Isnin, 28 Oktober 2019 | 3:34pm
Membaca al-Quran dan solat tahajud antara amalan yang dapat menyembuhkan hati daripada penyakit dunia. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Besar ganjaran baca al-Quran dalam solat tahajud

AL-QURAN memberikan kesan kepada pembacanya berdasarkan kedudukan iman yang ada dalam hati atau nifaq yang tersembunyi dalam kalbunya.

Abu Musa Asy’ari meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan seorang mukmin yang membaca al-Quran ibarat limau manis berbau wangi dan memiliki rasa enak. Seorang mukmin yang tidak membaca al-Quran umpama tamar walaupun tidak memiliki bau, rasanya tetap manis.

Seorang munafik yang membaca al-Quran seperti bunga raihan berbau harum tetapi rasanya pahit. Sementara seorang munafik yang tidak membaca al-Quran, perbandingannya buah hanzalah yang tidak mempunyai bau dan rasanya pahit. (HR Muslim)

Sebagai Muslim yang beriman dengan kitab suci al-Quran, semestinya menjadikan perbandingan Nabawi itu mencetuskan perasaan untuk sentiasa melazimi bacaannya.

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA pula, Rasulullah SAW bersabda: Belajarlah al-Quran, kemudian bacalahnya. Ini kerana orang mempelajari al-Quran dan membaca dalam solat tahajud, ibarat seuncang dipenuhi kasturi dan mulutnya terbuka, lalu haruman itu merebak ke seluruh ruang di rumahnya.

Sementara seseorang mempelajari al-Quran tetapi dia tidur (tidak membaca al-Quran dalam solat tahajud) umpama uncang penuh dengan kasturi tetapi mulutnya terikat. (HR Tirmizi)

Justeru, kita perlu berazam untuk menjadi mukmin yang dadanya dipenuhi wangian kasturi untuk mengharumkan rumah dengan bacaan al-Quran di rumah terutama ketika menunaikan solat tahajud.

Bagi orang yang tidak menghafaz al-Quran, mereka boleh menunaikan solat tahajud sambil duduk dengan meletakkan al-Quran di hadapan, lalu membaca satu halaman setiap rakaat.

Ini kerana solat sunat boleh dilakukan secara duduk walaupun mampu berdiri, manakala membaca al-Quran berpandukan mashaf dalam solat sunat pula dibenarkan dengan syarat tidak melakukan pergerakan ketara.

Apatah lagi menggandingkan al-Quran dengan solat malam juga menjadi antara penawar hati seperti yang dikatakan oleh Abdullah al-Anthaki, iaitu ahli sufi yang hidup dalam abad ketiga Hijrah.

Abdullah berkata, lima perkara yang menjadi penawar hati ialah bergaul dengan orang soleh, membaca al-Quran dengan merenungi maknanya, sedikit makan, solat malam dan bermunajat kepada Allah menjelang waktu Subuh.

Lebih menarik, ia diangkat menjadi lagu tradisional Jawa yang disusun oleh Sunan Bonang, iaitu Tombo Hati yang kini masih diajar dan diamalkan termasuk di pesantren di Indonesia.

INFO

Tombo Ati iku limo perkorone

Kaping pisan moco Kuran lan maknane

Kaping pindo sholat wengi lakonono

Kaping telu wong kang soleh kumpulono

Kaping papat wetengiro ingkang luwe

Kaping limo zikir wengi ingkang suwe

Salah sawijine sopo iso ngelakoni

Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

Terjemahan

Penawar hati ada lima perkaranya

Yang pertama baca al-Quran dan maknanya

Yang kedua solat malam dirikanlah

Yang ketiga berkumpul dengan orang soleh

Yang keempat perbanyak berpuasa

Yang kelima zikir malam panjangkanlah

Salah satunya siapa selalu menjalani

Moga-moga Allah Taala mencukupi

Berita Harian X