Selasa, 25 Disember 2018 | 2:28pm
Menghormati perayaan penganut lain memperlihatkan keharmonian beragama. - Foto hiasan

Boleh sama menghormati perayaan agama lain

SABAN tahun, sambutan perayaan Hari Krismas atau Hari Natal yang disambut penganut Kristian di seluruh dunia menimbulkan polemik dan salah faham kalangan masyarakat Islam.

Terdapat pandangan yang diutarakan yang membolehkan orang Islam untuk meraikan sambutan itu, tetapi pada masa sama, wujud pendapat lebih keras yang melarang hingga menjatuhkan hukum haram kepada umat Islam untuk meraikannya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Al-Quran & Al-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata melihat dalam konteks Malaysia yang dihuni masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama, beliau lebih cenderung kepada pandangan yang membolehkan umat Islam turut sama meraikannya.

Malah pandangan itu turut dirujuk daripada Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan tidak salah umat Islam untuk mengucapkan Selamat Hari Natal atau ‘Merry Christmas’ kepada penganut Kristian bagi memperlihatkan keharmonian kaum dan agama dalam sesebuah negara.

“Dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan agama, kita perlu melihat perayaan itu sebagai satu acara yang diraikan oleh semua.

“Banyak perayaan lain yang disambut seperti Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali yang turut diraikan semua masyarakat di negara ini.

“Ini menjadikan tidak salah untuk umat Islam turut sama menghormati perayaan agama lain dan turut mengambil bahagian,” katanya.

Kata Mohd Farid Ravi, kecenderungan untuk membolehkan umat Islam meraikan sambutan Krismas juga disebabkan wujud sedikit persamaan antara ajaran Islam dan Kristian yang kedua-duanya adalah agama samawi selain agama Yahudi.

Sebagai umat Islam, kita mempercayai Nabi Isa AS utusan Allah SWT tetapi penganut Kristian percaya Jesus sebagai anak Tuhan.

Malah tarikh 25 Disember itu didakwa orang Kristian sebagai kelahiran Nabi Isa AS.

Justeru, beliau berharap masyarakat tidak terlalu menimbulkan polemik hingga boleh memecahkan perpaduan kaum di negara ini.

Perbezaan istilah

Pada masa sama, Mohd Farid Ravi berkata, umat Islam perlu melihat kepada perbezaan istilah meraikan atau menyambut.

Katanya, meraikan boleh bermaksud masyarakat Islam bersama-sama sekiranya mempunyai ahli keluarga atau jiran tetangga yang menyambut hari Natal.

Mengambil contoh dirinya yang masih mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara dalam kalangan penganut Kristian yang menyambut Krismas, Mohd Farid Ravi berkata, beliau secara peribadi turut mengucapkan penghargaan dan Selamat Hari Natal kepada mereka.

“Sebagai tanda kekeluargaan, tidak mungkin saya akan mengabaikan dan tidak mengucapkan selamat hari Krismas serta menziarahi mereka. Lagipun setiap kali Aidilfitri, mereka juga memberi ucapan dan hadiah kepada saya serta ahli keluarga.

“Tidak bermakna saya menyambut perayaan Krismas dengan melakukan ritual atau amalan yang menyalahi ajaran Islam.

“Menerusi ucapan Merry Christmas sendiri tidak semudah untuk menyatakan seseorang terkeluar daripada Islam kerana ia bukan bermaksud mengiktiraf ajaran atau konsep trinity yang dipercayai penganut Kristian,” katanya.

Katanya, pendapat yang menyatakan haram umat Islam untuk meraikan sambutan Krismas sebagai pandangan yang sempit di sebalik keluasan agama Islam.

“Mungkin pandangan yang mengharamkan umat Islam meraikan hari Krismas dirujuk daripada negara yang majoriti besarnya adalah orang Islam dan bilangan penganut Kristian terlalu sedikit atau tiada menjadikan umat Islam dilarang untuk meraikan dan menyambutnya.

“Namun dalam konteks Malay- sia yang mempunyai penduduk berbilang kaum, bangsa dan agama, ia mungkin kurang sesuai dijadikan sandaran,” katanya.

Allah SWT berfirman: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu daripada kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim. (Al-Mumtahanah: 8-9)

Allah SWT juga berfirman: “Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik dari padanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.” (An-Nisaa: 86)

Mohd Farid Ravi berkata, ayat itu mengingatkan umat Islam turut sama berlaku adil dan memberi penghormatan bukan saja kepada sesama Islam, bahkan kepada bukan Muslim.

“Begitu juga dalam konteks perayaan, jika masyarakat bukan Islam di negara ini boleh turut sama meraikan perayaan yang kita sambut, mengapa kita tidak bersama-sama meraikan perayaan mereka,” katanya.

Berita Harian X