Rabu, 30 Januari 2019 | 8:48pm
Kutipan zakat akan disalurkan kepada asnaf tanpa melalui birokrasi yang menyusahkan. Gambar hiasan. - Foto Aizuddin Saad

28 skim bantu asnaf zakat Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Institusi zakat sering dikaitkan dengan persepsi dan prasangka buruk seolah-olah sumbangan masyarakat melaluinya tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kenyataannya berkata, tanggapan negatif sebegini bukan saja mencemar imej institusi pengurusan zakat, bahkan membuatkan orang awam kurang yakin kepada badan dipertanggungjawabkan melakukan kutipan dan pengagihan.

“MAIWP ialah organisasi yang berperanan menguruskan zakat di Wilayah Persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya melalui 28 skim.

“Bantuan kepada asnaf merangkumi pelbagai aspek termasuk keperluan asas, perumahan, pendidikan, perniagaan, kebajikan dan dakwah.

“Bantuan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit secara bulanan, tetapi merangkumi perkara lain membabitkan keluarga asnaf itu seperti menampung sewa rumah sekiranya tidak mampu, pembiayaan pelajaran dan membantu mereka yang menceburi perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, semua bantuan yang diberikan kekal sehingga keluarga berkenaan keluar daripada taraf asnaf miskin.

Katanya, bagi menjejaki golongan asnaf yang tercicir, MAIWP turut menubuhkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP untuk turun padang, selain mengharapkan kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya didapati ada keluarga atau individu layak mendapatkan bantuan zakat.

Mengenai dakwaan birokrasi berlaku dalam institusi zakat, kenyataan itu berkata, hal berkenaan juga tidak benar kerana pemohon hanya perlu mengisi borang bersama maklumat lengkap.

“Ini penting untuk memastikan pemohon benar-benar termasuk dalam golongan yang layak menerima bantuan zakat.

“Permohonan juga tidak memerlukan pengesahan daripada mana-mana pihak seperti ahli politik, ketua kampung dan imam.

“Proses kelulusan juga dipercepatkan kepada lima hari dan bagi kes kecemasan, bantuan akan disalurkan dengan segera,” katanya.

Justeru, orang ramai diharap tidak mengeluarkan kenyataan tidak sahih mengenai pengagihan zakat, sebaliknya membuat kajian dengan mendapatkan keterangan lanjut menerusi laman web dan Facebook MAIWP.

Berita Harian X