Isnin, 7 Oktober 2019 | 2:34pm
Empat ahli panel Persidangan Antarabangsa: Dialog Antara Peradaban di Seville, Sepanyol. Dari kiri: Anas Bentaouet dari Maghribi; wakil Yayasan Masjid Seville, Jalid Neito; Pengerusi Hadhari Global Network, Pusat Pengajian Dunia Islam, Universiti Kyoto, Jepun, Prof Kosugi Yasushi dan Felo Penyelidik Utama, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman. - Foto ihsan LEGASI

Bina kembali tamadun Andalusia melalui masjid, dialog peradaban

SEPANYOL pernah merakamkan episod pemerintahan Islam yang hebat dan mengagumkan menerusi pembinaan tamadun di Andalusia.

Sejak Tariq ibnu Ziyad berjaya menguasai Andalusia pada 711 sehingga tampuk Kerajaan Nasriyyah atau Bani Ahmar yang mengakhirinya pada 1492, tempoh pemerintahan Islam itu melangkaui hampir lapan abad.

Namun, kejayaan itu semakin lama semakin menyusut hingga kini peratusan umat Islam di Sepanyol hanya kecil, tetapi mereka terus teguh berpegang kepada agama Allah SWT.

Persidangan Antarabangsa: Dialog Antara Peradaban di Kompleks Yayasan ‘Three Cultures’ berlangsung di Seville, atas inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Hadhari Global Network (Hadhari-GN) dan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI).

Program dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Masjid Seville itu dihadiri kira-kira 200 peserta pelbagai latar belakang, termasuk tokoh akademik, penggerak industri, pembuat dasar dan pemimpin masyarakat dari beberapa negara seperti Maghribi, Mesir serta Jepun.

Persidangan itu menampilkan empat penyampai ucaptama yang antara lain mengupas perkembangan Islam di Sepanyol dan konsep peradaban Islam yang dilaksanakan di negara ini merangkumi semua aspek kehidupan.

Felo Penyelidik Utama, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, berkata sekiranya komuniti Islam di Sepanyol hendak membangunkan kegemilangan peradaban Islam seperti yang pernah dikecapi lebih 1,000 tahun lalu, mereka mesti membina semula masjid.

“Kita perlu melihat masjid di sini bukan semata-mata pada bangunannya, tetapi konsepnya sebagai tempat menyampai dan mencari ilmu, melaksanakan muzakarah serta menjalin silaturahim dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Pembangunan Ilmu Dalam Pendekatan Peradaban Islam.

Beliau memberi contoh, ulama besar tanah air, Sheikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mendapat ijazah bersanad daripada guru yang mengajar di Makkah dan Madinah sewaktu belajar di masjid.

“Buku pelayaran Ibnu Batuta juga menyebut beliau belajar dari satu masjid ke satu masjid,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Hadhari-GN.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Dunia Islam, Universiti Kyoto yang juga Pengerusi Hadhari-GN Prof Kosugi Yasushi banyak menyentuh kepentingan mengamalkan konsep Islam Hadhari yang merangkumi semua aspek kehidupan serta pembangunan holistik.

Wakil tuan rumah, Haji Jalid Neito dari Yayasan Masjid Seville membicarakan topik Nilai-nilai Peradaban di Andalusia dan Cabaran Semasa, manakala Anas Bentaouet dari Persatuan Penuntut Azarquiel Seville memilih tajuk Hubungan Dua Hala Sepanyol-Maghribi: Model Kerjasama Merentasi Sempadan.

Persidangan dan dialog antara peradaban itu ialah program utama dalam lawatan lima hari Abdullah yang juga Penaung LEGASI ke Sepanyol. Beliau memperkenalkan Konsep Islam Hadhari pada 2003 ketika menjadi Perdana Menteri kelima.

Ia antara inisiatif Hadhari-GN yang bekerjasama dengan pihak berkaitan di Sepanyol dalam usaha memupuk pemahaman tinggi menerusi maklumat berkualiti berkaitan peradaban Islam kepada masyarakat di negara itu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Hadhari-GN merangkap Pengerusi LEGASI, Datuk Jefridin Atan, berkata pihaknya bersedia bekerjasama dengan Sepanyol dengan membawa tokoh dan ilmuwan Islam untuk berinteraksi dengan komuniti di negara Eropah itu.

Katanya, menerusi dialog antara peradaban dianjurkan itu, dapat dilihat komuniti Islam di Sepanyol mempunyai pendekatan dan amalan cara hidup berbeza dengan Islam di Asia Tenggara.

“Kita memberi pandangan mengenai budaya dan cara hidup Islam di negara kita. Sebab itu, kita menggariskan Islam Hadhari kerana ia menekankan kesamarataan serta nilai pembangunan sejagat yang tidak bercanggah dengan konteks masyarakat majmuk dan berbilang agama.

“Dengan mengamalkan prinsip Islam Hadhari, ia dapat melahirkan individu dan masyarakat yang mempunyai kekuatan rohani, berdaya saing serta cekap menangani cabaran semasa secara bijaksana,” katanya.

Atas kejayaan persidangan berkenaan, Hadhari-GN dan LEGASI sebagai sekretariatnya Peradaban akan meneruskan program sama di wilayah lain seperti menerusi kerjasama dengan pihak berkaitan seperti universiti tempatan.

“Ini usaha kami memartabatkan peradaban Islam termasuk juga industri halal sebagai antara bidang utama yang rancak diperkatakan komuniti global,” kata Jefridin.

Sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, LEGASI menjalin kerjasama memartabatkan ketamadunan Islam dengan Jepun, United Kingdom (UK), Taiwan dan Thailand serta merancang inisiatif sama pada tahun depan dengan komuniti Islam di Australia dan Afrika Selatan.

* Penulis ialah Perunding Media Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (LEGASI)

Berita Harian X