Isnin, 23 Julai 2018 | 1:53pm
PRESIDEN Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood. - Foto Fariz Iswadi Ismail
PRESIDEN Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Satukan suara institusi tahfiz, nasib lebih terbela

KUALA LUMPUR: Maahad tahfiz disarankan supaya bernaung dalam persatuan untuk mewujudkan kesatuan yang lebih kukuh, sekali gus menjadikan suara institusi pendidikan Islam itu lebih didengari.

Persatuan maahad tahfiz bukan hanya perlu diperkukuhkan pada peringkat kebangsaan, malah diwujudkan di setiap negeri.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) Mohd Zahid Mahmood, berkata suara akar umbi yang dibawa menerusi gabungan seluruh maahad tahfiz di seluruh negara menjadikannya boleh disampaikan ke peringkat lebih tinggi.

"Dua tahun lalu, PINTA berjaya mengumpul 20,000 huffaz seluruh negara dalam satu majlis himpunan di Masjid Wilayah Persekutuan dan tahun lalu seramai 30,000 huffaz dihimpunkan. Dari situ, kerajaan mula memberi perhatian dan memandang institusi tahfiz sebagai aset negara.

"Hubungan baik dengan kerajaan membolehkan kita meminta kerajaan memperuntukkan untuk pembangunan tahfiz yang akhirnya diberikan RM30 juta dalam Bajet 2017 dan kemudiannya dinaikkan RM50 Juta dalam Bajet 2018 dalam usaha memperkasakan institusi tahfiz," katanya.

Mohd Zahid berkata demikian ketika mengulas Soal Jawab bersama pendakwah yang juga Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Kazim Elias di BH Ahad yang mendakwa tiada persatuan maahad tahfiz melawatnya ketika sedang mengalami masalah kewangan.

Ekoran masalah kewangan, Pusat Pendidikan Al Barakah bercadang untuk menjual unit tahfiznya tetapi menangguhkannya sehingga keputusan akhir diambil akhir Julai atau Ogos ini.

Mohd Zahid berkata, persatuan bukan badan untuk menyalurkan dana dan sumber kewangan kepada institusi tahfiz yang mengalami masalah kewangan tetapi boleh dijadikan sebagai tempat rujukan dan khidmat nasihat.

"Persatuan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak mempunyai dana besar untuk membantu maahad tahfiz yang mengalami masalah kewangan.

"Bagaimanapun jika maahad tahfiz mempunyai masalah, kita sedia memberikan khidmat nasihat dan menjadi orang tengah kepada pihak ketiga," katanya.

Mengenai isu kewangan yang sudah lama dihadapi oleh Pusat Pendidikan Al Barakah itu, Mohd Zahid berkata, pihaknya tidak menyedari masalah yang dihadapi oleh pendakwah itu.

Ini kerana katanya, Pusat Pendidikan Al Barakah dianggap sebagai institusi pendidikan agama yang kukuh menerusi dana yang diterima daripada individu, syarikat korporat dan badan kerajaan.

"Kedudukan Datuk Kazim Elias yang dikenali ramai membuatkan kami rasa kerdil dan segan untuk datang menasihati institusi pengajian yang terkenal seperti Al Barakah.

"Namun dengan kedudukan sekarang, Al Barakah perlu melihat kemampuan kewangan mereka dan mengurangkan perbelanjaan semasa.

"Malah sekiranya Datuk Kazim Elias datang kepada persatuan, kita sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang termampu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (PITAS), Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa, berkata persatuan berkaitan tahfiz perlu diwujudkan di peringkat negeri kerana perundangan atau enakmen berkaitan agama Islam diletakkan di bawah peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, ia bagi memudahkan persatuan untuk berurusan dengan jabatan agama dan pusat zakat di negeri masing-masing.

"Persatuan boleh menjadi pemudah cara kepada pusat tahfiz untuk mendapatkan dana dan sumber kewangan untuk membangunkan maahad tahfiz.

"Di Selangor, kita mempunyai hubungan yang rapat dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

"Hasilnya, PITAS berjaya mendapatkan dermasiswa huffaz sebanyak RM26.25 Juta daripada LZS untuk disalurkan kepada pelajar," katanya.

Muhammad Hafiz berkata, setiap pelajar mendapat RM150 untuk mereka membayar yuran dan sebagai duit poket. Selain itu, RM3 juta yang diperoleh, diagihkan kepada 50 pusat tahfiz untuk tujuan pembangunan termasuklah menyiapkan bangunan tahfiz yang terbengkalai," katanya.

Namun dalam kes Pusat Pendidikan Al Barakah, Muhammad Hafiz tidak pasti sama ada ada institusi itu berdaftar dengan mana-mana persatuan.

Muhammad Hafiz, sekiranya ada pusat tahfiz yang bernaung di bawah PITAS mengalami masalah, bantuan akan akan diberikan sekadar yang termampu.

"Di Selangor, kita mempunyai exco di setiap daerah yang akan sentiasa turun padang. Jika ada maahad tahfiz yang mengalami masalah, kita akan bantu.

"Kita ingin melihat institusi tahfiz juga mempunyai jalinan yang besar untuk membantu satu sama lain," katanya.

Berita Harian X