Isnin, 14 Oktober 2019 | 12:47pm
Ilmu hadis perlu dipelajari secara berguru untuk mengelakkan daripada salah tafsir dan salah memahami hadis. Gambar hiasan. - Foto Aizuddin Saad

Pelajari hadis perlu berguru elak salah tafsir

HADIS sebagai sumber rujukan kedua selepas al-Quran, berfungsi untuk menegaskan dan menjelaskan ayat Kitabullah melalui perkataan, perbuatan dan ikrar Rasulullah SAW yang diriwayatkan dan ditulis kembali.

Merujuk hadis disabitkan kepada Rasulullah SAW daripada perawi siqah (yang benar-benar boleh dipercayai) memerlukan pengetahuan sekurang-kurangnya asas ilmu hadis seperti identiti perawi dan kedudukan hadis itu.

Pensyarah Jabatan al-Quran dan as-Sunnah Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Khafidz Soroni, berkata umat Islam tidak boleh suka-suka merujuk sesuatu hadis tanpa mengetahui kedudukannya kerana dikhuatiri statusnya lemah atau palsu.

Mohd Khafidz berkata, hadis lemah atau daif tidak boleh dijadikan hujah dan sandaran dalam perkara membabitkan akidah serta hukum, tetapi dibenarkan dijadikan rujukan serta digunakan untuk keutamaan beramal.

“Jika tidak teliti, takut kemungkinan nanti kita merujuk hadis lemah atau palsu dalam hal membabitkan hukum.

Ini yang berlaku apabila ada dalam kalangan umat Islam ingin menyatakan sesuatu idea atau buah fikiran, tetapi membawakan hadis, sedangkan ia daif.

“Hadis palsu pula memang direka dan bukan diriwayatkan perawi yang kurang dipercayai atau lemah ingatan. Oleh itu, sebaiknya perlu ada ilmu asas mengenai hadis kerana dikhuatiri menyebarkan hadis palsu,” katanya.


Pensyarah, Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Khafidz Soroni. - Foto Saifullizan Tamadi

Mohd Khafidz mengingatkan belajar hadis perlu berguru kerana ada hadis tidak boleh ditafsir secara langsung atau mempunyai penjelasan lain, bukan seperti maksud difahami orang awam daripada teks hadis itu.

Beliau memberi contoh hadis mengenai membaca surah al-Ahad atau al-Ikhlas menyamai membaca satu pertiga daripada al-Quran yang ramai membaca secara zahir dan terus berasakan sudah memahami maksudnya.

Perkataan ‘menyamai’ itu ada kala akan dihuraikan dengan lebih mendalam seperti apakah maksudnya isi kandungan surah atau pahala membacanya hingga ada beranggapan membaca surah al-Ahad sahaja sudah memadai.

“Malah, ada yang tidak mahu membaca al-Quran kerana katanya cukup membaca surah al-Ahad sebanyak tiga kali.

“Oleh itu, belajar hadis perlu berguru kerana ada hadis yang tidak boleh difahami secara langsung atau kita faham maksud lain, tetapi maksud sebenarnya lain,” katanya.

Mohd Khafidz turut memberikan contoh hadis seseorang mengadu mengenai penyakitnya kepada Rasulullah SAW, maka Baginda menyuruhnya minum susu dan kencing unta.

Beliau menjelaskan ia menjadi pertikaian kerana kencing unta ialah najis, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengapa ia boleh diminum hingga mencetuskan persoalan sama ada hadis itu khusus untuk peristiwa berkenaan atau berbentuk umum.

“Hadis ini sahih yang mempunyai kesimpulan berdasarkan pelbagai pendapat antaranya ia hanya khusus untuk peristiwa itu, sekali gus bermakna sudah dimansuhkan.

“Bagaimanapun, ada pendapat menyebut boleh minum kencing unta dengan qiyas kepada semua binatang halal dimakan.

“Apabila diperiksa, memang ada kajian dibuat menerangkan kelebihan kencing unta daripada aspek sains, sekali gus menunjukkan kita tidak boleh memahami hadis secara langsung kecuali dengan berguru,” katanya.


Pensyarah, Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Khafidz Soroni. - Foto Saifullizan Tamadi

Mohd Khafidz menggalakkan masyarakat supaya mempelajari ilmu hadis yang perlu diperkasakan seperti ilmu lain kerana ia sumber perundangan Islam kedua selepas al-Quran.

Beliau berkata, kitab hadis karangan ulama terlalu banyak, tetapi masih sedikit diajarkan kerana terhad kepada Riyadhul Salihin, Mastika Hadis atau Hadis 40, sedangkan banyak lagi kitab hadis yang belum pernah didengari masyarakat.

Dalam konteks pengajaran, Mohd Khafidz, mengingatkan masyarakat bahawa guru hadis menerima hadis secara berguru dan rantaian ilmu itu mesti bersambung serta tidak boleh terputus.

Justeru, beliau menegaskan menjadi tanggungjawab jabatan agama dan pihak berkaitan memastikan penceramah memiliki tauliah mengikut bidang kepakaran mereka.

Ditanya adakah caranya bagi orang awam mengetahui status sesuatu hadis yang dibaca, beliau berkata, ia dapat dilihat pada hujung riwayat berdasarkan pengisytiharan perawi.

Contohnya, kitab Riyadhul Salihin karangan Imam Nawawi sudah dinyatakan oleh pengarangnya sendiri bahawa semua hadis dalam kitab itu kebanyakannya sahih, sekali gus membolehkan umat Islam berpegang kepada pernyataan umum berkenaan.

Katanya, masyarakat perlu tahu kedudukan hadis seperti sahih hasan bermakna memang kuat, manakala daif pula bermaksud lemah, tetapi masih ada ruang diguna pakai daripada aspek fadilat beramal dan bukan membabitkan akidah serta hukum.

“Hadis palsu memang kita kena tolak terus dan berdosa menyebarkannya kerana berdusta kepada Rasulullah SAW. Apabila sudah tahu status sesuatu hadis, kita sedar tanggungjawabnya.

“Andai tiada pernyataan umum mengesahkan status hadis dalam kitab itu, kita perlu tahu nilai hadis yang dinyatakan pengarang kitab.

“Jika ada dipertikaikan, umat Islam di negara ini perlu merujuk jabatan agama, mufti atau ahli yang pakar serta memiliki tauliah,” katanya.

Berita Harian X