Ahad, 9 September 2018 | 11:25am
PENDAKWAH bebas, Che Nordin Che Ibrahim. - Foto Mahzir Mat Isa
PENDAKWAH bebas, Che Nordin Che Ibrahim. - Foto Mahzir Mat Isa

Pelajari fiqh, akidah dan tasawuf serentak

TASAWUF masih dianggap asing dalam kalangan umat Islam hingga ada yang memberi tanggapan salah dan melabelkannya sebagai sesat meskipun ilmu itu sangat penting kerana ia mendidik hati untuk menjadi manusia yang baik.

Tasawuf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan orang beriman dalam membersihkan hati dengan sifat mulia dan menghindari serta menjauhkan diri daripada sifat keji dan tercela.

Pendakwah bebas, Che Nordin Che Ibrahim, berkata rata-rata ilmuwan agama juga lebih menjurus kepada pengkhususan dalam bidang fiqh dan tauhid hingga menjadikan pendedahan terhadap ilmu tasawuf dalam masyarakat menjadi terhad.

Che Nordin berkata, hanya di sekolah pondok dan kampung yang lebih berminat mendalami ilmu tasawuf ini sedangkan di bandar, ia kurang dipelajari yang menyebabkannya menjadi semakin terpencil.

“Dalam kajian, kebiasaannya orang Melayu kurang mendalami ilmu tasawuf kerana jarang diajar di surau atau masjid. Ada yang menganggap ilmu tasawuf sebagai eksklusif dan dipelajari orang tertentu saja, iaitu yang sudah mahir dalam ilmu fiqh serta tauhid.

“Ada juga yang beranggapan ilmu tawasuf sebagai sesat tanpa menafikan ada golongan yang sebegitu (kerana salah memahami atau belajar) yang dikaitkan dengan kumpulan tarekat tertentu,” katanya.

Che Nordin berkata, kajian yang dijalankan oleh sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zakaria Stapa menyebut ilmu tasawuf yang tiada dalam silibus pelajar di sekolah menjadikan bidang ini kurang diberi pendedahan sedangkan ilmu dalam bidang agama lain dipelajari pada peringkat sekolah.

“Ia menjadikan mereka yang kemudiannya menjadi pendakwah dan pegawai agama, tidak mempunyai pengetahuan tasawuf hingga cenderung beranggapan tidak perlu belajar ilmu ini, sebaliknya cukup dengan fiqh, tauhid dan syariat saja.

“Hakikatnya, ilmu tasawuf sangat penting dalam kehidupan beragama kerana pendidikan dalam bidang ini dapat mendidik hati manusia menjadi lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, salah tanggapan yang dibawa oleh golongan agama menyebabkan ada orang awam menganggap ilmu tasawuf sebagai sesat sedangkan ulama terdahulu berkata sebelum mendalami ilmu tasawuf, haruslah terlebih dulu selesai menguasai ilmu tauhid dan syariat.

“Bagaimanapun disebabkan tidak selesai mendalami kedua-dua ilmu itu (tauhid dan syariat), ilmu tasawuf dipencilkan. Malah dalam konteks ilmu fiqh juga, ramai yang belajar perkara yang tidak wajib (fardu ain), sebaliknya lebih menjurus kepada perkara berkaitan fardu kifayah.

“Jadi apabila pergi lebih mendalam terhadap perkara dalam fardu kifayah menjadikan lebih banyak yang dipelajari dan tidak akan habis. Ia menyebabkan manusia lupa kepada ilmu tasawuf,” katanya.

Justeru, Che Nordin bersetuju dengan pendapat ulama kontemporari yang menyarankan supaya mendalami ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf secara serentak kerana masa sekarang yang disifatkan semakin suntuk.

“Ia boleh dilakukan dengan bermula dengan asas yang wajib dalam ilmu fiqh, iaitu berkaitan dengan bersuci, rukun dan syarat sah bagi solat serta puasa. Kemudiannya mendalami fardu ain dalam tauhid iaitu sifat 20 menerusi kitab seperti Risalah Tauhid dan Darus Samin.

“Imam Ghazali turut menyarankan jika ingin belajar ilmu fiqh boleh bermula dengan kitab Bidayatul Hidayah, manakala untuk ilmu akidah menerusi kitab Arbain Fi Ushuluddin dan kitab Minhajul ‘Abidin pula bagi bidang tasawuf.

“Apabila habis mendalami ketiga-tiga kitab ini, selesailah fardu ain bagi bagi ketiga-tiga cabang ilmu ini dan seterusnya boleh fokus kepada ilmu yang lebih mendalam,” katanya.

Che Nordin turut memetik hadis yang dikenali sebagai Hadis Jibril, Rasulullah SAW mengajarkan umat Baginda mengenai Islam, iman dan ihsan.

Beliau berkata, Islam yang dimaksudkan ialah syariat membabitkan rukunnya seperti syahadah, solat, zakat, berpuasa dan melaksanakan haji yang perlu diamalkan kerana perintah datang daripada Allah SWT.

Katanya, iman pula membabitkan akidah yang bermakna membenarkan dan meyakini Allah SWT yang diperinci menerusi enam perkara, iaitu percaya kepada Allah, malaikat, kitab yang diturunkan Allah, rasul, kiamat serta qada dan qadar.

“Ihsan pula terkandung dalam ilmu tasawuf, iaitu ikhlas dan mengerjakan sesuatu dengan penuh kesungguhan serta tekun. Tasawuf diamalkan supaya amalan yang dilakukan dengan ikhlas dan solat yang didirikan dengan penuh khusyuk, sekali gus menjadikan ibadat semata-mata kerana Allah SWT.

“Namun, ia perlu bermula daripada hati. Jadi tasawuf ialah ilmu yang yang dapat membentuk hati supaya menjadi manusia yang baik,” katanya.

Katanya, ilmu tasawuf juga berbicara penyakit hati seperti riak, takbur, ujub dan suma’ah serta diajar untuk mengubatinya iaitu, lawan kepada sifat tercela terbabit umpamanya ikhlas, khusyuk, reda, ikhlas, sabar, jujur dan pemurah.

“Ilmu tasawuf ini mengajar kita menghilangkan sifat buruk dan beramal dengan sifat yang baik. Imam Ghazali menyebut penyucian jiwa haruslah menghilangkan sifat buruk, iaitu al-Takhalli dan menempatkan diri dengan sifat baik, iaitu al-Tahalli.

“Jadi dalam melaksanakan amalan yang wajib juga perlu ditambah dengan amalan sunat seperti zikir,” katanya.

Allah SWT berfirman “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Ar-Ra’d: 28)

Che Nordin berkata, dewasa ini ramai yang memerlukan ketenangan justeru bibir dan hati perlulah dibasahkan dengan berzikir kepada Allah SWT.

“Apabila mencapai puncak ketenangan, kita akan membuat ibadat dengan ikhlas. Dengan ibadat itu juga Allah SWT reda dan cinta kepada hamba-Nya. Jadi apabila diuji, kita mampu bersabar dan reda kerana ia tanda Allah SWT cinta kepada hamba-Nya,” katanya.

Berita Harian X