan timbul untuk mengulang kaji hafazan walaupun awalnya semangat berkenaan berkobar-kobar.

Oleh itu, memilih rakan hafiz al-Quran yang kuat ingatan dapat membantu seseorang lebih konsisten dalam mengulang ayat al-Quran kerana semangat persaingan untuk berlumba-lumba membacanya.

Kedua, mendengar bacaan qori atau imam seperti Sheikh Masyari dan Sheikh Abdul Rahman Sudais yang boleh dilakukan dengan mendengar radio atau cakera padat al-Quran.

Proses mendengar ini perlu diamalkan dalam kehidupan seharian. Sekiranya ingin memperoleh manfaat lebih banyak, seseorang hafiz boleh mendengar dengan teliti bacaan diperdengarkan dengan memerhatikan hukum tajwid, ghunnah dan alunan irama bacaannya.

Ketiga, mengulang hafazan bersama rakan. Cara popular ini digunakan ulama zaman dahulu untuk mengingati ilmu yang mereka pelajari.

Ketika berlaku ketidaklancaran pada bacaan seorang antara mereka, rakannya dapat membetulkan bacaan berkenaan.

Keempat, selalu membaca ayat dihafaz dalam solat. Ia akan memudah dan melancarkan lagi hafazan seseorang. Suasana solat itu sendiri memerlukan konsentrasi dalam melaksanakan ibadat.

Hafiz perlulah membuat pengulangan bacaan intensif dan melapangkan waktu agak panjang. Apabila perbuatan ini menjadi rutin, lama-kelamaan akan terhasil sistem hafazan ayat suci al-Quran yang amat lancar.

Kelima, menyertai majlis menghafaz al-Quran. Hasil pengalaman penulis, mengikuti pertandingan seumpama ini menyebabkan seseorang mendapat motivasi mengulang hafazannya secara berulang.

Penulis adalah Guru Cemerlang Hifz Al-Quran, Tahfiz Model Ulul Albab, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah

Berita Harian X