Khamis, 30 Ogos 2018 | 10:42am
PENDIDIKAN akidah, fiqh dan tasawuf yang sebenar dapat menyelamatkan umat Islam daripada fahaman asing. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
PENDIDIKAN akidah, fiqh dan tasawuf yang sebenar dapat menyelamatkan umat Islam daripada fahaman asing. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Benteng hadapi liberalisme, pluralisme

KUANTAN: Kefahaman terhadap akidah, fiqh dan tasawuf berdasarkan kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dapat mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh dengan fahaman liberalisme serta pluralisme.

Penceramah bebas, Yunan Abdul Samad, berkata ancaman fahaman itu agak membimbangkan dan jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan keharmonian di negara ini.

Yunan berkata, pendekatan yang diambil untuk menangani fahaman itu masih kurang berkesan hingga memerlukan usaha lebih agresif oleh pihak berkuasa, terutama Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri yang diberi tanggungjawab memantau perkembangannya.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita perlu kenali atau fahami terlebih dahulu fahaman liberalisme dan pluralisme.

“Liberalisme sebagai fahaman sekularisme, memisahkan aspek agama (daripada kehidupan) dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama,” katanya di sini.

Kenyataan membimbangkan

Yunan berkata, liberalisme ialah aliran yang mementingkan kebebasan individu hingga membolehkan manusia melakukan apa sahaja atas dasar hak individu, manakala orang lain tidak boleh menegur setiap tingkah laku atau keputusan dibuat.

“Bagi pengikut fahaman pluralisme pula, mereka menganggap semua agama sama dan tiada agama yang lebih baik daripada yang lain.

“Ia adalah sangat bahaya dan kita sebagai orang Islam, sudah pasti kenyataan ini sangat membimbangkan,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya yang meninggalkan kerjaya sebagai kaunselor di universiti untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha dakwah.

Katanya, keputusan itu diambil kira-kira dua tahun lalu selepas menyaksikan perkembangan fahaman liberalisme dan pluralisme semakin membimbangkan di negara ini.

Tanggungjawab sedarkan masyarakat

“Saya boleh memilih untuk terus bertugas sebagai kaunselor, tetapi cabaran semasa meresahkan jiwa saya hingga berasa bertanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat terhadap ancaman fahaman ini.

“Oleh itu, saya melepaskan jawatan berkenaan dan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) serta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan melakukan siri ceramah bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Pihak JAIP dan MUIP sentiasa memberikan bantuan serta sokongan dalam kerja dakwah yang saya lakukan,” katanya yang juga menganggotai Sekretariat Jaringan Badan Bukan Kerajaan Islam Pahang (SNIP).

Yunan berkata, ancaman fahaman itu boleh diatasi jika masyarakat memahami sepenuhnya akidah, fiqh dan tasawuf yang dianjurkan fahaman ASWJ.

Katanya, apabila kita sudah tahu dan faham apa itu ciri sebenar ASWJ, sudah pasti tidak ada masalah untuk berdepan ancaman daripada musuh Islam yang sentiasa cuba mengelirukan kita.

“Kita perlu mengetahui fiqh sebagai ilmu dengan mengetahui dan memahami suatu persoalan dengan segala hukum syarak yang diambil dari al-Quran dan sunah dengan penelitian mendalam.

“Begitu juga melalui pegangan kuat atau keyakinan yang kuat dalam konteks akidah, menjadikan kita mengetahui sesuatu kepercayaan perlu bersifat pasti dan muktamad, selain memerlukan keyakinan yang tinggi dalam rukun Islam serta iman.

“Dalam memahami tasawuf pula, kita perlu membina masyarakat yang mementingkan ketinggian akhlak, pembangunan rohani, kehidupan sederhana dan menjauhi benda yang melalaikan,” katanya.

Berita Harian X