Khamis, 10 Oktober 2019 | 6:57am
Perdebatan menjadi medan ilmuwan menyatakan pandangan dan idea berasaskan hujah dan bukti yang sahihuntuk kemaslahatan ummah. - Gambar hiasan

Perdebatan agama wajar secara tertutup, babit ilmuwan

Berdebat adalah antara untuk menyampaikan mesej. Al-Quran menyifatkan perdebatan dengan cara baik adalah antara kaedah menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat. Bagaimanapun, ia kaedah khas untuk digunakan kepada golongan yang khusus, bukan diguna pakai semua golongan.

Dalam kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Imam al-Ghazali menjelaskan kaedah perdebatan sesuai digunakan untuk menghadapi mereka yang sedang mencari-cari jawapan dalam kalangan orang bijak dan terpelajar. Ia bukan untuk masyarakat awam yang bertaklid secara taksub dengan ajaran agama masing-masing, sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang hasrat menyelidik atau mengkaji asas-asasnya.

Mendedahkan mereka kepada perdebatan hanya akan menebalkan lagi ketaksuban mereka terhadap apa dipegang selama ini secara taklid, apatah lagi sekiranya tidak memiliki kebijaksanaan untuk menilai hujah dipersembahkan. Dalam keadaan sedemikian, perdebatan dikhuatiri menimbulkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.

Disebabkan perdebatan mempunyai kebaikan dan keburukan, ia hanya boleh diadakan dengan syarat ketat bagi menjaminnya mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. Dalam Islam, perdebatan hanya diadakan bagi mengetahui kebenaran, bukan untuk mengalahkan lawan. Oleh itu, ia menjadi syarat paling utama.

Perdebatan ialah perbuatan tercela dan berdosa, jika niatnya untuk mengalahkan lawan semata-mata, bukan mengetahui kebenaran melalui hujahnya.

Perdebatan berpunca daripada niat sebegitu, tidak akan membuahkan hasil baik kerana jika nyata sekalipun kebenaran sesuatu pandangan, pihak satu lagi akan tetap berdegil mahu menegakkan benang yang basah.

Menurut Islam, perdebatan semata-mata alat menzahirkan pendapat benar melalui hujahnya dan hanya diadakan antara dua pihak yang sememangnya berhasrat mengkaji dan meneliti. Maka, ia hanya khusus untuk kedua-dua pihak yang mempunyai pendapat berlawanan mengenai sesuatu perkara.

Oleh itu, perdebatan seelok-eloknya diadakan secara tertutup. Hanya pihak berkenaan sahaja dijemput untuk menyaksikannya kerana perdebatan ilmiah bukan seperti acara hiburan atau sukan yang boleh dibuat terbuka.

Perdebatan bukan seperti perlawanan tinju yang orang ramai datang menonton demi keseronokan. Sekiranya ada penonton dijemput sekalipun, mereka adalah dalam kalangan ilmuwan, iaitu memiliki kebolehan bagi menilai hujah dan bukti supaya kelak dapat menjelaskan dengan betul.

Perdebatan secara terbuka di stadium atau pasar tidak memenuhi syarat digariskan, sekali gus dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada orang ramai bahkan pendebat itu sendiri. Walaupun zahirnya perdebatan diadakan bertujuan menyampaikan dakwah Islam, syarat dan tertibnya mesti dijaga.

Tidak memadai hanya melihat kepada beberapa orang dikatakan memeluk Islam hasil perdebatan itu kerana apabila perdebatan diadakan terbuka barangkali lebih ramai lagi marah dan benci terhadap Islam kerana berasa agama atau pegangannya diperlecehkan secara terbuka.

Walaupun barangkali juga bukan niat perdebatan untuk melecehkan sesiapa atau mana-mana agama, apabila diadakan secara terbuka amat sukar mengawal reaksi orang ramai yang tidak diketahui latar belakang, apatah lagi pada zaman apabila video perdebatan disiar dan disebarkan dalam internet.

Pada zaman akses maklumat tidak terbatas, cabaran dihadapi umat Islam amat getir memandangkan banyak kekeliruan dan kepalsuan disebarkan terhadap Islam dan Muslimin oleh pelbagai pihak. Namun, peluang menyampaikan risalah Islam juga terbuka luas di hadapan mata. Segala tohmahan dan fitnah terhadap Islam perlu dijawab sewajarnya melalui pelbagai saluran. Dengan berkembangnya teknologi maklumat, kita tidak lagi dapat mengawal siapa yang akan mengakses apa disiarkan.

Namun, satu perkara kita tidak harus lupa adalah Islam itu agama ilmu dan tidak kira apapun saluran digunakan untuk menyampaikannya, ia tidak boleh dipisahkan daripada dasar ilmu. Muslimin dari dahulu lagi tidak pernah takut berhujah dengan sesiapa sahaja kerana mereka yakin kebenaran dimilikinya. Bahkan berhujah dan berdebat secara ilmiah sebahagian budaya Islam.

Oleh itu, suatu disiplin dinamakan Adab al-Bahth wa al-Munazarah dibangunkan untuk melatih ilmuwan dalam kaedah pengkajian dan perdebatan yang betul dan tertib. Melalui disiplin ini, seseorang bukan sahaja dilatih berhujah secara logik, bahkan diajar adab agar tidak tersasar daripada tujuan sebenar perdebatan diadakan.

Disiplin ini berguna untuk dipelajari bukan sahaja mereka berhasrat memasuki gelanggang perdebatan secara bersemuka dengan lawan, bahkan pengkaji perdebatan. Kini keperluan untuk kembali mengkaji dan menguasai tertib ilmu perdebatan semakin mendesak. Dengan meluasnya teknologi maklumat, banyak tohmahan bertujuan mengelirukan pemikiran dan memecahbelahkan perpaduan umat Islam disebarkan dengan meluas melalui pelbagai platfom.

Umat Islam perlu memberikan jawapan dan penjelasan sewajarnya terhadap segala tohmahan itu. Walau seburuk manapun kata-kata dilemparkan, kita tidak seharusnya melakukan perkara sama. Sebaliknya, kita perlu memilih sama ada mengucapkan kata-kata yang mendatangkan kebaikan ataupun diam sahaja.

Penulis adalah Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik IKIM

Berita Harian X