Khamis, 28 March 2019 | 6:11am
- Gambar hiasan

Interaksi kaum berpaksi kemaslahatan

Isu mengenai hubungan etnik tidak pernah terlepas daripada perhatian Islam dan ia dapat dapat dilihat dengan jelas melalui pengamatan terhadap dua sumber utamanya iaitu al-Quran dan hadis.

Menurut Islam, perbezaan etnik bukan matlamat manusia dicipta di atas muka bumi ini. Ia juga tidak menghalang seseorang daripada menganut dan mengamalkan Islam dengan segenap ajarannya. Sebagai mana ia juga tidak sepatutnya menjadi alasan seseorang itu disisihkan daripada mendapatkan hak yang sewajarnya.

Islam memperkenalkan konsep ukhuwah berasaskan iman yang merentas sempadan bahasa, bangsa dan negara. Setiap orang mukmin mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap saudara seagamanya tanpa mengira perbezaan etnik dan warna kulit.

Rasulullah SAW membuktikan hal ini menerusi tindakan mempersaudarakan antara Salman RA yang berbangsa Parsi dengan Abu al-Darda’ RA berbangsa Arab. Tindakan Rasulullah SAW mempersaudarakan dua sahabat yang tiada hubungan darah ini dikenali sebagai al-Ikha’. Islam mementingkan sifat peri kemanusiaan sesama manusia tanpa mengira perbezaan etnik dan agama.

Jabir Abdullah RA berkata: “Satu jenazah melewati kami, lalu Nabi berdiri kerananya, dan kami pun berdiri. Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, jenazah itu adalah jenazah orang Yahudi.’

Beliau bersabda: “Jika kamu melihat jenazah, maka berdirilah!” (HR Bukhari).

Abdur Rahman bin Abu Laila berkata: “Ketika Sahal Hunaif dan Qais Sa’ad sedang duduk di Qadisiyah, tiba-tiba lalu di hadapan mereka jenazah, lantas kedua-duanya berdiri. Setelah itu dikatakan orang kepada mereka bahawa jenazah itu adalah zimmi (bukan orang Islam).

“Mereka menjawab; ‘sesungguhnya (dalam satu riwayat: Abdur Rahman berkata, ‘Aku bersama Qais dan Sahl RA, lalu mereka berkata, ‘kami bersama Nabi pernah pula lewat jenazah di hadapan Nabi, lantas Baginda berdiri. Sesudah itu dikatakan orang kepada Baginda bahawa jenazah itu adalah orang Yahudi, lalu Baginda bersabda, ‘bukankah dia manusia juga?”

Ibnu Abi Laila berkata; “Abu Mas’ud dan Qais berdiri untuk menghormati jenazah,” (HR Bukhari).

Hak Orang Bukan Islam dalam negara Islam

Orang bukan Islam yang mendapat kerakyatan atau yang masuk ke dalam negara umat Islam secara sah disebut sebagai zimmi atau mu’ahad yang bermaksud orang yang dijamin hak perlindungan mereka oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Mereka memiliki hak untuk hidup sebagai seorang warganegara dan hal ini diterangkan dalam banyak hadis, antaranya Riwayat Abu Daud: “Ketahuilah, sesiapa yang menzalimi seorang mu’ahad, mengurangkan haknya, membebankannya dengan kerja yang di luar kemampuannya atau merampas hartanya tanpa kerelaannya, maka aku adalah seterusnya pada hari kiamat”.

Islam dengan jelas melarang pembelaan etnik sendiri dalam erti kata membantu dan membela etnik sendiri yang melakukan kesalahan.

Islam tidak membenarkan pemikiran asabiyah yang hanya memberi fokus kepada bangsa sendiri, mempertahankan serta mengiyakan apa sahaja perbuatan atau tindakan bangsa sendiri sekalipun tindakan itu jelas bertentangan dengan tatasusila kebenaran serta nyata berlakunya kezaliman dan penganiayaan.

Bagaimanapun, dalam konteks di Malaysia, usaha yang dilakukan demi membawa kemajuan kepada orang Melayu tidak boleh dianggap asabiyah. Ia berlaku dalam semangat setiakawan yang tidak berunsur kezaliman yakni usaha membantu orang Melayu dilaksanakan tanpa mengambil hak orang bukan Melayu. Ia juga disebabkan orang Melayu jauh ketinggalan dari kaum lain.

Perhubungan masyarakat yang disusun Islam antara Muslim dan bukan Islam ditegakkan atas dasar kebaikan, kemuliaan, keadilan, lemah-lembut, permesyuaratan, kepentingan bersama dan tolong-menolong serta mencegah daripada keburukan yang boleh menghancurkan masyarakat.

Sifat sedemikian dapat menjalinkan perpaduan dalam kalangan pelbagai etnik tanpa mengira warna kulit dan tiadanya perbezaan dalam kedudukan dalam masyarakat.

Penghormatan terhadap manusia ialah dengan menghormati jiwa manusia itu sendiri tanpa melihat agama dan etnik.

Justeru, perhubungan masyarakat dalam Islam terbina atas tiga dasar iaitu membolehkan setiap manusia untuk berusaha dengan tenaga yang ada padanya dan membahagikan pekerjaan mengikut kemampuan, memberikan kebebasan kepada setiap orang dengan tidak menceroboh hak orang lain dan membantu pihak lemah tanpa mengira warna kulit.

Islam sentiasa menjalinkan perhubungan antara orang Islam dengan bukan Islam atas asas yang kemas dan padu merangkumi sifat toleransi, keadilan, amal kebajikan dan belas kasihan yang belum pernah ditemui oleh sejarah kemanusiaan sebelum Islam. Justeru, penganut Islam dituntut berbuat amal kebajikan dan melaksanakan keadilan kepada seluruh manusia biarpun orang itu terdiri daripada orang bukan Islam selagi mereka tidak menentang Islam.

Saling mengasihi

Bagaimanapun, apa yang menjadi kepada konflik antara manusia berlainan agama dan etnik apabila manusia itu dikalahkan oleh hawa nafsu, perasaan fanatik, fikiran yang sempit dan mementingkan diri sendiri.

Sebenarnya kelainan itu wujud untuk manusia saling mengenali dan mengasihi. Pembahagian manusia mengikut bangsa adalah untuk saling mengenali dan bukan untuk bertelingkah. Justeru, Islam menolak sepenuhnya sifat fanatik kepada sesuatu bangsa dan berpecah belah.

Sebaliknya interaksi antara Muslim dan bukan Muslim pula berpaksi kemaslahatan masyarakat dan kebaikan kemanusiaan. Kezaliman wajar dibanteras walaupun yang melakukannya adalah orang yang sebangsa dan yang dizalimi adalah orang berlainan etnik.

Begitu juga keadilan wajar ditegakkan walaupun untuk orang berlainan etnik. Jika ajaran Islam benar-benar dihayati, masyarakat kepelbagaian yang hidup dalam suasana rukun dan harmoni sudah pasti dapat diwujudkan.

Berita Harian X