Jumaat, 15 Jun 2018 | 10:51am
TIMBALAN Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya bergambar bersama peserta pada Majlis Bacaan Al-Quran sempena #Quranhour sempena Sambutan Nuzul Quran 2018/1439H di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, 1 Jun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya bergambar bersama peserta pada Majlis Bacaan Al-Quran sempena #Quranhour sempena Sambutan Nuzul Quran 2018/1439H di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya, 1 Jun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pertahankan peranan agensi agama

AL-QURAN menggariskan antara tanggungjawab pemerintah yang diberikan amanah oleh Allah SWT untuk memiliki kekuasaan di atas muka bumi ini ialah menjaga agama rakyatnya. Dengan erti kata lain, memberikan ruang selesa supaya rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab agama.

Pada masa sama, mengekang perkara yang boleh mengganggu akidah rakyat serta memperlecehkan syariat Allah SWT. Kewajipan pemerintah melakukan langkah amar ma'ruf dan nahi munkar mengikut kesesuaian keadaan.

Adakalanya dengan hanya menasihati, ada kala melalui undang-undang tertentu dan menguatkuasakan undang-undang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan." (Surah al Haj, ayat 41)

Al-Quran juga mengingatkan umat Islam mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku kepada umat terdahulu di mana kuasa pemerintahan yang dinikmati, di tambah kestabilan ekonomi dikecapi telah menghanyutkan mereka di lautan maksiat dan kemungkaran.

Bukan negara sekular

Kerja amar makruf telah lumpuh, maka Allah SWT datangkan bencana dan kesusahan kepada mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?" (Surah al-An'am, ayat 6)

Dalam konteks pentadbiran negara kita, agensi agama sama ada peringkat pusat seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berfungsi sebagai penyelaras kepada pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dan peringkat negeri seperti Jabatan Agama Islam Negeri telah ditetapkan dan diperkenankan oleh Sultan atau Raja sebagai ketua Agama Islam negeri.

Di negara ini, Islam diurus oleh pemerintah di peringkat pusat mahupun negeri selaras dan tidak bertentangan dengan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Inilah yang membezakan Malaysia dengan negara sekular.

Seruan untuk menghapuskan mahupun mengecilkan peranan agensi yang mengurus hal ehwal agama Islam di negara ini, adalah seruan yang amat ganjil di tengah-tengah majoriti umat Islam, di sebuah negara yang telah kukuh perundangan dan amalan Islam sejak zaman berzaman.

Utama kepentingan masyarakat

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengatur kehidupan individu dan bermasyarakat, bahkan bernegara. Pandangan mengatakan agama adalah semata-mata urusan peribadi dan tidak perlu diselenggara oleh kerajaan adalah pandangan salah, tidak bersumber kepada ajaran Islam.

Ia adalah antara doktrin utama fahaman fahaman liberalisme yang suka meluaskan keadilan sosial dan perspektif individu bukan dari perspektif masyarakat keseluruhan. Urusan agama biarlah diurus sendiri oleh individu dan negara tidak berhak campur tangan.

Bagi fahaman ini, negara hanyalah alat (The State is Instrument) yang akan menjadi pengawal supaya setiap individu mencapai kehendak mereka tanpa sebarang gangguan. Kehendak individu lebih diutamakan daripada keperluan masyarakat.

Dengan ungkapan yang lebih jelas negara tidak mencampuri urusan peribadi warga negaranya termasuklah urusan beragama. Pandangan ini jelas sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Dua dalil di atas jelas perlunya kerajaan dan masyarakat bersama memikul tanggungjawab menjaga agama, mengekang perkara melanggar peraturan agama yang berlaku di dalam masyarakat.

Ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW: "Daripada Abu Said al-Khudri, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangan (kuasa), sekiranya dia tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah, sekiranya tidak mampu mengubah dengan lidah hendaklah dia mengubah dengan hati, dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Penulis adalah Timbalan Mufti Perak

Berita Harian X