Rabu, 9 Januari 2019 | 11:17am
Taubat menuntut istiqamah dalam bermujahadah yang tinggi. Gambar hiasan. - Foto Adzlan Sidek

Pendosa bertaubat raih ganjaran besar

Pendakwah dan penulis

MANUSIA yang paling bijak bukan semata-mata orang mempunyai pendidikan tinggi dan kerjaya lumayan, sebaliknya individu yang menyedari hakikat hidup di dunia yang sementara serta tujuan abadi di akhirat kelak.

Rasulullah SAW pernah ditanyakan seorang Ansar: “Wahai Nabi Allah! Siapakah orang yang paling bijak?” Baginda bersabda: “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan bersedia untuknya. Itulah orang yang bijak.” (HR Ibnu Majah)

Apakah kita mengingati mati dan bagaimana pula persediaan untuk menghadapinya? Ironinya, orang yang masih muda sering memikirkan kematian akan menjadi antiklimaks kepada keghairahan mengejar cita-cita hingga menganggap terlalu awal berfikir mengenainya.

Kematian tidak menunggu tua atau memilih sasaran, tempat dan masa kerana syarat mati bukan usia, sebaliknya hidup tidak kira bayi, kanak-kanak, remaja mahupun tua.

Justeru, mengingati kematian memberi kesan dan manfaat sangat besar hingga tidak akan mudah putus asa dan merengek dengan kesusahan di dunia ini. Malah, kita akan lebih tabah menempuh liku-liku kehidupan kerana menyedari penderitaan hanya sementara demi mengharapkan kesenangan lebih baik dan kekal kelak.


Bertaubat tidak mengira usia sama ada muda atau tua. Gambar hiasan. - Foto Datu Ruslan Sulai

Tinggalkan perkara jahat

Oleh itu, kita akan lebih rela meninggalkan ‘kelazatan’ daripada kejahatan dan kemaksiatan biarpun menggiurkan kerana ada balasan azab yang kekal, sekali gus berpegang dengan prinsip ‘bersakit-sakit dulu di dunia, agar tidak bersakit-sakit di akhirat.’

Dunia ialah kehidupan penuh ujian sebelum benar-benar hidup di akhirat. Mati ialah pemutus nikmat dunia kepada orang yang cintakannya, tetapi pemutus duka kepada mukmin yang cintakan akhirat.

Imam al-Ghazali berkata, pokok kemaksiatan perlu dicabut cepat dengan taubat sebelum akarnya semakin bercambah dan kukuh mencengkam bumi.

Apatah lagi bagi yang masa muda, dosa masih tidak banyak tetapi dosa sekiranya dibiarkan, hati akan semakin hitam, manakala nafsu beraja dengan bersarang dalam diri. Hukama’ mengungkapkan mendidik sewaktu usia muda umpama melukis di atas batu, manakala mendidik ketika tua ibarat melukis di atas air.

Sesali kesilapan lalu

Sebenarnya alangkah rugi andai kita menunggu usia senja, baru ingin mengubah diri sedangkan ketika itu kita hanya mampu menyesali apa dilakukan tanpa dapat melakukan apa-apa perubahan. Ini kerana dengan kudrat gagah, kita dapat melakukan banyak kebaikan dan bermuhasabah diri.

Oleh itu, apakah yang perlu dilakukan apabila kita menyesal terhadap kesilapan lalu kerana mesti ada tindakan memastikan kita mampu meninggalkan dosa itu khususnya tidak mengulanginya semula.

Ada tiga fasa yang sering digariskan ulama yang bermula fasa tahilli, iaitu pembersihan diri daripada dosa dengan segera meninggalkan dan menyesali maksiat yang dilakukan, sekali gus berazam tidak akan mengulanginya.

Fasa tahalli pula diisi dengan ilmu bermanfaat, sifat mahmudah dan melakukan kebaikan semaksimum seperti mendekatkan diri dengan al-Quran, bergaul dan meneladani orang soleh yang dapat menjadikan kita mengingati kesan dosa dan menggenggam janji setia taubat yang diucapkan.

Pada fasa terakhir, iaitu tajilli pula, kita akan menikmati kelazatan beribadah dan keakraban hubungan kita dengan Allah SWT. Inilah saat dosa berjaya dipinggirkan dan amal kebaikan
mengambil tempatnya tetapi perlu disertakan dengan komitmen serta istiqamah, manakala jalan mujahadah pula tiada penghujungnya hingga dijemput malaikat maut.

Taubat tuntut istiqamah

Jalan taubat menuntut istiqamah dalam bermujahadah yang tinggi tetapi kita perlu meyakini kita tidak bersendirian dalam melakukan perubahan kebaikan diri. Firman Allah SWT: “Dan orang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya Kami pimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut: 69)

Bagaimana sekiranya seseorang yang didapati bersalah, mendengar pengumuman gembira kepada mereka mengenai kesalahan yang bukan saja akan diampunkan, bahkan disertakan dengan pakej ganjaran sangat lumayan.

Itulah yang dirakamkan oleh janji Allah SWT: “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus-menerus).” (Hud: 3)

Orang bertaubat disukai Allah

Bagi pendosa yang bertaubat, Allah SWT akan menggantikan setiap dosanya dengan kebaikan seperti firman-Nya: “Kecuali orang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh. Maka kejahatan mereka akan diganti Allah dengan kebaikan.” (Al-Furqan: 70)

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan orang menyucikan dirinya sendiri.” (Al-Baqarah: 222)

Khabar gembira itu yang sangat diharapkan semua pendosa ibarat pesalah berat yang dipenjara seumur hidup hingga tiada siapa dapat mengeluarkan mereka kecuali sultan yang memberi pengampunan. Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa untuk berbuat demikian seperti firman-Nya: “Wahai orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhanmu akan menutup kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai.” (Al-Tahrim: 8)

Oleh itu, rawat hati dengan mengingati mati kerana ia bermakna kita akan hidup untuk mengingati Allah. Apatah mati akan memadamkan nikmat melakukan maksiat tetapi pada masa sama, menambah nikmat kelazatan dalam ketaatan.

Berita Harian X