Ahad, 18 November 2018 | 9:00am

Nur Ahli Badar berhasrat sebarkan cinta Rasulullah seluruh dunia

BERKAT sering menghadiri majlis taklim dan pengajian agama, menjadi detik perkenalan antara ahli kumpulan qasidah, Nur Ahli Badar yang akhirnya bergiat secara serius untuk berdakwah menerusi alunan selawat, qasidah dan puji-pujian kepada Rasulullah SAW.

Sejak ditubuhkan pada 2014, Nur Ahli Badar yang membawa maksud cahaya terang-benderang itu aktif menyerikan majlis ilmu dan selawat yang dianjurkan di seluruh negara.

Pengisian persembahan kumpulan dianggotai 19 ahli dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan dewasa itu, senang menyentuh hati masyarakat, bahkan menjadi medium dakwah berkesan untuk menyuntik perasaan cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW.

Mereka juga mempunyai sasaran dan matlamat cukup besar untuk menyebarkan mesej ‘Cinta Rasul’ kepada masyarakat di serata dunia kerana persaudaraan sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Berpeluang menemubual mereka pada sesi temuramah di Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur, pengasas bersama Nur Ahli Badar, Kyrel al Gayauwi, berkata fenomena majlis Malam Cinta Rasul mewujudkan gelombang baharu dalam menyemarakkan majlis selawat sebagai cara terkini berdakwah.

“Sekitar 2011 hingga 2012, banyak kumpulan qasidah lahir yang ditambah dengan penangan Malam Cinta Rasul membuatkan ramai membuka mata dan berminat menyemarakkan selawat.

“Apatah lagi program sebegini turut membabitkan ulama dan pendakwah tersohor antaranya Habib Ali Zaenal Abidin dan Habib Syech Abdul Qodir Assegaf.

“Ia inspirasi dan motivasi untuk kami menyemarakkan perjuangan dalam bidang ini kerana ingin sama-sama berdakwah dan menarik kesedaran orang ramai kepada mencintai Rasulullah SAW,” katanya.


NUR Ahli Badar mendapat bimbingan daripada pendakwah tanah air dan luar negara termasuk Habib Syech. - NSTP/Aziah Azmee

Kyrel berkata, Nur Ahli Badar mendapat bimbingan daripada pendakwah tanah air dan luar negara termasuk Habib Syech.

“Konsep yang kami bawakan melalui pembacaan sirah Maulid Nabi dan diselangi dengan alunan qasidah berhadrah.

“Sehingga kini kami mengikuti ribuan majlis selawat dan jemputan qasidah bukan saja dalam negara, bahkan dijemput sehingga Brunei Darussalam dan Singapura.

“Antara pengalaman indah yang kami tidak akan lupakan adalah membaca maulid dan qasidah di depan Guru Mulia Habib Umar Hafidz saat beliau dalam rangka dakwah di negara ini pada tahun ini.

“Membaca Sirah Maulid Dhiyaul Lami karangan beliau di hadapan tokoh ini pasti kenangan terindah buat kami semua,” katanya.

Mengulas program sepanjang bulan Rabiulawal ini bagi sambutan Maulidur Rasul, Kyrel berkata, mereka terbabit dengan program khas, iaitu Kembara Bulan Maulid Nabi bermula 8 November hingga 7 Disember ini.

“Sejak 2015, program ini sudah menjadi kembara tahunan dan kami menjelajah ke seluruh pelosok negara bagi menjayakan sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan pihak masjid, jabatan kerajaan, korporat dan persendirian.

“Antaranya program Maulid Akbar Majlis Rasulullah Malaysia pada 22 November ini di Masjid Al Ridhuan, Hulu Klang; Majlis Maulidur Rasul di Masjid Jamek Kampung Baru (23 November) dan Malam Cinta Rasul Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (24 November),” katanya.


NUR Ahli Badar membawa konsep melalui pembacaan sirah Maulid Nabi dan diselangi dengan alunan qasidah berhadrah. - NSTP/Aziah Azmee

Sehingga kini, antara pencapaian kumpulan Nur Ahli Badar termasuk penerbitan album berjudul Cahaya Terang Benderang yang mengandungi Sirah Maulid Dhiyaul Lami dan beberapa qasidah pilihan.

“Album ini terjual sebanyak 6,000 unit yang dipasarkan sendiri secara dalam talian dan secara terus dalam penganjuran majlis selawat.

“Pada 2016, kami juga menerbitkan buku Maulid Dhiyaul Lami atas permintaan ramai pencinta Rasulullah SAW.

“Semua ini kami lakukan untuk menyebarkan mahabbah kepada Rasulullah, supaya kita semua dapat mengenali Baginda secara lebih dekat,” katanya.

INFO

Nur Ahli Badar

Tahun diasaskan: 2014

Ahli: 19 orang

Persembahan: Selawat, marhaban, bacaan qasidah burdah dan hadrah

Album: Cahaya Terang Benderang (2017)

Berita Harian X