Selasa, 4 Jun 2019 | 7:14am
- Gambar hiasan/Gambar kecil Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman.

Elak 'temasya' pusara sambut Syawal

Menziarahi pusara bagi sebahagian masyarakat bagaikan kemestian yang diwarisi sejak turun-temurun setiap tibanya Syawal.

Sebahagian masyarakat di bandar mengambil peluang 1 Syawal untuk menziarahi kubur ahli keluarga dan saudara-mara di kampung halaman untuk menitipkan doa serta membaca al-Quran.

Bagaimanapun, hal itu sedikit sebanyak menimbulkan kemusykilan pada sebahagian umat Islam mengenai kewajaran menziarahi pusara pada Aidilfitri apabila ia dikaitkan sebagai budaya semata-mata.

Pensyarah Kanan I’jaz al-Quran, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, berkata sambutan Aidilfitri perlu selari dengan ketetapannya sebagai hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya menundukkan nafsu sepanjang 30 hari berpuasa ketika Ramadan.

“Apabila muncul anak bulan Syawal, diri umat Islam bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa.

“Sekiranya disambut dengan adab yang digariskan syarak, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malah perayaan itu akan diberkati dan diredai Allah SWT,” katanya.

Menyentuh amalan menziarahi pusara pada pagi raya, Mohd Sukki berkata, perbincangan perlu melihat kepada sejauh mana perbuatan itu dapat membantu dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Pada asasnya, menziarahi kubur itu sesuatu yang baik dan digalakkan dalam Islam. Pada zaman permulaan Islam, Nabi Muhammad SAW melarang umat Islam menziarahi perkuburan.

“Larangan ini disebabkan kebimbangan timbul kepercayaan lama mereka kepada berhala atau sebarang lambang keberhalaan. Namun, kemudian Baginda membenarkan umat Islam menziarahinya.

Doa di pusara

“Justeru, tidak menjadi khilaf dalam kalangan ahli ilmu mengenai keharusan bagi lelaki menziarahi kubur, manakala bagi wanita pula, terdapat perselisihan pendapat dalam konteks keharusan dan kewajaran mereka menziarahi kubur,” katanya.

Mengupas lanjut, katanya, amalan menziarahi kubur turut dilakukan Rasulullah SAW ketika hayatnya.

“Rasulullah SAW sendiri menziarahi perkuburan Baqi’ dan mengucapkan salam kepada si mati dengan doa Baginda, iaitu ‘selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman dan kami kelak akan menyusuli kamu.’

“Baginda juga bersabda dalam hadis riwayat Imam Muslim: “Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, tetapi sekarang boleh kamu menziarahinya kerana menziarahi kubur boleh mengingatkan kamu kepada kematian,” katanya.

Beliau turut menambah, walaupun hukum ziarah kubur pada hari raya harus, tetapi jangan sekali-kali kita bersedih pada hari itu, sebaliknya bergembira kerana kedatangan Syawal hasil kemenangan menundukkan nafsu sepanjang Ramadan.

Menyentuh kebaikan menziarahi kubur, Mohd Sukki berkata, ia dapat mengingatkan kita akan kematian dan hari akhirat.

“Apabila selalu mengingati mati, ia menjadi pemangkin ke arah melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

“Namun, perlu diingat ziarah kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana tidak ada nas yang melarang menziarahi kubur pada hari tertentu.

“Begitu juga, masyarakat Islam tidak wajar mengkhususkan pada hari tertentu sahaja seperti hari raya untuk menziarahi kubur,” katanya.

Maka jelaslah amalan menziarahi kubur pada hari raya boleh diteruskan jika matlamat keimanan dan ketakwaan dapat dicapai.

“Masyarakat Islam hendaklah mencari waktu sesuai untuk menziarahinya supaya sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat tidak bertukar menjadi maksiat.

“Sekiranya pada pagi hari raya, terdapat ‘pesta’ di tanah perkuburan, sewajarnya kita mencari waktu lain untuk menziarahinya.

Ziarah tiada hari khusus

“Tidak semestinya menziarahi tanah perkuburan boleh dilakukan hanya pada pagi hari raya yang pertama sahaja, sebaliknya boleh dilakukan pada petangnya atau hari raya kedua dan seterusnya yang difikirkan sesuai dan dapat mendatangkan keinsafan dalam diri,” katanya.

Selain itu, antara perkara perlu diberi perhatian ialah adab menziarahi kubur kerana ada dalam kalangan masyarakat Islam yang terlalu gembira dengan sambutan Syawal sehingga lupa kepada larangan yang dianjurkan Islam.

“Pada kebiasaannya, selepas menunaikan solat hari raya, masyarakat Islam beramai-ramai pergi ke kubur dan berlaku seolah-olah temasya perayaan di tanah perkuburan.

“Lihat sahaja dengan pakaian berwarna-warni dan gelak ketawa selepas berjumpa sahabat-handai serta tambah menyedihkan percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.

“Amat malang sekiranya sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat bertukar menjadi maksiat,” katanya.

Berita Harian X