Ahad, 5 Mei 2019 | 3:36pm
Lazimi zikir dan doa sepanjang Ramadan ini untuk mendapatkan keredaan Allah SWT yang menjadi keperluan hidup di dunia. Gambar hiasan. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Lazimi dua zikir dan dwi-doa sepanjang Ramadan

TERLALU banyak zikir dan doa yang boleh dilazimi sepanjang Ramadan kerana setiap ibadat sunat akan dibalas dengan pahala berganda-ganda.

Antaranya empat ucapan yang dua daripada disifatkan dalam hadis riwayat Salman RA sebagai sebab mendapatkan keredaan Allah SWT, manakala bakinya adalah yang sangat kita perlukan.

Dua ucapan pertama ialah kalimah tayibah atau tauhid, iaitu tiada tuhan melainkan Allah dan istighfar atau meminta keampunan kepada Tuhan dengan ungkapan paling ringkas, aku meminta ampun daripada Allah SWT.

Ucapan kategori kedua pula ialah doa meminta syurga dan memohon perlindungan Allah SWT daripada neraka-Nya.

Ulama besar dan ahli hadis India, Maulana Zakaria al-Kandhalawi dalam menjelaskan empat ucapan itu, berkata menghabiskan sebanyak mungkin masa lapang dengan perkara berkenaan ialah tuah dan penghargaan sebenar kepada suruhan Nabi SAW.

“Bukanlah satu kesusahan lidah kita mewiridkan selawat atau kalimah tayibah di samping menguruskan pekerjaan duniawi,” tulisnya dalam kitab Fadhail A’mal.

Beliau turut memetik syair yang indah dan mengandungi makna yang penting untuk dijadikan peringatan.

Walaupun saya dibebani dengan segala kesibukan duniawi / Namun masih aku tidak lalu daripada mengingati-Mu.

Berita Harian X