Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:57pm
Golongan asnaf bukan hanya memerlukan bantuan kewangan, sebaliknya ilmu melalui bahan bacaan ilmiah. Gambar hiasan. - Foto Rosela Ismail
Golongan asnaf bukan hanya memerlukan bantuan kewangan, sebaliknya ilmu melalui bahan bacaan ilmiah. Gambar hiasan. - Foto Rosela Ismail

Usah abaikan sumbangan buku, ilmu buat asnaf

KUALA LUMPUR: Golongan asnaf dan fakir miskin bukan hanya memerlukan bantuan kewangan dan makanan, sebaliknya ilmu melalui bahan bacaan ilmiah serta bermanfaat.

Pengurus Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman, berkata ia menjadi keperluan penting sebagai usaha untuk mendorong mereka daripada keluar kepompong kemiskinan.

Ahmad Husni berkata, keperluan itu jarang dilihat sedangkan tanpa ilmu, perkembangan minda yang tidak kurang penting untuk menjana ekonomi keluarga tidak dapat berlaku.

“Sukar untuk hidup tanpa ilmu, jadi mengapa tidak selain bantuan sedia ada ditambah dengan bantuan buku khususnya untuk anak asnaf.

“Jadi, bukan hanya perut mereka kenyang tetapi ini antara cara melahirkan ummah yang gigih berusaha, tidak malas dan terus mengharapkan bantuan,” katanya.

Ahmad Husni berkata, PPZ-MAIWP menyahut seruan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, supaya agensi zakat bukan saja memberi sumbangan wang dan makanan kepada golongan asnaf, bahkan buku dan bahan bacaan lain.

“Cadangan ini sebenarnya amat baik dan masyarakat perlu difahamkan ia bukan bermakna dinafikan bantuan lain untuk asnaf.

“Asnaf akan mendapat tambahan bantuan dalam bentuk buku dan seumpamanya tetapi pada masa sama, sumbangan makanan tetap diteruskan,” katanya.

Katanya, sumbangan dalam bentuk keperluan lain termasuk pemberian buku sebahagian kaedah disebut

ulama sebagai pengagihan zakat menerusi asnaf fisabilillah.

“Mengikut pandangan dikeluarkan Nadwah Kali Pertama Isu Zakat Kontemporari, agihan zakat yang dibuat daripada pihak ini diagih dalam maksud memberi bantuan pendidikan dan pembelajaran.

“Ini sebahagian termasuk dalam kategori asnaf fisabilillah, yang merangkumi makna berjihad pada jalan Allah SWT, sama ada jihad dengan tangan, tenaga, harta dan lisan.

“Maka ia termasuk membantu orang yang sedang menuntut ilmu,” katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat tidak perlu runsing mengenai mekanisme agihan bantuan buku kerana ia akan diuruskan institusi zakat termasuk Baitulmal dan pengurusan zakat negeri.

“Timbul kekeliruan seolah-olah dibenarkan bayar zakat dengan cara menyumbang buku. Kaedah itu tidak menepati maksud penunaian zakat kerana ia mesti ditunaikan dalam bentuk harta asal mengikut jenis harta dikenakan zakat.

“Justeru, individu mahupun syarikat perlu menunaikan zakat dalam bentuk wang dan daripada sumber wang zakat itu, kita akan bekerjasama dengan institusi buku untuk membeli buku bermanfaat.

“Perkara ini bukanlah baharu kerana sudah pun digerakkan tetapi bukan dalam skala besar antaranya membabitkan bantuan persekolahan antaranya sumbangan buku teks untuk pelajar asnaf,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu yang dibimbangi masyarakat seperti manipulasi dalam pemilihan dan pembelian buku kerana antara kriteria penilaian ialah kualiti dalam membina minda pembaca.

“Buku yang dipilih berasaskan rundingan secara langsung, sekali gus mengelakkan berlaku perkara seperti mengambil untung atas angin atau wujud unsur lobi membabitkan pemain industri buku.

“Lebih wajar institusi zakat sendiri yang menguruskannya supaya proses pembelian terkawal dan mengelakkan berlakunya sebarang penyelewengan,” katanya.

Berita Harian X