Ahad, 21 Julai 2019 | 6:35am
Umat Islam perlu sentiasa yakin dan tidak berputus asa dalam setiap doa mereka. - Foto hiasan

Perbaiki diri, usah putus asa ketika berdoa

Ahli sufi terkenal di Basrah, Iraq, Ibrahim Adham pernah dikerumuni orang ramai yang mengadu kepadanya mengenai doa mereka yang tidak dimakbulkan Allah SWT.

Mereka tertanya-tanya mengenai keadaan itu sedangkan Allah SWT berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan memakbulkan doa kamu. (Al-Mukmin: 60)

Ibrahim berkata, permintaan yang tidak dimakbulkan itu disebabkan hati penduduk Basrah sudah mati, sekali gus menjadi hijab antara doa mereka dengan Allah SWT.

“Pertama, kamu semua mengenal Allah SWT tetapi tidak menunaikan semua hak-Nya, manakala kedua, kamu membaca al-Quran, namun tidak mengamalkan kandungannya.

“Ketiga, kamu semua mengakui Iblis sebagai musuh, malangnya kalian tetap mengikut perintahnya, sedangkan sebab keempat, kamu menyebut cinta pada Rasulullah SAW, hakikatnya kalian meninggalkan sunnah Baginda,” katanya.

Beliau berkata, faktor kelima adalah penduduk Basrah mengungkapkan perasaan cinta kepada syurga tetapi tidak mahu mengamalkan amalan ahli syurga.

Katanya, berbeza pula dengan ucapan bahawa mereka menggeruni neraka, sedangkan tidak berhenti daripada melakukan dosa yang boleh melontarkan mereka ke tempat azab itu.

“Ketujuh, kamu semua mempercayai kematian sebagai takdir yang pasti tetapi tidak membuat persiapan untuk menghadapinya, manakala sebab kelapan, kalian sibuk dengan aib orang lain tetapi lupa terhadap aib diri sendiri.

“Kesembilan, kamu makan dan menikmati rezeki Allah SWT tetapi tidak pernah mensyukurinya, sedangkan sebab kesepuluh, kalian banyak kali mengebumikan jenazah, namun tidak pernah mengambil pengajaran daripadanya,” katanya.

Selain memastikan tidak melakukan apa yang diingatkan oleh tokoh sufi itu, umat Islam juga tidak boleh berputus asa dalam memohon kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mengingatkan umat Baginda supaya tidak tergesa-gesa untuk melihat permintaan dimakbulkan.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selagi doa itu tidak mengandungi dosa, memutus silaturahim dan tidak minta cepat-cepat diperkenankan.” Lalu Baginda ditanya orang: “Apakah maksudnya minta cepat-cepat?” Baginda menjawab: “Umpamanya seseorang berkata dalam doanya, ‘Aku sudah berdoa, aku sudah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan.’ Lalu dia putus asa dan berhenti berdoa.” (HR Muslim)

Maulana Jalaluddin Rumi dalam karya, Fihi Ma Fihi memberikan perumpamaan cantik mengenai dua orang fakir yang meminta-minta dan menunggu-nunggu di hadapan pintu rumah orang kaya.

Lelaki pertama terus diberikan apa yang diminta, sedangkan lelaki kedua tetap dibiarkan untuk terus meminta hingga ternanti-nanti di hadapan pintu.

Bagaimanapun, Maulana Rumi mengingatkan lelaki pertama yang terus memperoleh apa dipohon sebenarnya tidak disukai oleh tuan rumah hingga mahu cepat-cepat beredar daripada halamannya.

Justeru, meskipun lelaki kedua terus dibiarkan di hadapan pintunya, kehadirannya disenangi oleh orang kaya itu hingga membiarkannya meminta dengan lama sebelum diberikan anugerah yang jauh lebih besar.

Berita Harian X