Selasa, 19 Februari 2019 | 3:58pm
Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan hingga perlu sentiasa bertaubat. Gambar hiasan. - Foto Owee Ah Chun

Jangan bertangguh taubat

SETIAP hari manusia melakukan kesilapan, jika mungkin dosa besar itu dapat dihindari dosa kecil sentiasa berlaku sama ada secara sedar atau tidak. Hal ini terjadi kerana sifat manusia itu sendiri yang tidak sunyi dari kesilapan.

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat.” (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, setiap manusia dianjurkan untuk sentiasa bertaubat. Dalam tuntutan bertaubat ini, seseorang itu diperlukan untuk berasa berdosa di atas apa yang dilakukan.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah SWT dengan taubat nasuha” (At-Tahrim: 8)


Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Ustaz Jafri Abu Bakar. - Foto Nik Hariff Hassan

Pendakwah yang juga Pengasas Kompleks Islam Darul Faizin, Bandar Baharu, Kedah, Jafri Abu Bakar Mahmud, berkata menerusi ayat 8 surah At-Tahrim, Allah SWT menyebut ‘wahai orang beriman’ kerana hanya orang yang beriman saja mampu berasa berdosa dan akan melakukan taubat.

Jafri turut berkongsi kisah Rasulullah SAW bersama Sahabat RA bernama Wabishah ibnu Ma’bad RA yang datang berjumpa Baginda. Belum sempat dia membuka mulut, Baginda meneka, “Kamu hendak tanya mengenai kebaikan?” Terkejut Wabishah mendengar kata-kata Rasulullah SAW lantas mengiyakannya. “Benar!”

Lalu Baginda menjelaskan satu ilmu yang sangat penting, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang memberi fatwa membenarkanmu.” (HR Ahmad dan Ad-Darimi).

Tegas Jafri, orang yang sentiasa melakukan dosa dan kemaksiatan tetapi tidak bertaubat adalah disebabkan tidak berasa berdosa dengan apa yang dilakukan, malah dalam hatinya tidak timbul kegelisahan disebabkan iman yang lemah dalam diri.

“Rasulullah SAW juga menyeru umatnya supaya bersegera dan tidak menangguhkan taubat. Ini kerana, sekiranya bertangguh dalam bertaubat, kegelisahan hati itu akan semakin hilang hari demi hari.

“Jadi waktu yang terbaik untuk taubat sempurna adalah ketika hati sedang berasa gelisah dengan dosa yang dilakukan sebelum ia semakin pudar disebabkan sikap diri yang suka bertangguh,” katanya.

Dosa tak terampun

Jafri berkata, sekiranya meninggal dunia dalam dosa yang belum diampunkan, kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak dengan dosa yang dilakukan di dunia dan Allah SWT menjanjikan azab-Nya kecuali dengan rahmat-Nya.

Justeru, beliau mengingatkan setiap kita tidak bertangguh dalam bertaubat dan juga melakukan amal soleh sebelum nyawa ditarik malaikat kerana ajal itu tidak mengenal masa.

Tegas Jafri, dalam syarahan Imam Nawawi juga menyebut syarat untuk melakukan taubat nasuha adalah dengan berhenti melakukan kemaksiatan, berazam tidak lagi melakukannya dan menyesali dengan kesalahan yang dilakukan.

Namun jelas beliau, perkara paling sukar dalam bertaubat nasuha adalah dengan menyesali dengan apa yang dilakukan.

“Rasa sedap dan seronok melakukan maksiat menyebabkan seseorang itu sukar untuk rasa menyesal dengan dosa yang dilakukan.

“Malah apabila duduk diam atau berseorangan menyebabkan dia mula teringat dosa yang dilakukan dan mula rasa seronok pula,” katanya.


Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan hingga perlu sentiasa bertaubat. Gambar hiasan. - Foto Salhani Ibrahim

Minta pengampunan

Tambah Jafri sekiranya dosa yang dilakukan berkait dengan Allah SWT, kita boleh meminta ampun dan taubat kepada-Nya, namun sekiranya berkait sesama manusia memerlukan seseorang itu untuk kembali menunaikan hak dengan orang yang dizalimi.

“Sekiranya berkait dengan harta, maka ia itu perlu dipulangkan manakala jika berkait dengan keaiban maka perlu untuk meminta ampun dan maaf.

“Sekiranya kesalahan itu tidak dimaafkan, kita perlu meminta doa dan pengampunan daripada Allah SWT supaya dilembutkan hatinya memaafkan dosa kita,” katanya.

Jafri berkata, melakukan dosa besar bermaksud manusia perlu memohon pengampunan daripada Allah SWT, namun jika dosa kecil yang dilakukan tanpa sengaja, ia boleh dihapuskan dengan memperbanyakkan istighfar dan melakukan amal soleh.

“Setiap hari manusia tidak akan terlepas dan terhenti daripada melakukan dosa sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak. Jadi dosa kecil itu boleh dipadamkan dengan memperbanyakkan istighfar dan melakukan amal soleh.

“Malah Saidina Umar RA mengajar, sebelum tidur kita hendaklah muhasabah diri dan hisab diri sendiri terhadap perbuatan atau tingkah laku sepanjang hari. Kemudiannya beristighfar dengan bersungguh-sungguh supaya Allah SWT mengampunkan dosa yang kita lakukan,” katanya.

Tambah Jafri, amalan seperti mengerjakan umrah, puasa serta amalan sunat lain jika dilakukan itu dijanjikan pengampunan dosa oleh Allah SWT.

“Amalan soleh yang dilakukan itu boleh menjadi motivasi dan pemangkin kepada diri untuk berubah menjadi insan yang lebih baik selain berasa berdosa dengan kesilapan silam,” katanya.

Satu hal yang nyata, sejauh mana manusia tergelincir dan melakukan kesilapan Allah SWT sentiasa sudi mengampunkan seandainya kita kembali kepada-Nya.

Jangan menjadikan alasan usia masih muda atau perjalanan hidup masih jauh untuk menangguh taubat kerana kematian tidak pernah melihat pada tua atau mudanya usia.

Meskipun pintu taubat Allah SWT itu terbentang luas, ia ada tarikh akhirnya.

Pintu taubat itu akan tertutup pada saat seseorang itu hampir menuju kematian dan ketika dunia tiba ke detik akhirnya iaitu hari kiamat.

Berita Harian X