Isnin, 3 Jun 2019 | 6:38am
- Gambar hiasan

'Perang balik raya' tuntut kemuafakatan berkeluarga

Isu bergaduh giliran balik berhari raya mungkin remeh bagi sebahagian pasangan, tetapi sering mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga, bahkan boleh menjejaskan keharmonian dan membawa kepada percerai-an.

Bukan hanya kes suami yang mendominasi giliran berhari raya setiap tahun di kampung halamannya, malah ada juga kes setiap tahun isteri memaksa suami balik berhari raya di kampungnya dengan pelbagai alasan.

Penyelesaian terhadap persoalan itu sebenarnya ada dalam Islam tetapi ia tidak boleh disimpulkan secara mudah seperti isteri wajib taat kepada suami, manakala lelaki boleh melakukan apa-apa sahaja.

Ini untuk mengelakkan bermasam muka pada pagi Aidilfitri kerana berebut giliran berhari raya pertama di kampung sendiri.

Pensyarah Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, Abdur-Rahman Mohamed Amin, berkata amalan penggiliran balik raya yang diamalkan oleh sesetengah suami isteri adalah baik kerana menunjukkan pasangan suami isteri mampu bertoleransi yang menjadi antara tunjang utama kepada keharmonian rumah tangga.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan ada suami yang tidak mahu mengikut giliran ‘asyik-asyik balik kampung dia,’ jadi untuk keadaan semacam ini ia cabaran pasangan suami isteri yang jelas masing-masing tidak mahu mengalah.

“Isteri akan tertekan kerana tidak boleh berhari raya di kampungnya saban tahun. Ia juga boleh berlaku kepada suami yang terpaksa mengikut kemahuan isterinya yang tidak mahu menyambut hari raya di kampung suaminya.

“Pasangan suami isteri perlu bersifat terbuka untuk berbincang isu ini dan tidak memendam rasa kerana ia boleh membawa kepada kemurungan dan hilangnya rasa bahagia,” katanya.

Tegas Abdur-Rahman, isteri juga perlu pandai memainkan peranan memujuk suami dengan memberikan alasan rasional mengapa giliran balik kampung penting.

Katanya, ada kemungkinan suami bertegas disebabkan isu kekeluargaan ataupun perkara sensitif yang menyebabkan suami menjadi berat hati untuk pulang berhari raya di kampung isteri.

“Kebiasaannya, suami yang rasional akan maklum mengenai keperluan isteri untuk berada bersama ibu bapanya terutama ketika menyambut hari raya.

“Ini kerana isteri yang akan membantu ibu bapanya untuk memasak dan mengemas rumah sebagai persediaan untuk berhari raya yang lazim dilakukan sebelum berkahwin.

“Kenangan lama seperti ini yang dirindui setiap individu ketika menyambut hari raya bersama keluarga. Justeru, suami perlu memberikan peluang kepada isteri menyambut hari raya di kampungnya agar keharmonian hidup suami isteri terus dapat dipelihara,” katanya.

Tambah Abdur-Rahman, jika isteri hanya berasa tidak puas hati dan tidak reda akan situasi itu tetapi masih tetap mentaati perintah suaminya, dia dianggap sebagai tidak berdosa.

“Sebaliknya, boleh menjadi berdosa dan membawa kepada nusyuz atau derhaka sekiranya suami tidak membenarkan isteri keluar rumah, tetapi tetap berbuat demikian untuk pulang ke kampung halaman.

Bincang dengan lapang dada

“Sebagai suami dan lelaki matang, ia boleh dibincangkan dengan lapang dada. Perlu diingat, mengizinkan isteri pulang berhari raya ke kampungnya, bukan ihsan suami.

“Ini kerana pulang ke kampung isteri juga sebahagian tanggungjawab suami untuk menziarahi ibu bapa mentuanya,” katanya.

Beliau berkata, ziarah keluarga mentua menjadi amalan dituntut dalam agama kerana termasuk di bawah hukum menjaga dan menyambung silaturahim yang membawa pahala besar,” katanya.

Hal itu bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama mementingkan hubungan silaturahim kerana Muslim perlu menjalin dan meneruskan hubungan dengan kaum-kerabat dan saudara-mara meskipun mereka tidak membalas tindakannya itu dengan kebaikan.

Islam mengajar setiap kejahatan dilakukan terhadap Muslim tidak boleh dijadikan penyebab terputus silaturahim dan kebaikan.

Daripada Abdullah Amru RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:Tidaklah seseorang itu digelar al-wasil (penyambung silaturahim) apabila dia bersifat al-mukafi’i (orang hanya menyambung silaturahim jika saudaranya berbuat demikian tetapi dan akan memutuskan apabila mereka bertindak sebegitu). Namun, al-wasil ialah seseorang yang apabila terputus silaturahim, dia segera menyambungkannya. (HR Bukhari dan Muslim)

Abdur-Rahman berkata, persoalan suami yang mendominasi isteri dalam hal kekeluargaan tidak terhad hari raya sahaja kerana ada suami tidak membenarkan isteri mereka menjaga ibu bapanya atas alasan bukan tanggungjawab anak perempuan, sebaliknya adik-beradik lelaki.

Guna pertimbangan sesuai

Dalam hal itu, tegas Abdur-Rahman, suami perlu menggunakan pertimbangan sesuai kerana meskipun anak lelaki lebih bertanggungjawab menjaga ibu bapa, sekiranya terdapat kesukaran untuk mereka berbuat demikian, suami boleh membenarkan isterinya untuk menggalas tugas berkenaan.

Malah pertimbangan suami seumpama itu akan diberikan ganjaran pahala besar seperti besarnya pahala isteri menjaga ibu bapanya.

Firman Allah SWT: Dan Tuhanmu memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-dua sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Israk: 23)

“Apatah lagi jika ibu bapa mentua semakin uzur hingga dalam Sahih al-Bukhari, terdapat bab khas memperjelaskan hadis berkaitan kelebihan berbuat baik kepada ibu bapa terutama yang sudah tua.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Kehinaan bagi sesiapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya, namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” (HR Bukhari)

Hadis itu, tegas Abdur-Rahman, menjelaskan tingginya pahala untuk orang berbuat baik kepada ibu bapa terutama sudah tua dan uzur hingga boleh menjadi asbab untuk masuk syurga.

Beliau berkata, hubungan suami isteri perlu dibina atas dasar toleransi kerana tolak-ansur sebahagian manifestasi sifat kasih-sayang suami kepada isterinya.

Meskipun suami memiliki hak ke atas isterinya, hak itu tidak boleh disalahgunakan hingga memutuskan silaturahim dan menjejaskan hubungan antara anak dengan ibu bapanya.

Ketaatan isteri kepada suami hendaklah diseimbangkan dengan perintah Allah SWT berkaitan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, terutamanya apabila ibu bapa sudah tua dan uzur.

Berita Harian X