Sabtu, 20 April 2019 | 8:34pm
PENSYARAH Hubungan Etnik UiTM cawangan Negeri Sembilan, Prof Madya Dr Abdul Halim Ramli.

Nilai sejagat dalam Islam, agama Timur pupuk perpaduan

Pensyarah Hubungan Etnik UiTM cawangan Negeri Sembilan

KITA sering dimomokkan kepelbagaian dan perbezaan agama boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang budaya. Namun, jika mengkaji agama secara mendalam, kita pasti mendapati nilai kebaikan sejagat terkandung dalam setiap ajaran akan menitikberatkan hidup harmoni, kasih sayang dan perpaduan serta mencela permusuhan.

Mutakhir ini, wujud segelintir yang mencerca agama lain disebabkan kejahilan atau bersifat phobia. Ia perlu dibanteras untuk mengelakkan negara terjerumus dalam konflik agama, sekali gus memperlihatkan kelemahan dalam membentuk masyarakat celik kepelbagaian. Justeru, literasi dan kepelbagaian agama perlu diberi pendedahan dalam institusi pendidikan formal.

Walaupun setiap agama mempunyai perbezaan mendasar terutama konsep ketuhanan dan kepercayaan, nilai sejagat boleh dijadikan landasan memupuk keharmonian dan perpaduan yang dianggap nilai dikongsi bersama dan titik persamaan dalam aspek moral.

Menurut Prof Idris Zakaria, beberapa nilai diamalkan pelbagai kaum dan agama boleh diguna pakai untuk tujuan pemupukan perpaduan antara kaum. Contohnya sikap toleransi, kesederhanaan dan kasih sayang oleh Confucius; chun tze (keperibadian agung) dan kemesraan hubungan manusia-alam oleh Lao-Tze serta nilai salam (kedamaian) dan kemuliaan manusia oleh Islam.

Menurut Prof Tu Wei Min, nilai bersama yang relevan dikongsi bersama dalam masyarakat pluralistik ialah kemanusiaan, kebenaran, kesopanan, kearifan, saling mempercayai dan perdamaian.

Membudayakan nilai toleransi

MASYARAKAT pluralistik yang harmoni, membudayakan nilai toleransi yang didefinisikan sebagai sabar dan bertolak ansur atau berlebih kurang, dapat menerima serta menghormati pendapat dan kepercayaan orang lain. Juga sikap adil kepada orang lain dan menerima hak mereka dalam perbezaan kepercayaan agama serta politik.

Sifat toleransi dalam hubungan kaum ialah sikap tolak ansur dan memahami perbezaan serta kepelbagaian agama, budaya dan sistem nilai yang wujud dalam masyarakat. Antaranya, memahami hak golongan majoriti dan minoriti, mempunyai sifat keterbukaan, kesederhanaan serta menjauhi sifat taasub atau radikal.

Bagaimanapun, toleransi beragama bukan bermaksud melihat semua agama sama seperti didukung faham pluralisme agama yang mendakwa tiada mana-mana agama mempunyai sumber kebenaran ekslusif.

Nilai atau sikap toleransi menurut pandangan Islam berdasarkan apa dimodelkan Nabi Muhammad SAW seperti nilai ditunjukkan Baginda terhadap ahli keluarga yang tidak memeluk agama Islam, layanan terhadap penduduk Makkah dan bekas musuh semasa mereka menyerah diri.

Nabi SAW melarang orang Islam daripada menzalimi tahanan atau Muslim yang berdosa, malah Baginda tidak bertindak keterlaluan atau keras dalam mana-mana pun keadaan itu.

Firman Allah SWT: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang tidak memerangi kamu kerana agamamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)

Sifat toleransi dapat dilihat dalam perbuatan khalifah Islam seperti Khalifah Abu Bakar RA yang berpesan kepada ketua tenteranya, Usamah RA supaya jangan mengganggu paderi dan orang beribadat di tempat ibadat.

Tindakan itu memberi petunjuk kepada umat Islam bahawa mengganggu tempat ibadat pun sudah dilarang, apatah lagi tindakan keganasan ke atas tempat berkenaan.

Perlembagaan Madinah bukti Islam menggalakkan kerjasama dan perpaduan antara Muslim, Kristian dan Yahudi. Ia dikemukakan secara bertulis untuk menjamin kebebasan, termasuk beragama, persamaan dan keadilan untuk semua kaum serta agama.

Sikap toleransi dapat dilihat apabila mengiktiraf hak golongan minoriti yang bukan sebangsa atau seagama mereka. Kerajaan Turki Uthaminiyah memberikan contoh toleransi Islam tinggi kepada negara jajahannya dan masyarakat bukan Islam.

Ia diakui ahli falsafah dan sejarawan Perancis, Gustav Lobon dalam bukunya, Hadharah al-Arab yang berkata: “Sebenarnya setiap umat tidak pernah mengenali sikap toleransi orang membuka negara mereka seperti sikap orang Arab (Islam) dan tiada agama bertoleransi seperti agama mereka.”

Pandangan agama dihormati

BEGITU juga apabila Islam menguasai Afrika Utara, orang Islam bukan sahaja tidak menzalimi rakyat Kristian atau mencampuri urusan dalaman gereja, malah diberi kebebasan penuh berkaitan agama. Pandangan agama mereka dihormati dan dijamin keadilan dalam hubungan dengan orang Islam, bukan dengan dendam atau benci.

Bagi non-Muslim yang berpegang kepada ajaran Konfusianisme, nilai toleransi dapat dikesan melalui konsep ren atau kemanusiaan ditunjangi nilai shu (mengutamakan orang lain) dan zhong (dedikasi). Nilai shu membawa makna mengawal perasaan dan keinginan supaya tidak melakukan kepada orang lain perkara yang tidak ingin orang lain lakukan pada kita, sekali gus membawa sifat mulia hati, toleransi dan belas kasihan.

Ajaran Konfusianisme mengandungi empat etika, iaitu diri, keluarga, bangsa dan komuniti dunia. Dalam etika komuniti dunia, Confucius memperkenalkan pemikiran datong atau kesatuan sejagat yang dunia dikongsi semua bangsa.

Mengikut Ken dan Viskha dalam tulisan, Tolerance in Buddhism, etika agama Buddha menggariskan sikap toleransi kepada agama lain dan pengikutnya, sekali gus tidak membenarkan sebarang kekerasan sama ada percakapan, tindakan atau pemikiran.

Konsep Dhamma disebut sebagai ehipassiko, iaitu mengajak seseorang melihat ke dalam diri sendiri. Pengasasnya, Gautama Buddha mengajar pengikutnya mengenai jalan mencapai pembebasan dan kepentingan kesabaran, toleransi serta tanpa kekerasan, selain menentang diskriminasi perkauman serta prejudis.

Ringkasnya, Islam dan agama Timur lain mengajar pengikut mereka mengamalkan sikap toleransi termasuk membabitkan penganut agama lain. Pemahaman nilai toleransi dan kebaikan sejagat dikongsi bersama akan dapat mengukuhkan perpaduan antara agama serta kaum, sekali gus mengelakkan konflik dalam masyarakat majmuk.

Berita Harian X