Jumaat, 15 November 2019 | 12:43pm
Kita beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW meskipun hidup pada akhir zaman kerana Baginda mendoakan tujuh kali bahagia kepada orang yang tidak melihatnya tetapi tetap beriman. Gambar hiasan. - Foto Tabung Haji

Beruntung menjadi umat Nabi Muhammad

KETAATAN dan kecintaan kepada Allah SWT serta Nabi Muhammad SAW ialah kunci syurga kepada setiap Muslim tetapi kita tetap lalai mengerjakan perintah atau meninggalkan larangan-Nya, selain tidak mendekatkan diri dengan Baginda.

Hakikatnya, terlalu banyak kelebihan sebagai umat Nabi Muhammad SAW berbanding pengikut Rasul lain, sekali gus peluang itu perlu dimanfaat dan disyukuri.

Abu Umamah meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku. (HR Ahmad)

Pendakwah, Maulana Wan Tahir al-Mazahiri. - Foto NSTP

Pendakwah, Muhammad Tahir Muhamad Noh atau lebih dikenali sebagai Maulana Wan Tahir al-Mazahiri, berkata umat Nabi Muhammad SAW perlu lebih memperteguhkan cinta kepada Baginda kerana menggalas amanah sangat besar, iaitu meneruskan warisan dakwah Baginda.

Firman Allah SWT: “Kamu (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik umat dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara baik dan melarang segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) beriman (seperti semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Namun) antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan orang fasik.” (Ali Imran: 110)

“Kita beruntung menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana Baginda penghulu dan penutup sekalian Nabi dan Rasul.

“Walaupun menjadi umat terakhir, ganjarannya cukup besar kerana kita akan masuk dahulu ke dalam syurga berbanding umat sebelumnya, selain menjadi saksi risalah disampaikan Rasul terdahulu,” katanya.

Umat Islam tidak boleh mengabaikan pelbagai kemuliaan kurniaan Allah SWT, sebaliknya meningkatkan amalan termasuk mengenali dan menghayati segala perkara berkaitan Baginda. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Justeru, Maulana Wan Tahir al-Mazahiri meminta umat Islam tidak mengabaikan pelbagai kemuliaan kurniaan Allah SWT dan Rasulullah SAW kerana pengabaian akan menyebabkan kita berada dalam kehinaan di dunia dan akhirat.

Kemuliaan dianugerahkan kepada umat Nabi SAW, perlu dimanfaat dengan meningkatkan amalan termasuk mengenali dan menghayati segala perkara berkaitan Baginda.

“Kita perlu memperbanyakkan selawat dan membaca kisah kehidupan Rasulullah SAW serta sahabat, bermula kelahiran hingga kewafatan Baginda.

“Kita juga harus meneruskan kerja Rasulullah SAW, iaitu mengajak umat kembali kepada Allah SWT, menjauhkan mereka daripada melakukan kemaksiatan, sekali gus menyeru supaya mengamalkan sunnah Baginda,” katanya.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku (agama), aku dan orang mengikutku mengajak (kamu) kepada Allah SWT dengan hujah nyata (ilmu). Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang yang musyrik.” (Yusuf: 108)

Kita perlu mencontohi sahabat Nabi SAW yang sanggup mempertahankan Baginda, Islam dan maruah ummah. Gambar hiasan. - Foto NSTP/ Sairien Nafis

Kisah sahabat Nabi SAW yang teguh berdiri bersama Rasulullah SAW perlu diteladani kerana mereka tidak pernah gagal menegakkan agama Allah SWT dan menyokong Baginda dalam apa juga keadaan.

“Bilal ibnu Rabah RA antara umat Nabi meraih kelebihan berkat amalannya yang dibuat secara istiqamah hingga Baginda terdengar bunyi tapak kakinya di syurga ketika Israk Mikraj.

“Bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah Abdul Mutallib RA pula sanggup mempertahankan Baginda dan Islam hingga gugur syahid menjadikan jasadnya Allah SWT pelihara, manakala kuburnya menerbitkan bau wangi hingga hari ini,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Meeftah Anuar. - Foto NSTP

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Meeftah Anuar, berkata permasalahan besar umat hari ini apabila tidak berasa kasih sayang kepada Rasulullah SAW.

“Ini antara punca ramai tidak ambil kisah khususnya dengan penularan pelbagai isu negatif berkaitan Rasulullah SAW kerana mereka tidak merasakan wujud pertalian dengan Baginda.

“Jika satu dunia melakukan hinaan terhadap Nabi, maka Baginda tetap dimuliakan Allah SWT dan sedikit pun tidak terkesan dengan apa juga bentuk pengkhianatan terhadapnya.

“Namun, sebagai umat Islam, kita wajib bangkit dan terasa sekiranya Rasulullah SAW dicerca serta dilemparkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas,” katanya.

Cinta kepada Nabi Muhammad SAW perlu dibuktikan melalui perkataan dan perbuatan. Gambar hiasan. - Foto NSTP/Saddam Yusoff

Mohd Meeftah meminta umat Islam membayangkan jika situasi sama melanda Nabi SAW berlaku kepada keluarga, sahabat atau pemimpin disayangi, mereka pasti tidak akan berdiam diri.

“Umat hari ini perlu sedar, Rasulullah SAW ialah manusia paling dimuliakan Allah SWT dan orang menghina Baginda akan menerima balasan terhadap perbuatannya,” katanya.

Beliau merujuk kepada penghinaan dilontarkan Abu Lahab yang dijawab Allah SWT melalui penurunan surah al-Masad.

“Allah SWT dalam al-Quran menyebut kisah Abu Lahab yang dikecualikan daripada menghuni syurga Allah SWT atas perbuatannya menentang agama Islam,” katanya.

Firman Allah SWT: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama! Hartanya dan segala diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita dibakar api neraka marak menjulang dan juga isterinya, perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, daripada tali dipintal.” (Al-Masad: 1-5)

“Memang Rasulullah SAW tidak pernah membalas terhadap orang menghina Baginda tetapi sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab membela dengan menggunakan dalil dan hujah berasas,” katanya.

Mohd Meeftah berkata, umat Islam perlu menanganinya dengan baik, tepat dan berasaskan akhlak diajarkan Baginda, sekali gus menjadi antara cara mematikan tuduhan berbaur fitnah.

Antara cara menepis tuduhan tidak berasas terhadap Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan akhlak, sunnah dan setiap ajaran Baginda. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang

Antara cara lain menepis pelbagai tanggapan tidak berasas terhadap Rasulullah SAW adalah melalui amalan umat Islam dengan sunnah dan setiap ajaran Baginda.

“Kita sendiri perlu beramal dengan bersungguh-sungguh. Apabila mereka menyaksikan umat Islam beramal dengan apa dibawa Rasulullah SAW, mereka dapati segala tohmahan sia-sia.

“Tohmahan itu semata-mata untuk menghilangkan keyakinan ummah terhadap Baginda kerana mereka sedaya upaya untuk menjauhkan manusia yang belum menerima hidayah Allah SWT untuk beriman dan mengikuti jejak langkah Baginda,” katanya.

Berselawat yang menjadi bukti cinta Rasulullah SAW, bukan hanya mendoakan Baginda kerana hakikatnya kita mendoakan diri sendiri. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Beliau menyarankan umat Islam mengembalikan semangat juang menyanjungi Rasulullah dan mengikuti jejak langkah Nabi Muhammad SAW dalam segenap aspek.

“Berselawat antara bukti kecintaan terhadap Rasulullah SAW dan ia bukan hanya mendoakan Baginda kerana hakikatnya kita mendoakan diri sendiri.

“Kita juga perlu menzahirkan kecintaan dengan mengamalkan sunnah Baginda meskipun perkara dianggap kecil seperti bersiwak, mengenakan serban, melazimi doa dan memulakan anggota kanan untuk perbuatan baik seperti masuk ke masjid dengan kaki kanan.

“Kita perlu menambah ilmu mengenali Rasulullah SAW seperti merujuk Sahih Bukhari dan Muslim, Syamail Muhammadiah (Imam Tirmizi) dan Arbain Imam Nawawi yang dapat memupuk cinta kepada Baginda,” katanya.

Berita Harian X