Isnin, 29 Julai 2019 | 12:44pm
Perbuatan ikhlas menentukan kualiti ibadat seseorang. Gambar hiasan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ikhlas bezakan amal sempurna, cacat

Felo Kanan, Pusat Syarak, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

IMAM al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Ayyuhal Walad ketika menasihati muridnya: “Engkau bertanyakan kepadaku mengenai ikhlas, maka ikhlas itu engkau menjadikan segala amalanmu hanya untuk Allah SWT dan hati engkau tidak merasa senang dengan pujian manusia serta engkau tidak peduli dengan kecaman mereka.”

Ikhlas ialah ungkapan sering keluar daripada mulut tetapi hakikatnya hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui apakah pertuturan lidah itu selari dengan apa tersemat dalam hati.

Ini kerana ikhlas bukan perbuatan zahir yang nampak tetapi tersembunyi dalam hati manusia yang hanya pemilik hati dan Allah SWT mengetahuinya. Ikhlas berasal kalimah ‘kha-lam-sad’ yang membawa maksud kosong, bersih, bebas, tidak bercampur dan jernih.

Menariknya apabila kita merenung ayat al-Quran, kalimah khalasa digunakan bersama kalimah susu untuk menggambarkan kualiti susu yang bukan sahaja diketahui bersih, bahkan asli, tidak bercampur atau tercemar sedangkan kedudukan susu dalam perut haiwan di antara tempat najis yang kotor (farth) dan juga darah (damm). Firman Allah SWT: “Kami memberimu minum daripada apa yang ada dalam perutnya, iaitu susu bersih (labanan khalisan) di antara kotoran najis dan darah.” (Al-Nahl: 66)

Dalam penciptaan haiwan ternak atau al-an’am (merujuk haiwan seperti lembu, biri-biri dan unta) terdapat banyak ibrah atau pengajaran boleh dikutip, iaitu bagaimana kejadian susu haiwan yang terletak di antara dua bahagian kotor dan najis. Bagaimanapun, ia mampu menghasilkan susu suci bersih dan enak diminum, tanpa kotor serta tidak berbau yang tidak elok.

Ulama membandingkan susu suci bersih itu dengan keadaan kualiti ikhlas seseorang. Imam Shaqiq al-Balkhi apabila ditanya mengenai ikhlas, menjawab: “Ikhlas itu membezakan antara amalan sempurna (diterima) daripada kecacatan (disebabkan riak) seperti susu suci bersih itu wujud antara darah dan kekotoran.”

Kedudukan susu dalam kantung haiwan tertutup dan terlindung daripada najis dan darah juga melambangkan amalan kita yang sepatutnya ditutup dan disembunyikan daripada pengetahuan manusia. Oleh itu, amalan menjadi suci bersih, murni dan tidak tercemar seperti susu yang tidak kotor oleh darah mahupun najis di sekeliling.

Amalan jika didedahkan akan mudah tercemar dengan riak seperti susu dalam perut haiwan jika terdedah nescaya akan kotor bercampur najis dan darah dan tidak boleh diminum lagi.

Allah SWT menuntut hamba-Nya ikhlas beribadat dan tidak mensyirikkan-Nya. Syirik atau mempersekutukan Allah SWT ada dua makna, iaitu pertama, syirik dalam akidah atau menyembah selain Allah SWT seperti patung berhala. Ia panggil syirik jali atau terang dan nyata.

Kedua, syirik juga merujuk kepada melakukan amalan ibadat tetapi bukan kerana mencari keredaan Allah SWT tetapi matlamat selain-Nya. Ia dipanggil syirik khafi atau tersembunyi dan disebut juga syirik kecil. Antara biasa dilakukan manusia adalah melakukan amalan kebaikan untuk dilihat orang lain dan menunjuk-nunjuk (riak).

Selain itu, suka dipuji manusia dan mendengar pujian manusia (sum’ah) atau melakukan amalan ibadat serta berasa bangga dan kagum dengan diri sendiri seolah-olah kita lebih baik daripada orang lain (takjub).

Ulama turut membahaskan situasi jika niat seseorang bercampur (niyyat mushtarakah) seperti asalnya kerana Allah SWT, tetapi berubah kepada duniawi, maka apakah amalannya diterima? Kebanyakan pendapat mengatakan amalan itu ditolak (mardud) dan tidak dikira ikhlas hingga kita dianjurkan sentiasa menjaga niat dari awal hingga akhir supaya sentiasa ikhlas mencari keredaan-Nya.

Ada ketikanya seseorang ikhlas pada peringkat awal, tetapi lama-kelamaan godaan iblis dan nafsu menyelinap masuk ke dalam hati, menimbulkan was-was dan mengaburi niat hingga rosak niat asal, lalu bertukar kepada berkehendakkan duniawi.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ayyuhal Walad turut menjelaskan perasaan riak timbul kerana mengagungkan orang berlebihan hingga meletakkan manusia mampu untuk memberi manfaat sedangkan dalam akidah kita, Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) hanya Allah SWT sahaja mampu memberi manfaat dan mudarat.

Disebabkan pengagungan itu, mereka ingin mencari kemuliaan di sisi manusia dengan mengenepikan kemuliaan yang sepatutnya diraih daripada Allah SWT. Bagi menghilangkan riak, Imam al-Ghazali menyarankan kita untuk menanam dalam hati bahawa manusia di sekeliling tidak agung, sebaliknya hanya seperti makhluk yang tidak bernyawa (jamadat) seperti batu atau pokok yang tidak mampu memberi apa-apa manfaat dan kemuliaan. Nescaya, kita akan mampu cuba ikhlas hanya kepada Allah SWT.

Pernah diriwayatkan seorang lelaki yang suka menunjuk-nunjuk amalan pada suatu hari ketika solat sunat di masjid secara sendirian, beliau terdengar pintu dibuka. Lalu, beliau mula memanjangkan solat, memperelokkan rukun, memanjangkan sujud dan melakukan terbaik dengan harapan orang yang masuk itu akan memuji-muji dan memandang tinggi ibadatnya.

Setelah memberi salam, lelaki itu menoleh ke belakang tetapi dia melihat sebenarnya hanya seekor kucing. Rupanya-rupanya pintu itu ditolak kucing, bukan manusia seperti sangkaannya. Dia pun menyesal, lalu insaf apakah faedahnya yang diperoleh daripada menunjuk-nunjuk amalan hanya kepada kucing dan bukan kepada Allah SWT seperti sepatutnya.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW menyebut tiga golongan diazab pada Akhirat kerana riak: Sesungguhnya manusia paling awal akan dihisab urusannya pada Kiamat kelak ialah lelaki yang mati syahid, lalu dia dibawa ke sisi Allah dan diingatkan segala nikmat-Nya (yang diberikan kepadanya) maka dia mengakuinya. Allah berfirman: “Lalu apa yang kamu buat dengan nikmat itu?” Dia menjawab: “Aku berperang di jalan-Mu sampai mati syahid.” Allah berfirman: “Kamu berdusta, sebenarnya kamu berperang agar kamu dikatakan sebagai orang berani dan kamu dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya hingga dilemparkan ke neraka.

Dan (kedua ialah orang) yang mempelajari ilmu (agama), mengajarkannya dan dia membaca (menghafaz) al-Quran. Maka dia dibawa, lalu Allah mengingatkan nikmat-Nya (yang diberikan kepadanya) maka dia mengakuinya. Allah berfirman: “Lalu apa yang kamu buat dengannya?” Dia menjawab: “Aku mempelajari ilmu (agama), mengajarkannya dan aku membaca al-Quran kerena-Mu.” Allah berfirman: “Kamu berdusta, tetapi sebenarnya kamu menuntut ilmu agar kamu dikatakan alim dan kamu membaca al-Quran agar dikatakan ‘Dia qari’ dan kamu dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya hingga dia dilemparkan ke neraka.

Dan (ketiga ialah orang ) yang diberikan keluasan (harta) oleh Allah dan Dia memberikan kepadanya semua jenis harta. Maka dia dibawa, lalu Allah mengingatkan nikmat-Nya (yang diberikan kepadanya) maka dia mengakuinya. Allah berfirman: “Lalu apa yang kamu buat padanya?” Dia menjawab: “Aku tidak menyisakan satu jalan pun yang Engkau senang kalau seseorang berinfak di situ kecuali aku berinfak di situ untuk-Mu.” Allah berfirman: “Kamu berdusta, tetapi sebenarnya kamu melakukan itu agar dikatakan ‘dia dermawan’ dan kamu dikatakan seperti itu (di dunia).” Kemudian diperintahkan agar dia diseret di atas wajahnya hingga dilemparkan ke neraka.” (HR Muslim)

Marilah sama-sama kita menjaga hati, agar sentiasa ikhlas mencari keredaan Allah SWT.

Berita Harian X