Isnin, 8 Julai 2019 | 8:42am
- Gambar hiasan

Hak suami isteri dalam keluarga

Lelaki mempunyai peranan penting sebagai suami, bapa dan datuk yang kebanyakannya memegang tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Tanggungjawab ini dikongsi bersama wanita, sekali gus masing-masing mempunyai peranan sama penting dalam institusi kekeluargaan.

Rasulullah SAW bersabda: Orang lelaki ialah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka, manakala perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya serta dia bertanggungjawab terhadap mereka. (HR Bukhari dan Muslim)

Sebagai ketua keluarga, ia amanah sangat besar kerana selain mencari kebahagiaan duniawi, mereka bertanggungjawab memastikan kesejahteraan dunia dan kebahagiaan ukhrawi buat ahli keluarganya.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.” (Al-Tahrim: 6)

Ayat ini menjadi peringatan terbaik untuk sentiasa bertanggungjawab ke atas semua peranan digalas dalam keluarga, manakala insan terbaik yang menjadi contoh sepanjang zaman ialah Nabi Muhammad SAW.

Sebelum dilantik menjadi Rasul, Baginda ‘memegang jawatan’ suami sebagai individu penting. Rasulullah SAW juga memperlihatkan kehebatan menjadi bapa dan sentiasa menunjukkan akhlak terbaik. Baginda juga tidak lari daripada melakukan tugasan di rumah dan sentiasa cakna dengan apa yang berlaku ke atas ahli keluarganya.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aswad RA, beliau bertanya kepada Saidatina Aishah RA: “Apakah yang Nabi SAW lakukan ketika berada bersama keluarganya?” Aishah menjawab: “Rasulullah SAW biasa membantu pekerjaan keluarganya di rumah. Jika tiba waktu solat, beliau berdiri dan segera menuju solat.” (HR Bukhari)

Antara perkara memberi kesan besar dalam kehidupan Baginda adalah anak-anak yang dikurniakan hasil perkahwinan dengan Saidatina Khadijah RA termasuk Saidatina Fatimah RA. Kelahiran Fatimah pada tahun kelima selepas kerasulan Nabi Muhammad SAW mencipta kebahagiaan sempurna dan hubungan rapat mereka banyak dicatatkan dalam hadis dan kitab sirah.

Ia dapat dilihat daripada kesungguhan Rasulullah SAW untuk berpihak kepada Fatimah RA jika ada yang cuba menyakitinya kerana apa dirasai anak perempuannya akan turut dirasai Baginda. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Fatimah RA adalah sebahagian daripada aku; menyakitiku apa-apa yang menyakitinya dan menyusahkanku apa-apa yang menyusahkannya. (HR Tirmizi)

Baginda memanggil Fatimah RA dengan gelaran Ummu Abiha yang bermaksud ibu kepada bapanya kerana Fatimah sentiasa mengambil berat ayahandanya sama ada sebelum atau selepas kewafatan ibunya. Berbanding puteri Rasulullah SAW lain, Fatimah RA tinggal bersama dengan bapanya, sekali gus berpeluang menyaksikan sendiri kewafatan Nabi SAW yang menjadi kehilangan terbesar dalam hidupnya.

Enam bulan selepas itu, Fatimah RA meninggal dunia dan meninggalkan empat anak cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Saidina Ali RA, iaitu Saidina Hassan dan Husain, Zainab serta Ummu Kalthum.

Kasi -sayang yang ditonjolkan Rasulullah SAW kepada anak, isteri dan ahli keluarganya tidak menghalang Baginda untuk terus menyampaikan wahyu dan dakwah serta ajaran Islam kepada masyarakat. Baginda diberikan kekuatan luar biasa untuk menyeimbangkan tuntutan dakwah dan tanggungjawab bersama keluarga serta menjaga hubungan baik dengan sahabat.

Keseimbangan itu membantu Baginda untuk menjadi qudwah hasanah atau contoh teladan yang baik dalam setiap sudut dengan menjalankan amanah sebagai pemimpin keluarga dan pemimpin masyarakat.

Kebiasaannya, gesaan untuk menyeimbangkan tuntutan keluarga dan kerjaya sering dihalakan kepada wanita kerana masyarakat menganggap golongan itu seharusnya bekerja di dalam rumah berbanding luar rumah. Sebenarnya, ia sewajarnya ditujukan kepada lelaki dan wanita, kerana mereka mempunyai hak sama rata untuk menyeimbangkan tanggungjawab dalam dan luar rumah, iaitu keluarga serta kerjaya.

Oleh itu, lelaki wajar diberikan hak mereka untuk mengambil cuti paterniti, cuti kuarantin untuk menjaga anak yang sakit, cuti kecemasan sekiranya terdapat urusan keluarga dan cuti untuk berehat bersama keluarga. Inisiatif memberi atau mengambil cuti juga perlu diseimbangkan kepada kedua-dua lelaki dan wanita dengan setiap individu perlu bijak meletakkan keutamaan kepada perkara lebih utama.

Islam meletakkan garis panduan setiap lelaki dan wanita mempunyai peranan dan keistimewaan berbeza tetapi ia tidak bermakna mereka tidak boleh saling lengkap-melengkapi dan membantu antara satu sama lain terutama dalam urusan keluarga.

Ini ditunjukkan sendiri Rasulullah SAW yang tidak menjadikan kerja rumah sebagai amalan stereotaip buat wanita semata-mata, malah tidak akan kurang walau sedikit pun sifat kelelakian seseorang lelaki jika melakukan kerja rumah dan mendidik anak-anak.

Berita Harian X