Jumaat, 24 Ogos 2018 | 5:04pm

Jadikan Kota Madinah lokasi kembara iman

MADINAH al-Munawwarah, selain mercu tanda kegemilangan penyebaran Islam, ia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah yang membawa kita menyusuri perjuangan Rasulullah SAW demi menegakkan agama Allah SWT.

Sekian lama, kota suci kedua umat Islam selepas Makkah ini menjadi benteng atau tapak perlindungan iman khususnya kepada Rasulullah SAW ketika melalui zaman yang penuh mencabar.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ahmad Rijal Ghazali, berkata itu, umat Islam disarankan untuk mengunjungi Madinah yang menjadi tradisi terutama umat Islam di seluruh dunia ketika melaksanakan ibadat haji dan umrah.

“Kita mungkin boleh melancong ke banyak tempat lain, namun berada di kota suci Madinah sama sekali berbeza kerana perjalanan itu boleh disifatkan sebagai kembara iman.

“Di Madinah, turunnya wahyu al-Quran, masjid pertama dibina di sini dan juga bersemadinya jasad Rasulullah SAW,” katanya.


PEGAWAI Hal Ehwal Islam JAKIM, Ahmad Rijal Ghazali. - Foto Aziah Azmee

Rumah sahabat Nabi

Ahmad Rijal berkata, kediaman sahabat Rasulullah SAW khususnya yang terletak berdekatan dengan Masjid Nabawi kebanyakannya tidak diabadikan sebagai tempat bersejarah, sebaliknya dibangunkan semula menjadi tapak masjid.

Ia termasuk Masjid Ghamamah, Masjid Saidina Abu Bakar, Masjid Saidina Ali dan Masjid Saidina Umar.

Masjid Ghamamah seperti ditulis dalam riwayat, mencatatkan sejarah tersendiri sebagai masjid pertama dilakukan solat sunat Aidilfitri.

“Nabi Muhammad SAW pada waktu itu menganjurkan solat sunat Aidilfitri diadakan di luar supaya kelompok wanita yang uzur boleh mendengar khutbah bersama-sama.

“Bahkan ada beberapa masjid yang asalnya adalah khemah sahabat seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan Al-Farisi ketika berjuang pada Perang Ahzab.

“Maka sebagai peringatan, masjid kecil dibina di sekitarnya,” katanya.


BANYAK lokasi bersejarah dalam sirah Nabi. - Foto Reuters

Masjid penuh bersejarah

Beliau berkata, terdapat 27 masjid bersejarah di sekitar Madinah yang antaranya penting untuk dikenang kerana menjadi permulaan kepada syariat besar dalam Islam.

“Masjid Qiblatain yang terletak di sebelah barat daya Madinah menjadi detik pertukaran arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Baitullah (Kaabah).

“Masjid Jum’ah yang terletak kira-kira 2.5 kilometer dari Bandar Madinah pula menjadi masjid pertama yang menyaksikan Rasulullah SAW solat Jumaat secara terang-terangan selepas penghijrahan Baginda ke Madinah.

“Walaupun ketetapan solat Jumaat difardukan ketika di Mekah lagi, ia tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kekuatan dan kekuasaan waktu itu,” katanya.

Selain Masjid Nabawi katanya, Masjid Quba menjadi antara masjid yang mendapat perhatian umat Islam kerana kelebihannya.

“Masjid Quba adalah masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam dan ia menjadi tumpuan kerana fadilatnya.

“Di Masjid Quba, jika kita bersolat sunat dua rakaat, seolah-olah mendapat ganjaran pahala satu umrah,” katanya.

Antara masjid bersejarah yang lain di Madinah termasuk Masjid Miqat, Masjid Ijabah, Masjid Bani Unif dan dan Masjid Suqya.

Wadi Al-Aqiq

Wadi atau turut dikenali sebagai lembah atau sungai yang berada di Madinah ini biasanya kering sepanjang tahun.

Ia hanya bertakung dan dilimpahi air ketika musim hujan yang berlaku dalam waktu amat pendek kebiasaannya sekitar lima hari saja dalam setahun.

Terdapat banyak wadi di Madinah, namun Al-Aqiq paling mahsyur kerana ia terpanjang di wilayah Hijaz. Terletak di sebelah barat, ia membelah daripada Taif sehingga sampai ke Madinah.

Ahmad Rijal berkata, terdapat peristiwa yang berlaku di wadi ini ketika zaman Rasulullah SAW, iaitu Baginda pernah bersolat di dalamnya sewaktu dalam perjalanan untuk mengerjakan haji.

Dalam satu hadis, Umar al-Khattab mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sudah datang kepadaku semalam utusan daripada Tuhanku, ia berkata solatlah di wadi yang diberkati ini dan lakukan umrah pada bulan haji.” (HR Bukhari)

Antara wadi lain di Madinah termasuk Wadi Buthan, Wadi Qanat dan Wadi Ghabah.

Kubu Ka’ab Al-Asyraf

Lokasi Kota Kubu Ka’ab Al-Asyraf mungkin kurang diketahui dan jarang dilawati. Ia menempatkan kediaman pemimpin Yahudi, Kaa’b al Asyraf, iaitu penyair kaya yang memusuhi Islam.

Ka’ab ketika zaman Rasulullah SAW melakukan banyak perbuatan terkutuk termasuk mengubah syairnya untuk mengejek Baginda, selain turut mempersenda sahabat nabi RA dan wanita Muslimah.

Ahmad Rijal berkata, arahan supaya Ka’ab dibunuh adalah atas perintah Rasulullah SAW kerana sikapnya yang keterlaluan, lalu sahabat, Muhammad Ibnu Muslimah RA mengambil cabaran itu dan menikamnya dengan pedang di kota kubu berkenaan.

Selepas kematian Ka’ab, perkampungan Yahudi itu ditinggalkan dan sehingga kini ia terus dikosongkan tanpa penempatan atau sebarang pembangunan.

Menyusuri sirah dan mengenali tokoh Yahudi ini sebenarnya dapat memberikan iktibar khususnya kepada umat Islam dalam konteks masa kini.

Dapat dilihat, betapa umat yang terdahulu begitu menyanjungi perjuangan Rasulullah dan menjunjung agama Allah SWT sehingga sanggup mengambil risiko memerangi musuh Islam walaupun sedar, nyawa mereka mungkin menjadi taruhan.

Bukit terbakar

Baginda SAW bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga keluar api dari bumi Hijaz yang akan menerangi tengkuk unta di Busra (sebuah negeri di Syria).” (HR Bukhari)

Berlaku di sebuah bukit di al-Harrah al- Syarqiyyah, kawasan ini terletak dari jalan lapangan terbang Madinah menuju ke Quba’ pada bulan Jamadilawal, 654 Hijrah.

Ahmad Rijal berkata, peristiwa ganjil ini berlaku selama tiga bulan, ia menyerupai fenomena gunung berapi apabila keluar daripadanya asap tebal dan letupan kuat bersama api sehingga ia menerangi seluruh bandar.

“Bukit Khuraidah atau bukit terbakar ini adalah salah satu tanda kiamat kecil yang menunjukkan mukjizat Rasulullah SAW dan tanda kekuasaan Allah SWT.

“Ahli sejarah menyatakan getarannya cukup kuat sehingga ia menggoncangkan bangunan sekitarnya, bahkan atap Masjid Nabi turut retak dan mengeluarkan bunyi rekahan.

“Kesannya boleh dilihat sehingga hari ini, seakan batu hitam terbakar di sepanjang bukit berkenaan ,” katanya.


- Foto hiasan

FAKTA NOMBOR

95 nama lain bagi Madinah

3 kaum utama mendiaminya iaitu Yahudi, Aus dan Khazraj

7 Hijrah pengisytiharan tanah haram Madinah

INFO

  • Madinah terletak di sebelah utara Makkah al-Mukarramah
  • Menurut fakta sejarah, orang pertama yang membuka Madinah selepas banjir besar di zaman Nabi Nuh ialah Yathrib Qaniah daripada keturunan Nabi Nuh.
  • Antara larangan ketika berada di Tanah Haram Madinah termasuk mencabut atau merosakkan pohon yang hidup, berniat melakukan kejahatan kepada penduduknya
Berita Harian X